Thursday 30 July 2009

Minda Pengarang: Tindakan serius elak ekuiti negara dikuasai pemilikan asing

LAPORAN mengenai kemunculan firma pelaburan Hong Kong, Wan Tak Co Ltd yang menjadi pemegang saham tunggal terbesar Padiberas Nasional Bhd (Bernas), bukanlah sesuatu yang ganjil dalam urus niaga sistem pasaran terbuka. Walaupun sesiapa saja berhak mengambil bahagian dalam urus niaga pasaran saham, perkara ini juga mempunyai kaitannya dengan kepentingan nasional. Oleh itu, ia perlu diberi perhatian yang serius. Bernas, yang wujud hasil penswastaan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN), diberi mandat sebagai penjaga kepentingan industri padi dan beras negara. Ia juga diamanahkan untuk meneruskan kesinambungan semua tanggungjawab sosial dan komersial LPN, termasuk mengurus stok penimbal makanan ruji itu; memberi subsidi kepada penanam padi bagi pihak kerajaan; mengurus Skim Pengilang Padi Bumiputera; membeli padi pada harga minimum ditetapkan serta menjadi pembeli terakhir hasil padi negara. Ini meletakkan syarikat itu sebagai entiti strategik. Secara langsung, ia bertindak sebagai penjamin keselamatan bekalan makanan negara. Kemunculan Wan Tak sebagai pemegang saham utama Bernas mendedahkan bahawa satu daripada industri paling strategik negara sudah mula dipengaruhi syarikat asing. Hakikat bahawa Wan Tak dikuasai usahawan dari Malaysia yang turut mempunyai pelbagai kepentingan lain dalam beberapa gergasi korporat di negara ini tidak harus dijadikan alasan untuk tidak berbuat apa-apa. Persoalannya, bagaimana sebuah institusi strategik yang sepatutnya dilindungi, mula dikuasai syarikat asing menerusi pemilikan saham terbuka. Walaupun ia urus niaga yang tidak melanggar undang-undang, isu ini menyentuh emosi mereka yang menganggap bahawa Bernas adalah sebuah institusi kebanggaan negara. Mungkin ada kebaikannya isu ini timbul hari ini kerana ia membuka mata sesetengah pihak mengenai pentingnya kerajaan melihat semula fungsi Bernas. Ia menyebabkan mereka yang selama ini alpa, tersentak. Sebelum ini, isu Pantai Holdings Bhd pada 2005 menimbulkan kegawatan apabila penguasaan kepentingan dalam syarikat yang memegang konsesi membekal keperluan kepada hospital tempatan itu terlepas ke tangan pelabur Singapura. Menyedari bidang itu sebagai strategik, kerajaan terpaksa campur tangan melalui Khazanah Nasional Bhd untuk mengembalikan pemilikan Pantai Holdings daripada Parkway Holdings Ltd yang berpangkalan di Singapura ke tangan pelabur tempatan. Membenarkan sektor strategik seperti pengurusan makanan ruji terdedah kepada pemilikan asing dalam kes seperti Bernas sebenarnya mengundang pelbagai risiko. Tindakan serius menangani masalah itu perlu dilaksanakan segera bagi memastikan keselamatan negara dan kepentingan rakyat tidak diperjudikan atas apa alasan sekali pun. Dalam kes ini, pihak yang diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk menjayakan inisiatif penswastaan menerusi dasar Pensyarikatan Malaysia sama ada sebagai pengurus atau pemegang saham, harus memainkan tanggungjawab dengan berhati-hati. Mereka harus peka bahawa di sebalik keuntungan yang diraih, terpikul amanah besar perlu ditunaikan terhadap negara. Pemilik syarikat itu atau agensi yang diberi kepentingan dalam bidang strategik tidak boleh terlalu mengejar keuntungan sehingga sanggup menggadaikannya ke tangan asing. Mereka juga tidak sepatutnya menjadikan kuasa pasaran terbuka sebagai alasan kerana dalam apa juga keadaan, pertimbangan sosial harus sentiasa mendahului komersial. Dalam kes Bernas, masih belum terlewat untuk bertindak kerana majoriti ekuitinya, secara langsung dan tidak langsung masih di tangan pelabur tempatan. Bagaimanapun, langkah segera perlu diambil bagi memastikan pemilikan asing yang sejengkal itu tidak bertambah menjadi sedepa.

sumber berita harian

Pemilikan Asing Saham Bernas Wajar Diselidik

PEMBAHAS Saudara Salleh Majid dalam komennya kepada tampalan saya bertajuk “Pemilikan Asing Manifestasi Dasar Liberalisasi,” antara lain, berkata:“Wang Tak Ltd, merupakan syarikat yang didaftar di Hong Kong tapi dimiliki oleh dua orang peniaga Malaysia yang terkenal....“Saya hairan kenapa kerajaan perlu membeli semula saham-saham mereka di dalam Bernas. Apakah tindakan mereka memiliki saham dalam Bernas mengancam Negara? Saya tidak nampak apa salahnya. Lagi pun kerajaan masih memiliki golden shares (Bernas)."Tindakan kerajaan ini set a “bad precedent” dan menghantar satu signal yang salah di pasaran modal di Kuala Lumpur.”Saya rasa saya faham maksud pembahas Saudara Salleh Majid. Beliau bermaksud mengatakan:1. Wang Tak adalah milik dua pelabur Malaysia walaupun berdaftar di Hong Kong;2. Pemilikan saham Bernas oleh Wang Tak tidak mengancam keselamatan negara, apatah lagi kerajaan memiliki golden shares atau saham veto dalam Bernas; dan3. Tindakan membeli balik semua atau separuh saham milik Wang Tak akan menjadi “bad precedent” atau contoh buruk yang mungkin menjejas minat pelabur terhadap Bursa Malaysia.Saya sedar sebarang tindakan yang menyentuh pemilikan oleh Wang Tak atau mana-nama pelabur --- asing, tempatan atau pseudo-asing -- akan menyebabkan kecurigaan terhadap dasar liberalisasi yang diuar-uarkan oleh kerajaan.Namun saya rasa kes ini masih perlu disiasat dan diperjelas kerana ia boleh mencetuskan implikasi politik yang buruk kepada kerajaan.Orang biasa mana dia faham selok-belok pasaran saham. Yang dia tahu, dia jual padi kepada Bernas dan Bernas itu dulu milik negara.Lagipun, ada alasan yang kuat untuk memahami sama ada urus niaga yang membabitkan Wang Tak itu disedari atau direstui oleh agensi-agensi kawal selaras seperti Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara hatta Kementerian Kewangan. Kita tidak mahu mereka tidur atau khayal!Kita juga perlu mengelakkan perkara-perkara berikut berlaku tanpa disedari oleh kerajaan atau oleh agensi-agensi kawal selarasnya:-1. Peniaga Malaysia yang membuat keuntungan daripada kegiatan dalam negara membawa keluar keuntungan mereka dan kemudian membawanya masuk semula sebagai pelaburan asing;2. Bagi mengelakkan penjenayah tempatan dan antarabangsa menggunakan Bursa Malaysia sebagai tempat membersihkan wang haram (money laundering);3. Bagi mengelak spekulator membeli saham syarikat strategik dengan tujuan manipulasi iaitu untuk memaksa kerajaan membelinya balik dengan harga yang tinggi seperti yang berlaku kepada Pantai Holdings;4. Mengelakkan beberapa kerat syarikat Bumiputera yang disenaraikan di Bursa Malaysia daripada jatuh ke tangan bukan Bumiputera seperti yang terjadi kepada Taiping Consolidated Berhad (pemilik Lot 10) ketika krisis ekonomi 1997/98;5. Walaupun Pentadbiran Mohd Najib Abdul Razak komited kepada liberalisasi dan globalisasi, namun komitmen asal Dasar Ekonomi Baru Tun Abdul Razak membina dan mempertahankan aset Bumiputera wajib diteruskan; dan6. Kita jangan telan bulat-bulat mantera liberalisasi dan globalisasi oleh kuasa ekonomi Barat kerana mereka sendiri terus menghalang pengambilan alih syarikat strategik mereka oleh pelabur dari negara-negara membangun.Jadi kita tidak boleh menyapu ke bawah tikar apa yang saya takrif sebagai pemilikan senyap-senyap oleh Wang Tak ke atas 31 peratus saham Bernas itu.Kalau semuanya kita sapu ke bawah tikar, bila dan bagaimana kita hendak memulakan proses “mengKPIkan” dan “mengNKRAkan” Perdana Menteri dan kabinetnya?

sumber A Kadir Jasin

No comments:

Post a Comment