Saturday 11 July 2009

Biasiswa Nasional dan Hak Bumiputera Harus Seimbang

Tuesday, June 30, 2009
Pencapaian Diutamakan (I) : Biasiswa Nasional dan Hak Bumiputera Harus Seimbang
1. Keputusan kerajaan memperkenalkan Biasiswa Nasional tepat pada masanya sebagai satu bukti jelas usaha memperkukuhkan slogan 1Malaysia, Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

2. Sekiranya kita membaca kenyataan YAB Perdana Menteri semalam, jelas bahawa biasiswa ini bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada mereka yang berusaha mendapat pencapaian cemerlang dalam pendidikan.

3. Sungguhpun belum diumum secara jelas idea ini dari segi dasar dab pelaksanaannya, namun pengumuman ini sahaja sudah cukup memberi satu perspektif baru kepada pendidikan nasional.

Garis Panduan Biasiswa Nasional Harus Jelas

4. Satu garis panduan yang jelas harus dikeluarkan dalam menentukan kelayakan pemberian Biasiswa Nasional ini.

5. Bagi mengelakkan sebarang ketidakpuasan hati atau pelbagai andaian, Biasiswa Nasional tidak wajar menentukan jumlah pelajar yang layak mendapatkannya. Sebaliknya tetapkan apakah pencapaian minima dalam SPM dan STPM yang melayakkan mereka menerima biasiswa ini.

6. Misalnya kita ditetapkan semua pelajar yang mendapat 9A ke atas layak mendapat Biasiswa Nasional ini. Jika ada 2, 000 orang yang mendapat 9A dan ke atas maka kerajaan wajar memberi Biasiswa Nasional ini kepada semua mereka.

7. Biasiswa Nasioanal ini jangan lagi mengambil kira isu-isu subjektif seperti pencapaian ko-kurikulum dan sebagainya. Ia harus menumpukan kepada kejayaan dalam peperiksaan semata-mata. Dengan cara ini tidak perlu lagi sebarang pertikaian mahu pun perbalahan mengenai mengapa pelajar ini dapat dan pelajar ini tidak dapat.

Skim Biasiswa Pelajar Bumiputera

8. Kita belum pasti apakah kedudukan skim biasiswa sedia ada dengan pengenalan Biasiswa Nasional ini.

9. Perlu diingatkan bahawa sungguhpun kerajaan bebas memberi biasiswa kepada sesiapa sahaja, namun skim biasiswa untuk penuntut bumiputera merupakan satu yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.

10. Seiring dengan pembentukan Biasiswa Nasional ini, adalah wajar Skim Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam yang beberapa tahun lalu diagihkan mengikut kuota kaum dikembalikan kepada pelajar bumiputera sahaja.

11. Jumlah biasiswa ini juga tidak harus dikurangkan untuk memberi ruang kepada Biasiswa Nasional kerana kedudukan biasiswa bumpiutera ini dijamin oleh Perlembagaan dan Majlis Raja-raja Melayu.

12.Biasiswa bumiputera juga merupakan sebahagian persetujuan kemerdekaan yang perlu dihormati dan dikekalkan tanpa sebarang perbincangan lagi.

13. saya juga berharap selepas diperkenalkan Biasiswa Nasional ini, jangan lagi dipertikaikan biasiswa JPA khas untuk bumiputera.
Posted by Dr Mohamad Khir Toyo at Tuesday, June 30, 2009

No comments:

Post a Comment