Wednesday 22 July 2009

Abdullah: Konflik antara agama dan kaum tidak boleh dibiar berlarutan

KUALA LUMPUR: Konflik antara agama dan kaum tidak boleh dibiarkan berlarutan sehingga menimbulkan perbalahan dan mengancam kesejahteraan rakyat Malaysia, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau berkata masalah itu yang wujud antara dunia Islam dan Barat belum nampak ada jalan penyelesaian atau sekurang-kurangnya persefahaman antara dua pihak.
“Kita faham bahawa perbalahan di kalangan umat Islam telah membawa kepada kelemahan. Kelemahan perpaduan bakal menjadi penghalang kepada kemajuan dan muafakat untuk sama-sama mencari penyelesaian kepada konflik yang berlaku di beberapa negara Islam pada waktu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Peradaban Islam) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Majlis Konvokesyen Khas di Dewan Canselor Tun Abdul Razak universiti itu di Bangi Selasa.
Abdullah berkata dunia sekarang berada dalam pelbagai konflik yang berkaitan dengan agama dan kaum, di samping berkaitan dengan ekonomi, wabak penyakit, krisis makanan serta perubahan iklim global.
“Keadaan ini memerlukan kerjasama dan muafakat semua negara untuk menghadapi dan menyelesaikannya demi masa depan dunia dan manusia,” katanya.
Abdullah berkata orang Islam abad sekarang sudah mula menyedari kedudukan mereka pada hari ini di mana agama Islam dipandang rendah disebabkan kemunduran dan pandangan orang Kristian Barat terhadap orang Islam sebagai pengikut agama yang mengacau, merusuh dan menjadi ancaman kepada dunia.
“Kesedaran ini telah membawa kesedaran kepada orang Islam serta melahirkan azam baru untuk membela kedudukan dan nasib orang Islam,” katanya.
Beliau berkata sehubungan itu, konsep Islam Hadhari boleh diamalkan sebagai satu pendekatan yang boleh mencapai keamanan dan persefahaman.
“Ini kerana pendekatan (Islam Hadhari) yang digunakan mengutamakan penerimaan nilai-nilai yang universal dan tidak langsung bertentangan dengan akidah Islam dan juga nilai-nilai agama yang lain,” katanya. BERNAMA
Tags:

sumber kelab penyokong maya umno

No comments:

Post a Comment