Wednesday 15 July 2009

mesej rakyat di manik urai




Untuk beberapa hari ini, pelbagai pihak akan menganalisis punca-punca bagaimana PAS hampir kehilangan kerusi DUN Manek Urai; sama ada di media massa, media baru atau di kedai-kedai dan warung kopi.

Kemenangan PAS dengan 65 undi majoriti tidak menggembirakan pemimpin dan penyokong parti itu. Cukup ketara apabila YB Mohd Fauzi Abdullah diumumkan sebagai pemenang pilihanraya itu, ia tidak disambut dengan laungan takbir seperti yang lazim dilakukan.

Saya telah memberikan pandangan dalam Astro Awani malam tadi, jadi saya tidak berhasrat mengulasnya lagi di sini, walapun nanti akan ada pihak-pihak yang mengambil pendekatan menuding jari kepada orang lain. Seringkali, itulah yang dilakukan.

Perkara terbaik yang perlu dilakukan oleh PAS ialah bermuhasabah dan melihat kelemahan sendiri. Dengan cara ini, ia dapat mengenalpasti kelemahan dan melakukan penambahbaikan.

Mana-mana parti politik sekalipun tidak boleh menunggu kelemahan orang lain untuk menang pilihanraya. Ia hendaklah membina kekuatan sendiri. Pemimpin parti-parti politik juga harus menginsafi bahawa dengan menuduh orang lain salah tidak menjadikan mereka betul.

Berbalik kepada keputusan pilihanraya Manek Urai, elok sekiranya PAS dan UMNO cuba memahami apakah mesej yang ingin disampaikan oleh pengundi di situ.

Akhir sekali, saya meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin menunaikan janji untuk kerajaan membina sebuah jambatan bernilai RM7 juta bagi menghubungkan Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru. (Sila berikan pendapat anda dalam poll yang disediakan di sidebar sebelah kanan blog ini).

Alasannya mudah, kalau dah ada peruntukan dan itu adalah keperluan rakyat, maka penuhilah harapan mereka. Usah lakukan pembangunan bersyarat.

Seperti orang lain, saya juga ingin melihat UMNO dan PAS "bermain" politik yang menguntungkan rakyat.

Dan, seperti berkali-kali seruan sebelum ini, marilah kita beralih dari politik pertentangan kepada politik muafakat. Itulah mesej yang ingin disampaikan oleh pengundi Manek Urai kepada kedua-dua parti politik Islam-Melayu itu.

Usah kita memperlekehkan kemampuan intelektual pengundi di Manek Urai. Mereka memerhati, berfikir dan membuat keputusan.

Adakah kita masih ingin terus menutup telinga?
sumber dari NOBISHA at 6:18 AM

Ku Li restui Tok Pa pimpin UMNO Kelantan

Segala-galanya bermula di Manek Urai. Soal kepimpinan datang dan pergi namun Datuk Mustapa Mohamed atau Tok Pa direstui untuk memandu hala tuju UMNO negeri Kelantan berasaskan tuntutan dan kemahuan perjuangan parti yang didokong ahli-ahlinya.

Begitulah harapan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah kepada Tok Pa yang kini diberi peluang menerajui Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan.

“Soal ujian pada Tok Pa tidak timbul, paling penting sejauhmana ahli-ahli mendokong perjuangan kita dan kita perlu berpakat”,katanya.

Beliau yang ditemui selepas Majlis Tengku Razaleigh Hamzah bersama rakyat Manek Urai di Sekolah Kebangsaan Manik Urai Baru, Jumaat.

Lebih 200 orang hadir di program pertama Tengku Razaleigh bertemu rakyat di Manek Urai menjelang pilihanraya kecil kawasan itu.

Kawasan Manek Urai pada awal 60an pernah diwakili beliau yang ketika itu dipanggil Hulu Kelantan.

Menurut Tengku Razaleigh, kawasan Hulu Kelantan dimenangi parti Perikatan pada tahun 1959, 1964 kemudian kalah tahun 1969 hingga menang semula tahun 2004 dan kalah lagi tahun 2008.

Beliau juga memberi komitmen untuk turun berkempen selepas penamaan calon ini dan mengharapkan Barisan Nasional (BN) akan capai kejayaan.

“Saya menaruh harapan kita (BN) boleh menang tapi kalau kena dengan calon yang sesuailah…,” tambahnya.

Ditanya masalah calon di setiap pilihan raya kecil yang diwakili UMNO sering ditimbulkan hingga berlaku perpecahan ketika berkempen, Tengku Razaleigh memberitahu jalan penyelesaian masalah itu pernah dikemukakan.

“Saya sudah cadangkan agar calon-calon patut dipilih oleh ahli-ahli dalam kawasan berkenaan maka dengan cara itu semua orang terpaksa ikut dan patuh pada keputusan orangramai bukan pilihan orang di atas kerana kadang-kadang pilihan orang di atas tidak begitu tepat dengan selera orang bawah,” katanya.-26/6/2009
sumber agenda daily

No comments:

Post a Comment