Tuesday 21 July 2009

Biar tok guru dia beri fatwa - Dr Zambry




Dia banyak Tok Guru, biar dia orang komen,” itulah ulasan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengenai penyertaan bekas Menteri Besar Perak yang juga Timbalan Pesuruhjaya Datuk Seri Nizar Jamaluddin mengambil bahagian dalam acara menyalakan lilin bagi memperingati kematian setiausaha politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat lepas.

Menurut Dr Zambry, mereka yang bergelar ulama dalam PAS yang arif tentang hukum agama perlu membuat fatwa berhubung penyertaan Nizar tersebut.

"Saya bukan ulama nak komen tentang tindakan Nizar. Biar orang agama komen tentang ini. Biar tok guru komen. Dia banyak tok Guru. Dia (Nizar) pun tok guru juga. Dia pandai baca Quran, bagi ceramah, bagi khutbah di masjid. Dia lagi tahu apa yang dia buat," katanya.

Dr Zambry berkata demikian kepada para pemberita ketika diminta mengulas penyertaan Nizar dalam majlis menyalakan lilin dengan berpakaian hitam. Acara tersebut dikatakan lebih merupakan amalan penganut Kristian terutama mengiati si mati.

Penyertaan Nizar itu mengundang persoalan apakah seseorang yang beragama Islam wajar menyertai majlis yang mempunyai mirip kepada amalan agama lain. Sedangkan ada riwayat yang menyebut Nabi Muhammad s.a.w. hanya menundukkan kepala semasa sekumpulan orang Yahudi membawa mayat lalu tidak jauh dari Baginda sebagai tanda hormat kepaa mayat.

Malah dalam menyambut acara perayaan di negara ini seperti kongsi raya, juga pernah ditegur oleh para ulama kerana dikhuatiri akan membuka ruang kepada umat Islam turut terlibat dalam amalan agama lain.

Selain itu umat Islam juga sering diingatkan bahawa mereka dilarang mengamalkan amalan atau budaya agama lain seperti setiap kali tibanya tanggal 14 Februari atau Valentine Day. Bagaimana dengan upacara memperingati kematian.

Persoalannya apakah hujah Nizar selepas ini kerana dalam era politik PAS yang semakin liberal kini terutama untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu, banyak yang sudah dikompromi termasuk membiarkan kilang arak terus beroperasi di Selangor walaupun sebelum pilihan raya dalam manifestonya menutup kilang arak adalah perjuangan PAS yang sering dilaungkan. - 20/7/2009

sumber agenda daily

Nizar sepatutnya tidak hadir nyalakan lilin – Dewan Ulama Pas

Oleh SAIFULIZAM MOHAMADpengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 22 Julai – Dewan Ulama Pas menyifatkan majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat lalu yang turut disertai oleh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai meragukan.
Sehubungan itu Ketuanya, Datuk Harun Taib berkata, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu sepatutnya tidak hadir pada majlis tersebut kerana sifatnya yang meragukan itu.
Menurutnya, Rasulullah sendiri amat menitikberatkan perkara berkenaan seperti sabdanya yang bermaksud tinggalkan perkara yang engkau ragu dan ambillah perkara yang engkau tidak ragu.
“Hadis ini menyuruh kita meninggalkan perkara-perkara yang meragukan iaitu sesuatu yang hukumnya tidak jelas sama ada halal atau haram. Seperti majlis ini adakah ini upacara agama atau sebaliknya?
“Sebenarnya Pas telah pun membuat satu garis panduan bahawa majlis-majlis yang meragukan tidak harus dihadiri oleh pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli kita,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Mohammad Nizar menyertai majlis menyalakan lilin anjuran DAP Perak semasa memperingati kematian Beng Hock di Ipoh, Jumaat lepas dan gambar majlis itu disiar oleh New Straits Times pada Sabtu lepas.
Bagaimanapun Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa dalam laporan akhbar hari ini mempertahankan tindakan Mohammad Nizar dengan menyatakan ia tidak menyalahi ajaran Islam.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir pula ketika mengulas isu itu telah meminta ulama Pas mengeluarkan satu fatwa berhubung tindakan Mohammad Nizar.
Dalam pada itu, Harun berkata, beliau tidak pasti sama ada Mohammad Nizar sedar atau tidak mengenai garis panduan berkenaan.
“Ini bukan satu fatwa tetapi inilah ketetapan atau garis panduan yang telah kita putuskan selama ini.

sumber utusan malaysia

Pas serah kepada Dewan Ulama tentukan tindakan Nizar

RANTAU PANJANG: Pas menyerahkan kepada Dewan Ulama untuk mengeluarkan fatwa atau hukuman terhadap tindakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Dr Mohd Nizar Jamaluddin, yang menyertai majlis nyalaan lilin di Ipon bagi memperingati kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada seorang Exco Selangor. Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, berkata pihaknya tidak mahu terburu-buru mengeluarkan sebarang kenyataan dan membiarkan Dewan Ulama Pas untuk kemukakan sebarang pandangan. "Kita serah sahaja kepada Dewan Ulama Pas untuk tentukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek fasa kedua di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Zambry yang mahukan ulama Pas memberikan pandangan agama terhadap tindakan Nizar yang menyalakan lilin untuk memperingati kematian Teoh. Di KOTA BAHARU, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, enggan mengulas tindakan Nizar itu. Ketika ditanya, Menteri Besar Kelantan itu sebaliknya mempersoalkan aspek politik mengenai Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri Perak.
Nik Abdul Aziz mempersoalkan kesahihan tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambri Abdul Kadir, kerana ianya dianggap bertentangan dengan amalan demokrasi. "Usahkan fatwa Islam, fatwa demokrasi pun dia (Zambri) tak pakai... Itulah jawapan saya, saya dah jawablah tu", katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Darul Naim. - Bernama

sumber berita harian

JUSTICE FOR ALL !!!!
Melihat gambar Nizar dan seorang lelaki melayu bersongkok di dalam gambar di atas membuat saya tertanya-tanya di dalam hati..apakah ini yang dinamakan KEADILAN yang mereka perjuangkan?…sampai kepada kesaksamaan cara dan kaedah agama lain pun turut diikuti atas nama KEADILAN…
Memang keadilan itu salah satu dari suruhan Allah, bersikap adil itu satu sifat yang mulia, namun begitukah KEADILAN sehingga kita harus tunduk menikus walaupun bertentangan syariat dan hukum Allah?…Pandai sungguh mereka ini bermain dengan ayat-ayat Allah, muga-muga mereka ini sedar, hawa nafsu dan kejahilanlah yang telah mempermainkan mereka.
Mungkin inilah antara GAMBARAN yang Allah pertontonkan di depan kita terhadap seseorang yang seronok menggunakan nama Islam atas kepentingan diri sendiri.. Nizar terlalu angkuh dan sombong selama ini, sehingga seperti lupa bahawa dia hanyalah hamba Allah bukan hamba sesiapa. Malangnya dia berbangga menjadi hamba manusia dan hamba dunia dari menjadi hamba Allah.
Renungkanlah kata-kata ini.
” Saya melihat bahawa dilema umat Islam di dunia kini dan krisis terkini di Malaysia antara para penguasanya adalah berpunca dari salah faham atau buat-buat tak faham tentang erti keadilan. Sudah sekian lamanya umat Islam berjuang dalam dilema tentang konsep-konsep hidup yang mendasar dan terpenting. Maka inilah buahnya, terjadi ketidakstabilan pembangunan, politik, ekonomi, sosial, agama dan lain-lain lagi, yang sangat merumitkan hidup.
Niat suci tanpa sebarang kepentingan dalam perjuangan pun akan tidak berhasil kiranya erti perjuangan itu tidak ditafsirkan dengan tepat atau dengan tidak adil. Apalagilah kalau maksud perjuangan itu dicampuraduk dengan nafsu-nafsu tamak, sombong, cinta dunia dan lain-lain lagi. Tentu akan membawa pada satu ending yang menakutkan bahkan memalukan.”
================================================
Memperkatakan keadilan sebagai satu keadaan yang diinginkan oleh setiap orang tidak boleh dilihat dalam satu-satu sudut sahaja. Misalnya, dalam menjatuhkan hukum kerana ia merupakan dalam skop yang sempit. Nanti terjadi keadilan itu tidak menyeluruh dalam kehidupan dan hanya segelintir yang mengecapinya. Sedangkan ramai lagi yang merasa berada dalam ketidakadilan dan penzaliman.
Penzaliman juga bukan berlaku dalam satu-satu keadaan atau didalam satu aspek sahaja tetapi menyeluruh. Bila tanpa keadilan yang menyeluruh, maka penzalimanlah yang berlaku dalam semua aspek kehidupan. Sebab itu disaat-saat orang bercakap tentang keadilan sebagai tema perjuangan masing-masing, saya turut mencelah untuk memberi satu tafsiran tentang konsep keadilan dan ketidakadilan menurut Islam.
Saya melihat keadilan yang syumul mesti dijadikan cita-cita perjuangan kita umat Islam. Supaya keadilan yang tercetus nanti adalah untuk semua pihak dan golongan dan didalam semua keadaan. Supaya sesudah itu tidak bangun pula satu pihak lain yang masih terasa terzalim untuk menuntut keadilan.
Islam menggariskan satu pengertian dan bentuk-bentuk perlaksanaan keadilan yang begitu syumul, menyeluruh dengan setiap individu terasa dilayan sesuai dengan peranan, kepentingan dan keperluan hidup matinya.
Rasanya tidak ada satu ideologi dan isma-isma yang diperjuangkan oleh manusia, yang mampu melukiskan potret keadilan yang begini bijak dan indah. Keadilan yang dirujuk kepada akal lebih-lebih lagi pada nafsu hanya mampu memenuhi kehendak-kehendak keadilan serpihan dengan menindas dan menzalim. Sedangkan Islam upaya menjangkau keluasan daerah kehidupan sejagat untuk setiap pihak dilibatkan dalam menjangkau matlamat keadilan ini. Sekalipun orang-orang bukan Islam terasa diadili oleh Islam. Mereka bahagia bernaung dibawahnya.
Sebab itu Islam yang pernah cemerlang gilang gemilang itu kini mampu bangun lagi menjernihkan wajah dunia untuk kali keduanya, insyaALLAH. Sedangkan ajaran-ajaran lainnya tidak upaya hidup lagi, sesudah kematiannya yang pertama. Diwaktu Islam sedang bangkit, kini isma-isma itu sedang menurun kepada kehancurannya.
Kerana, sesudah ideologi-ideologi itu merosakkan dunia dengan segala ketidakadilan, (memang sejarah tidak mencatitkan adanya ideologi-ideologi dan apa-apa ajaran selain Islam yang mampu menegakkan keadilan secara syumul yang penuh gilang gemilang), kemudian buntu pula untuk menyelesaikannya. Lalu kelihatan Islam mampu menjawabnya. Islam ternyata pernah menyelesaikan masalah yang lebih kusut dari ini. Yang kemudiannya membawa keadilan seja‣at. Maka kini terhadap masalah ini tentu mudah saja untuk Islam mengungkai kekusutan dan meluruskannya kembali buat kali kedua kalau diberi peluang.
Tetapi Islam yang mana? Sudah terlalu banyak Islam tampil ke dunia hari ini dengan wajah-wajah yang berbeza-beza. Katanya Islam tapi disadur dengan semangat nasionalisma yang kelihatan begitu buruk dan dhaif sekali atau bersifat politik yang kotor. Mana Islam yang dimaksudkan?
Rasulullah menjawab pertanyaan ini dengan sabdanya;
Terjemahan:
“Akan sentiasa ada satu thoifah yang dapat menzahirkan kebenaran dan mereka tidak dapat dirosakkan oleh orang-orang yang menentangnya”.
Islam yang sebenar itu boleh dilihat pada kemampuannya menzahirkan syariat dan syiarnya dengan begitu praktikal sekali didalam individu dan jemaahnya.
Dia seolah-olah batu karang yang dapat mengangkat dirinya dipermukaan laut. Kapal sebesar manapun kalau melanggarnya, kapal yang pecah, bukan dia. Bahkan batu karang itu bukan saja tak terjejas tetapi makin membesar selepas perlanggaran tersebut.
Itulah dia Islam yang maha agong, maha gagah, sungguh hebat dan indah, kerana ia pilihan ALLAH Yang Maha Agong, Maha Perkasa dan Maha Segala-gala Kehebatan. Islam yang ilmunya paling cerdik jauh lebih cerdik pandai sezaman. Islam yang strateginya tidak dapat dikesan musuh, bahkan musuh tertipu dibuatnya. Kalau para pejuang dapat dipermainkan oleh musuhnya, itu membuktikan telah ternafi sifat taqwanya
Islam yang perjuangannya sejagat, diterima dan dipakai di mana-mana negara dan pada apa-apa bangsa jua pun. Islam yang perbuatan musuhnya bukan saja tidak merosakkannya bahkan musuhnya itu turut menjadi baja dan agen untuk menyuburkan perjuangannya. Carilah kalau-kalau sudah ada Islam yang begini rupanya

sumber kelab penyokong maya umno
http://puterinafisah.blogspot.com/


Nik Aziz enggan keluar fatwa

KOTA BHARU 22 Julai - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat enggan menjawab cabaran daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir supaya mengeluarkan fatwa berhubung tindakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyertai majlis menyalakan lilin di Ipoh, Jumaat lalu.
Alasan yang diberikan Nik Abdul Aziz yang dianggap sebagai 'ulama besar' dalam Pas itu ialah kenyataan itu dikeluarkan oleh orang politik dan tidak ada kena mengena dengan fatwa Islam.
"Zambry ini orang politik bukan orang kaji Islam, apa kena mengena dengan fatwa agama, fatwa demokrasi pun (beliau) tak pakai, itu pandangan saya.
"Dia orang politik, saya jawab cara politiklah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Zambry yang meminta ulama dalam Pas mengeluarkan satu fatwa berhubung tindakan Mohammad Nizar menyertai majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat lepas.
Sebagai parti yang mempunyai ramai ulama besar yang arif tentang hukum agama, maka adalah wajar untuk golongan ulama Pas memberi penjelasan mengenai tindakan bekas Menteri Besar Perak itu menyertai majlis sedemikian.
Zambry yakin ulama Pas seperti Nik Abdul Aziz atau Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pastinya mempunyai penjelasan terhadap tindakan Mohammad Nizar itu.
Semalam, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa mempertahankan tindakan Mohammad Nizar kerana ia tidak menyalahi tindakan ajaran Islam kerana ia sekadar tanda bantahan terhadap kejadian yang menimpa Beng Hock.
Sebelum ini, Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuh pernah mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan memegang lilin seperti itu adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
Sementara itu, pemberita yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut mengulangi soalan berkenaan yang meminta Nik Abdul Aziz memberikan pandangannya mengikut hukum Islam tentang tindakan Mohammad Nizar tetapi Menteri Besar Kelantan itu menyatakan hanya itu jawapannya.
"Zambry yang bertanya.... usah akan fatwa Islam, fatwa demokrasi pun (beliau) tak pakai, siapa yang halau Menteri Besar dan rampas Dewan, tiap-tiap wakil rakyat yang masuk Dewan (Undangan Negeri) melalui mengundi dan bukan melalui sogok," katanya.
Wakil media yang masih tidak berpuas hati sekali lagi membangkitkan soalan yang sama sambil cuba memberikan penerangan yang lebih lengkap, Nik Aziz hanya menjawab: "Biar dulu, itu jawapan saya," katanya.

sumber utusan malaysia


Pegang lilin haram di sisi Islam: Harussani
SHAH ALAM – Tindakan memegang lilin oleh masyarakat Islam sebagai tanda memprotes dan mengingati orang mati adalah satu perbuatan haram di sisi agama. Muft:i Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, perbuatan itu menyalahi hukum Islam kerana seolah-olah menggambarkan ajaran kristian. :“Islam haram tindakan sedemikian. Tambahan pula perkara itu dilakukan untuk orang mati. Dalam agama kaedah terbabit adalah orang kristian,” katanya, semalam. B:eliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa yang berpendapat tindakan terbabit boleh dilakukan sebagai tanda protes. :Bagaimana pun, kata Harussani, seseorang boleh melakukan protes dengan menghantar surat bukannya menerusi perbuatan seumpama itu. “Banyak medium lain yang boleh digunakan bagi menunjukkan bantahan dan rasa tidak puas hati. Selain surat kita boleh bersemuka. “Itu adalah cara terbaik daripada melakukan perkara yang haram di sisi agama,”katanya. Menurutnya, dalam konteks ibadat ia tidak boleh dipermain-mainkan. Jumaat lepas bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri M:ohammad Nizar Jamaluddin yang memegang lilin ketika menyertai majlis berkabung memperingati kematian setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

sumber sinar harian



Nik Aziz pertahan Nizar
KOTA BHARU 23 Julai - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyertai majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Teoh Beng Hock walaupun Dewan Ulama Pas menyifatkannya sebagai meragukan.
Beliau yang menyifatkan isu itu sengaja diperbesar-besarkan menyerahkannya kepada Nizar jika ia berhubung kait dengan niat ketika menghadiri majlis tersebut.
''Dewan Ulama menyatakan meragukan, ia tidak serupa dengan haram kerana 'ragu' lain, 'haram' lain, kalau ditanya adalah bergantung dengan niat, biarkanlah (serah kepada Nizar).
''Saya sendiri kalau orang agama Hindu atau Cina jemput, saya tanya, ini agama atau adat resam, kalau agama saya tidak boleh pergi tetapi kalau adat resam saya boleh buat," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan 2009 di pekarangan Stadium Sultan Mohammad ke-IV di sini hari ini.
Dewan Ulama Pas menyifatkan majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Beng Hock Jumaat lalu yang turut disertai oleh Mohammad Nizar sebagai meragukan.
Sehubungan itu ketuanya, Datuk Harun Taib berkata, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak tersebut sepatutnya tidak hadir pada majlis berkenaan kerana sifatnya yang meragukan itu.
Nik Abdul Aziz menambah, berhubung majlis nyalaan lilin, beliau hairan apabila masalah itu diperbesarkan kerana telah ramai masyarakat pada hari ini meraikan majlis sambutan hari jadi dengan menyalakan lilin.
''Tiap-tiap tahun anak kita yang sekarang ini telah merebak, tahun pertama sebatang lilin dia hembus, tahun kedua, dua batang lilin dan seterusnya yang digunakan sebagai simbolik untuk sukatan umur.
''Sebelum ini sibuk mengatakan Cina dalam DAP baca al-Quran, sibuk kata haram. Saya jawab, Nabi Muhammad SAW tulis surat kepada raja-raja Mesir dan Iran guna ayat al-Quran dan bagaimana Nabi tulis surat kepada raja kafir begitu, tiba-tiba kita kata tidak boleh orang Cina baca ayat al-Quran, jadi semua ni benda-benda pelik," katanya.
Soal majlis nyalaan lilin itu dikatakan mempunyai hubung kait dengan kaum Majusi yang memuja api, beliau berkata, perkara tersebut diulas secara berlebihan.
''Kalau begitu kita naik motokar sekarang pun tidak boleh kerana itu dikaitkan dengan Inggeris, teruk benarlah tu. Sebab kalau hendak dikira, songkok yang Melayu banyak pakai ni, kalau pergi ke Bombay dan Madras, ramai Hindu yang pakai songkok dan asalnya dari sana.
''Jadi teruk jugalah kita, teruk kalau kita tidak mengikuti politik kerana dunia sekarang ini, pakaian dan makanannya saling kait mengait seluruh dunia dan kita juga guna Internet itu bukan orang Islam yang cipta tetapi orang Eropah," ujarnya.
Ditanya berhubung parti itu yang dikatakan telah mula menjalankan kempen sebagai persediaan kemungkinan menghadapi pilihan raya kecil di Galas, ekoran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Che Hashim Sulaima, 45, dilaporkan uzur, Nik Abdul Aziz berkata ia cuma 'perkara biasa'.
''ADUN tersebut memang sedang sakit dan pagi tadi telah berangkat ke China untuk mendapatkan rawatan dan kalau dikaitkan dengan kempen Pas di sana, Pas kalau tidak ceramah, nak buat kerja apa lagi," ujar beliau
Sementara itu ketika ditanya pandangannya berhubung tindakan seorang model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, bersetuju dan meminta hukuman enam sebatan yang dijatuhkan kepada oleh Mahkamah Tinggi syariah Kuantan, Pahang selepas mengaku bersalah meminum arak dipercepatkan beliau berkata, masyarakat sudah dapat menerima hukum hudud.
''Kami (Pas) telah siap hudud berapa tahun lalu, bila ada kesedaran, manusia semua hendakkan sebat, hendakkan kerat tangan sebab apa sahaja hukuman di dunia tak kena dengan Islam, di akhirat kena pula.
''Daripada kita kena bakar di akhirat lebih baik selesai atas muka dunia, ini puncanya timbul hudud. Tetapi sebab mantan Perdana Menteri melarang kami, kalau buat hudud juga ada jadi rusuhan," ujarnya
end

sumber utusan malaysia

1 comment:

  1. xpayah cerita hudud.sedangkan hudud hanya di politikkan demi nak menang pilihan raya.nak komen tentang nizar pun takut.inikan nak berbicara tentang lain.jangan takut dalam menegakkan kebenaran.akan hilang kepercayaan orang lain nik aziz jika takut bersuara demi cinta dan menjaga kepentingan dap semata-mata

    ReplyDelete