Wednesday 4 November 2009

Di Persimpangan Jalan Perjuangan

simpangan Jalan Perjuangan

UCAPAN DASAR
KHAIRY JAMALUDDIN ABU BAKAR
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG
PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA 2009
14 OKTOBER, 2009
PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA



“DI PERSIMPANGAN JALAN PERJUANGAN”


Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap,
Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap,
Wakil-wakil Majlis Tertinggi

- Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir
- Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob
- Yang Berbahagia Dato’ Abdul Azeez Abdul Rahim

Yang Berhormat Dato’ Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri
Para Perwakilan dan Pemerhati

1. Alhamdulillah, segala puji bagi Tuhan Penguasa Semesta Alam, kerana dengan rahmat dan izin-Nya, Pergerakan Pemuda sekali lagi dapat berkumpul di pagi yang penuh keberkatan ini bagi menunaikan kewajipan kita sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Parti.

2. Bertepatan dengan suasana Syawal, saya dan seluruh kepimpinan Pemuda peringkat nasional dan negeri mengucapkan selamat menyambut Hari Raya dan memohon maaf zahir dan batin kepada semua pihak, sekiranya ada tersilap kata atau terlanjur laku. Atas itu, saya secara peribadinya, sekali lagi menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas segala salah dan silap selama ini. Sesungguhnya, inilah peluang dan ketika yang terbaik, untuk kita merapatkan saf, membuang yang keruh dan mengambil yang jernih, serta saling maaf-memaafi bagi kita semua bergerak ke hadapan untuk berbakti pada nusa dan bangsa.
Banyak masa antara masa
Tiada tandingan saatnya ini
Jari disusun maaf dipinta
Teguh ikatan seikhlas hati


3. Pada majlis yang penuh mulia ini juga, izinkan saya mewakili seluruh ahli Pergerakan Pemuda, secara rasminya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada mantan Presiden, YABhg Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi serta bekas Ketua kita, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, atas jasa dan sumbangan mereka - bukan sahaja sebagai pemimpin dan payung bagi kita, namun juga selaku insan berjiwa besar yang telah menyerahkan tampuk kedudukan kepada generasi baru.

Kalau ada si bunga rampai
Kirimkan saya buat penyeri
Jasa tuan tidak ternilai
Seluruh alam menjadi saksi

Saudara Perwakilan Sekelian,
4. Kehadiran saudara pada hari ini pastinya dengan semangat dan komitmen yang jitu kepada perjuangan parti. Sewajarnya, kita menginsafi bahawa kita, insan yang serba kerdil ini telah diberikan amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin dan juga wakil di dewan yang mulia ini. Hadirnya jasad dan roh kita bukan atas nama individu dengan kepentingan diri sendiri. Hadirnya kita di sini adalah bernawaitukan kepada Allah SWT, bagi mendukung dan memperkasakan institusi UMNO serta Pemuda UMNO yang telah menjadi wadah pembangunan bangsa dan negara - yang berjaya merentasi pelbagai ombak dan badai rintangan dalam mengharungi zaman dan sejarah.

5. Komitmen dan istiqamah terhadap perjuangan ini sememangnya terpahat kukuh atas landasan dan asas agama. Kita diingatkan oleh Allah SWT tentang istiqamah dan pentingnya kita berpegang kepada tali agama dan perpaduan.

Allah SWT juga berfirman dalam Surah Al Maidah, ayat 2:

“…dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pencerobohan dan bertaqwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya.”

6. Sepanjang enam puluh tahun, Pergerakan Pemuda dihimpunkan dalam satu jemaah atas kesedaran ini. Allah SWT tidak menyatukan kita untuk melakukan perkara yang mungkar, membawa kerosakan dan kepincangan kepada bumi dan bangsa. Kita disatu dan disepakatkan melalui proses politik untuk berbakti dan mencurah amal kebajikan kepada umat dan watan kita, menyempurnakan satu ibadah sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Az Zariyat, ayat 56:

“Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku”

7. Tujuan kita berpolitik mestilah berpaksi kepada kesedaran murni ini. Inilah medan dan ladang bagi kita menyemai amal dengan perjuangan duniawi melalui dimensi dan proses politik. Inilah jua makna dan sumber kemuliaan perjuangan kita dalam membela, mempertahan dan memajukan agama, bangsa dan tanahair.




Sidang perwakilan yang saya hormati sekalian,
8. Kita sebenarnya berada di persimpangan jalan yang cukup penting dalam perjuangan Pemuda UMNO. Pilihan yang kita ambil akan menentukan jatuh bangun parti menjelang cabaran paling besar dalam sejarah kita. Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) adalah pertarungan survival bagi UMNO dan Barisan Nasional. Pakatan Pembangkang akan cuba memberi pukulan maut kepada kita setelah berjaya menafikan majoriti dua pertiga di Parlimen dan menang di lima negeri pada pilihanraya yang lepas. UMNO dan BN hanya ada tiga tahun untuk membuktikan kepada rakyat bahawa kita masih merupakan pemimpin dan pentadbir yang terbaik untuk negara – yang mampu memenuhi aspirasi rakyat.

9. Cabaran sekarang memerlukan kebijaksanaan untuk kita mengurus persekitaran politik yang jauh berbeza daripada kebiasaan sebelum ini. Kita berhadapan dengan pengundi yang lebih berpendidikan dan terdedah kepada dunia. Mereka lebih mudah membuat perbandingan akan tahap pencapaian dan amalan politik di Malaysia dengan negara-negara lain. Ramai daripada kumpulan ini merupakan generasi muda – hampir tujuh juta dari pengundi pada PRU-13 nanti terdiri daripada pengundi muda. Generasi ini tidak boleh dipaksa untuk menyokong kita dengan hujah bahawa mereka patut berterima kasih dan bersyukur kepada UMNO dan BN. Pendekatan tersebut mungkin boleh digunapakai dahulu tetapi bagi generasi muda sekarang mereka mahu tahu apa yang boleh UMNO dan BN laksanakan dan bukan apa yang telah serta pernah dilaksanakan.


10. Yang pasti, lanskap politik tanahair amat berlainan dengan aliran maklumat yang bebas samada melalui media masa atau media baru. Pemodenan negara dengan infrastruktur canggih seperti jalur lebar dan telekomunikasi mudah alih bukan hanya meningkatkan produktiviti ekonomi negara tetapi juga memberi kesan kepada kesedaran dan kematangan politik rakyat.

11. Inilah persekitaran terkini – lebih bebas, terbuka, muda, terdidik dan kosmopolitan. Kaedah berpolitik di abad ke 21 ini menuntut kepada perubahan sepertimana perubahan zaman yang telah berlaku. Persekitaran yang mencabar ini dan masa yang teramat suntuk menuntut kita untuk bergerak sepanjang waktu, tanpa noktah, tanpa rehat kerana survival kita bergantung kepada keputusan PRU-13 nanti.


12. Atas kesedaran tersebut, walaupun baru enam bulan berlalu sejak pemilihan pimpinan Pemuda dilangsungkan, Pergerakan Pemuda telah memulakan gerak kerja ke arah peremajaan dan pemulihan parti. Barisan Exco dan kepimpinan negeri telah bermukim di Khemah Kerja Perdana di Janda Baik pada bulan April yang lalu, lantas kita muncul seia sekata dengan satu hati dan satu misi.

13. Selari dengan cabaran politik kini, Pemuda telah mengambil pendekatan yang menyeluruh dengan menyusun barisan Exco dan Sekretariatnya agar menjadi lebih responsif dan menjangkau kesemua segmen sasaran generasi muda. Ini meliputi rentasan geografi serta lapisan masyarakat seperti pekerja muda dan profesional muda di bandar dan di luar bandar, di bangku sekolah hingga ke universiti dan kolej.


14. Semua ini merupakan contoh bagaimana Pemuda akan bergerak bagi memenangi hati orang muda. Kita tidak boleh bergantung kepada retorik kosong politik. Jangan kita menjadi singa sarkas, yang mengaum tanpa sebab. Retorik mungkin mampu menarik liputan media buat seketika, tetapi untuk kita menarik sokongan rakyat biarlah kita tertumpu kepada usaha yang betul-betul menyentuh nasib rakyat dan isu-isu kebajikan mereka seperti malapetaka, musibah, kemiskinan, keselamatan, kesihatan, pendidikan dan perumahan.

15. Generasi muda juga mengharapkan kepimpinan fikiran atau thought leadership dari Pemuda UMNO – dan saya cukup bangga sebab dalam beberapa ruang debat, pentas ceramah dan forum TV serta medan-medan lain, Pemuda berada di barisan hadapan mewakili UMNO dan BN.


16. Ada tanda-tanda awal menunjukkan keberkesanan pendekatan ini, dengan penerimaan orang muda terhadap UMNO dan BN kembali meningkat. Daripada data keputusan pilihanraya kecil setakat ini, berkat usaha gigih saudara-saudara sekalian, di Manek Urai, sokongan orang muda telah meningkat di semua saluran manakala di Bagan Pinang minggu lepas, ia semakin jelas dengan bukan sahaja peningkatan malahan kemenangan BN. Siapa kata orang muda makin menjauhkan diri daripada perjuangan kita? Kemenangan kita baru-baru ini memberi semangat bahawa UMNO masih relevan dan mampu terus menjadi wadah perjuangan umat Melayu, terutamanya generasi muda.

17. Namun begitu, kita tidak boleh leka dan lalai. Anggaplah pencapaian permulaan ini sebagai satu rangsangan. Bahawa dengan strategi yang tepat dan gerakan yang menepati citarasa golongan belia, pengundi muda yang dikatakan begitu sukar untuk ditawan, sebenarnya boleh dimenangi. Pemuda UMNO dipertanggungjawabkan terhadap segmen ini, menarik sokongan mereka kepada BN, kerana kitalah yang merupakan titik sentuhan utama mereka dengan parti.


18. Justeru, Pemuda perlu melakukan transformasi generasi dalam pendekatan kita. Menyedari keperluan ini, saya telah memperkenalkan Rukun Pemuda sebagai asas kepada transformasi kita. Lima rukun ini, iaitu bersatu, berprinsip, inklusif, relevan dan proaktif, menggariskan satu falsafah kerja yang baru serta meletakkan garis panduan kepada pergerakan kita untuk mencapai matlamat kemenangan sokongan generasi muda.

19. Bersatu bermaksud bahawa asas kekuatan kita adalah perpaduan dan gerak kerja berpasukan, membariskan semua ahli Pemuda dalam saf perjuangan yang kukuh. Berprinsip pula bermakna bahawa Pemuda tetap berpegang teguh kepada perjuangan asas UMNO bagi menegak, mempertahan dan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air. Inklusif pula bermakna aktiviti dan program kita menjangkau parti dan merentasi perbezaan agama dan bangsa. Relevan membawa maksud bahawa segala program, medium penyampaian, gaya bahasa dan saluran maklumat hendaklah menepati citarasa golongan yang disasarkan. Akhir sekali, Proaktif merupakan piawaian budaya kerja di mana segala perancangan dan tindakan hendaklah dibuat tanpa menunggu arahan terutama dalam hal ehwal kebajikan rakyat sebelum ia menjadi kronik hingga dieksploitasi oleh pembangkang.


Saudara Perwakilan Sekalian,
20. Berlandaskan Rukun Pemuda inilah, kita akan menyahut semangat 1Malaysia yang mementingkan prestasi demi rakyat. Justeru, saya mencadangkan agar satu set penanda aras dibentuk untuk menjadi garis panduan gerak kerja Pemuda. Bukan sekadar itu, set penanda aras ini akan membantu kita melihat dan menilai rekod pencapaian pemimpin dan ahli Pemuda.

21. Penanda aras yang perlu kita terapkan adalah seperti berikut:
[i] Meningkatkan keahlian UMNO, khasnya keahlian baru golongan muda yang menyertai parti;
[ii] Mendaftarkan ahli-ahli UMNO sebagai pengundi di kawasan masing-masing;
[iii] Menjalin hubungan antara Pemuda UMNO bersama golongan-golongan yang berpengaruh dalam menjana perspektif generasi muda, atau opinion-shapers, seperti kumpulan cendekiawan, profesional muda, penulis-penulis muda, tokoh-tokoh agama dan golongan pendidik;
[iv] Memenangi perang mesej atau perang saraf, terutamanya di alam siber yang menjadi platform komunikasi politik masa kini;
[v] Dan penanda aras yang terakhir, yang paling penting untuk menilai prestasi Pemuda UMNO, adalah menambahkan undi golongan muda kepada BN, sekaligus memenangi undi saluran-saluran muda dalam pilihanraya.

22. Set penanda aras ini selari dengan transformasi UMNO untuk menyegar dan meremajakan lagi parti.

Saudara Perwakilan Sekalian,
23. Antara usaha penting yang juga dilakukan adalah pindaan Perlembagaan parti, supaya lebih sesuai dengan kehendak ahli UMNO, sepertimana yang telah disebut oleh YAB Presiden semasa Perhimpunan Agung yang lalu.

24. Pemuda menyambut baik usaha yang telah dirintis oleh YB Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan, yang telah mencadangkan beberapa perubahan berdasarkan kepada premis untuk menghak-upayakan lebih ramai lagi ahli UMNO menentukan barisan kepimpinan tertinggi parti. Ia juga memudahkan ahli bertanding tanpa sekatan, menjadikan UMNO lebih inklusif dan memudahkan proses menjadi ahli.


25. Secara keseluruhannya, Pemuda menyokong penuh cadangan pindaan Perlembagaan parti yang akan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Khas, esok. Pemuda juga meletakkan harapan supaya segala pindaan tersebut akan diterima kerana ia secara langsung memberi pengiktirafan khusus kepada orang muda. Saya tidak sekali-kali lupa bahawa di cawangan-cawangan serata negara-lah, jiwa perjuangan UMNO mula disemai di kalangan anak muda. Atas kesedaran itulah, sukacita saya melaporkan kepada saudara-saudara sekalian, satu usul penting yang akan dibentangkan esok – yang perlu disokong oleh kita semua; iaitu usul bagi mengiktiraf Ketua Pemuda Cawangan sebagai perwakilan automatik ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian. Bila Pemuda akar umbi bersuara, Pemuda negara diperkasa.

26. Pindaan perlembagaan juga membawa perubahan besar kepada parti di mana proses pemilihan jawatan tertinggi akan dibuat di peringkat bahagian dan tidak lagi terbatas kepada perwakilan di peringkat perhimpunan agung. Ini bermakna dari hanya 2,600 perwakilan yang menentukan kepimpinan parti selama ini, lebih dari 140,000 ahli akan diberi hak sedemikian.


27. Pemuda menganggap pindaan ini tepat pada waktunya dan berharap ia merupakan satu langkah permulaan bagi lebih mencerminkan profil UMNO sebagai parti akar umbi yang terbuka dan demokratik. Oleh itu, adalah menjadi harapan Pemuda, sekiranya sistem baru ini berjalan dengan lancar agar akhirnya satu hari nanti kuasa pemilihan ini diberi kepada kesemua tiga juta ahli UMNO. Satu Ahli, Satu Undi. Inilah nilai keahlian yang sebenar dengan memberikan hak dan kuasa kepada setiap ahli untuk menentukan kepimpinan parti – satu hak yang penting dan paling asas dalam politik.

28. Satu lagi perkara penting yang memberi kesan besar kepada Pemuda dan proses peremajaan parti adalah dalam perkara keahlian. Sebelum ini kita dengar banyak rungutan tentang kesukaran untuk menjadi ahli UMNO, terutamanya bagi generasi muda yang ingin berjuang bersama Pemuda. Dengan lulusnya pindaan Perlembagaan pada hari esok, permohonan untuk mendaftar sebagai ahli boleh diterima dan ditandatangani bukan hanya oleh Ketua Cawangan tetapi juga oleh Ketua Pemuda Cawangan. Dari itu saudara-saudara, jangan kita sia-siakan kuasa yang telah diberikan ini. Marilah kita melipat gandakan usaha dan tekad dalam memenangi hati orang muda di luar sana untuk bersama kita. Maka, saya menyeru agar saudara-saudara semua memberikan sokongan padu kepada cadangan pindaan yang akan dibentangkan esok.


Saudara Perwakilan Sekalian,
29. Pindaan Perlembagaan parti yang akan dibentangkan nanti adalah berkait dengan generasi muda yang menjadi ahli UMNO. Oleh itu, sewajarnya kita sebagai sebuah parti yang bersifat inklusif kepada semua, mencari jalan memperjuangkan kepentingan semua golongan muda baik di dalam mahupun di luar parti. Inilah tafsiran mesra rakyat yang diperjuangkan oleh Pemuda UMNO.

30. Masalah orang muda hari ini terutamanya bagi yang berhijrah ke bandar adalah peluang pekerjaan yang tidak menentu, kemudahan perumahan yang tidak terancang dan kurang penglibatan sivik. Tidak dinafikan, ramai dikalangan mereka mendapat peluang pendidikan yang disediakan oleh Kerajaan sehingga memiliki ijazah, diploma atau sekurang-kurangnya sijil. Namun, apabila mereka gagal memperoleh peluang pekerjaan dan menganggur, sering kali kita mendengar dakwaan yang menyalahkan orang muda - tidak cukup bijak, tidak fasih berkomunikasi dan tidak berkeyakinan. Ini menuntut kita mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan mereka.


31. Oleh itu, Pemuda ingin memohon beberapa langkah mesra kepada golongan muda dipertimbangkan oleh Kerajaan menjelang pembentangan Bajet 2010. Kita berharap Kerajaan boleh mempertimbangkan beberapa inisiatif khas untuk generasi muda sebagai salah satu daripada teras utama dalam Bajet akan datang yang antara lainnya, meliputi:
[i] Peluang perkerjaan yang lebih luas serta berkualiti tinggi terutamanya di sektor-sektor strategik seperti perkhidmatan, teknologi maklumat dan bio-teknologi;

[ii] Peluang latihan sepanjang hayat untuk meningkatkan kemahiran seperti penguasaan bahasa-bahasa antarabangsa dan teknologi terkini;

[iii] Pinjaman khas untuk usahawan muda, terutamanya bagi mengatasi halangan modal perniagaan di peringkat start-up atau permulaan serta bagi menggalakkan penyertaan mereka di sektor-sektor baru yang berteknologi tinggi dan mempunyai nilai tambah kepada ekonomi; mungkin ada cadangan untuk ditubuhkan Bank Belia atau Bank Pemuda.

[iv] Sokongan bagi gerak kerja sukarelawan dan pembangunan kebajikan komuniti; serta

[v] Menambahkan lagi peluang pekerjaan untuk pelajar lepasan aliran teknikal dan vokasional.

32. Pada masa yang sama, Pemuda juga prihatin kepada nasib golongan muda yang baru sahaja memulakan hidup berkeluarga, yang baru sahaja bekerja dan mempunyai pelbagai tanggungan, termasuklah membantu ibubapa dan membayar pinjaman pendidikan. Oleh itu, Pemuda mencadangkan inisiatif ini diberi perhatian oleh Kerajaan:-
[i] Menubuhkan tabung untuk pinjaman perumahan dengan kadar faedah yang terendah untuk beberapa tahun pertama agar orang muda yang baru berkahwin mampu memiliki rumah;

[ii] Memberi diskaun istimewa untuk kereta nasional kepada mereka yang mempunyai anak pertama dan baru hendak memiliki kereta;

[iii] Memperuntukkan RM200 bagi anak pertama setiap keluarga sebagai simpanan permulaan Tabung Skim Simpanan Pendidikan Nasional; dan

[iv] Menawarkan baucer membeli barangan keperluan asas bayi seperti susu dan lampin.

33. Pemuda berharap Kerajaan dapat menimbang dan memberi perhatian kepada cadangan-cadangan ini. Pemuda percaya bahawa dengan gerak kerja dan khidmat yang berterusan, insya-Allah BN akan dapat memenangi hati dan sokongan generasi muda yang merupakan aset dan harapan negara kita.

Saudara Para Perwakilan Sekalian,
34. Rakyat kini dihidangkan dengan pilihan antara gagasan yang membangunkan negara sejak sekian lama, yakni Barisan Nasional, atau pakatan pembangkang yang terus menerus memecahbelahkan rakyat. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mendedahkan siapa sebenarnya pakatan pembangkang ini. Bahawa mereka bukannya sebuah parti politik yang tulen – bahawa perhubungan mereka bukannya berteraskan ikatan yang sah atas prinsip yang sama. Apa yang sebenarnya wujud hanyalah satu perhubungan rambang dan kasual, tanpa prinsip moral, tanpa cinta sejati, tanpa hormat-menghormati. Satu pakatan yang sanggup tidur sekatil demi mimpi untuk ke Putrajaya, satu pakatan yang bernafas atas nafsu untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional.

Anak Batak mudik bergalah
Digigit nyamuk habis lebam
Pakatan retak menanti belah
Remuk di dalam dipendam-pendam

Batang cempedak pohon pedada
Buah peria di dalam dulang
Pakatan pembangkang temberang belaka
Janji bak lidah tidak bertulang

Riuh-rendah di pintu muara
Lebai Kassim membuka silat
Pembangkang gian tamakkan kuasa
Batu api perpecahan rakyat


35. Insiden-insiden yang kita lihat semenjak PRU-12 telah membangkitkan sangkaan bahawa tiada setiakawan dan tiada keikhlasan dalam perjuangan pembangkang. Tidak keterlaluan, jika saya nyatakan bahawa di antara mereka, DAP yang paling berkuasa. PAS sudah lari dari asas perjuangan dan menggadaikan prinsip tulen parti tersebut apabila Negara Islam bukan lagi menjadi wawasan utama mereka.

36. PAS tidak lagi garang bersuara, berani mengajar, jauh sekali berani menegur PKR dan DAP tentang pelbagai perkara. PAS tidak lagi sensitif kepada perkara-perkara pokok seperti cadangan menggunakan dana zakat bagi pentadbiran negeri di Selangor. Ini menzahirkan bahawa PAS sanggup tawar menawar dengan DAP hatta menggadai jatidiri dan perjuangan asas mereka demi politik. Kalau begitulah keadaannya, tiada jaminan mereka tidak akan mempertaruh atau menjual negara, sekiranya berkuasa.


37. Kalau DAP yang paling berkuasa, maka kita berhak untuk bertanya: siapa sebenarnya DAP ini? Bertopengkan platform parti berbilang bangsa, tetapi hakikatnya mereka didominasi oleh satu kaum sahaja. Selepas 40 tahun Lim Kit Siang menjadi Ahli Parlimen, pembukaan satu cawangan Melayu DAP bulan lepas digembar-gemburkan seolah-olah satu pencapaian yang cukup hebat. DAP hanya parti berbilang kaum pada namanya sahaja, sedangkan perjuangan sebenar mereka berunsur perkauman yang menyala membara seperti api dalam sekam.

38. PKR pula parti yang tandus ideologi, sekadar berkisar pengagungan seorang individu bernama Anwar Ibrahim. Apa sebenarnya prinsip perjuangan PKR, atau adakah mereka sama seperti DAP yang dahagakan kuasa? Kalau kononnya berjuang atas tiket keadilan dan anti rasuah, lihat sendiri pemimpin kamu itu wahai PKR. Anwar Ibrahim melalaikan masyarakat Malaysia, memanipulasi dan mengulit jiwa mereka dengan kata-kata indah seakan-akan dia-lah pemimpin yang bersih, tulen, berintegriti, dan acap kali menuduh pemimpin UMNO sebagai rasuah, rakus dan rasis.


39. Tetapi Anwar Ibrahim jangan kamu lupa sejarah kamu, kerana kami tidak lupa perbuatan lampau kamu. Apakah semata-mata Anwar Ibrahim beralih menjadi pembangkang, sejarah silamnya, segala dosa lamanya akan lesap begitu saja? Sejarah akan sentiasa membayangi Anwar ke mana sahaja dia pergi dalam arena politik. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

40. Siapa sebenarnya Anwar Ibrahim? Pejuang rakyat marhaen? Pejuang agama Islam? Pejuang bangsa Melayu? Pejuang hak asasi manusia? Atau apakah Anwar Ibrahim berjuang semata-mata untuk kepentingan peribadi Anwar Ibrahim? Mungkin Anwar telah berjaya dengan helahnya terhadap sebahagian generasi muda yang tidak pernah kenal siapa Anwar yang sebenar – seorang chameleon politik sesumpah yang berubah warna mengikut musim dan ketika melompat dari pohon ke pohon; makhluk pelbagai alam. Tetapi UMNO dan Pemuda UMNO ingat sejarah sebenar Anwar, dan kami akan memastikan Penglipurlara Lidah Bercabang Dua ini tidak akan sekali-kali sampai ke Putrajaya.


Saudara Perwakilan Sekalian,
41. BN ditubuhkan atas dasar persaudaraan dan persefahaman untuk menegakkan Perlembagaan dan asas kewujudan negara. Inilah perkongsian platform yang wujud dalam BN. Tetapi pakatan pembangkang tidak mempunyai sebarang persefahaman bersama melainkan nafsu untuk merampas Kerajaan – itupun kita tidak tahu siapa akan menjadi Perdana Menteri kalau pakatan ini mengambil alih. Malah dalam memilih Kabinet Bayangan, mereka memilih jalan selamat untuk menamakan tiga ahli bagi setiap portfolio kabinet, kerana mereka sebenarnya langsung tidak ada persefahaman dalam perkongsian kuasa, tidak seperti BN yang telah teruji dan terbukti.

42. Pakatan pembangkang tidak berprinsip sepertimana BN, kerana mereka tidak pun berpegang kepada Perlembagaan. Jika tidak, mengapa DAP, misalnya, tidak habis-habis menyerang kedudukan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan Agama Islam dengan dibantu oleh PAS dan PKR yang langsung menolak ke tepi prinsip asas negara?


43. Kita perlu terus mendedahkan taktik kotor pembangkang ini. Kita tidak pernah barang sedetik gentar dengan mereka kerana mereka yang sebenarnya takut dengan kita. Mereka yang yang takut dengan kepimpinan YAB Dato’ Seri Najib. Mereka tiada idea baru. Dalam ketandusan tersebut mereka amat licik mencucuk rakyat, menyebar fitnah, menimbulkan huru hara, membuat rakyat akhirnya merana. Bak kata pepatah, kita membawa jarum, dia menyambut dengan gunting.

44. Pakatan pembangkang takut tindakan kejam mereka terhadap penduduk Kampung Buah Pala akan diingati rakyat. Mereka takut rakyat menuntut janji RM1,000 kepada setiap anak Selangor yang ditawarkan masuk ke universiti, yang masih tak tertunai. Apatah lagi janji menurunkan 20 peratus cukai pintu yang sampai hari ini belum dilaksanakan walaupun sudah hampir 20 bulan berkuasa. Pokoknya, mereka takut akan kesedaran rakyat yang telah terpedaya dengan segala janji manis, tipu muslihat dan dakyah mereka terburai begitu sahaja.


45. Oleh itu, saudara sekalian, marilah kita bersama-sama bersatu mendedahkan helah dan dakyah pembangkang ini. Mari kita tewaskan mereka dalam permainan politik berbahaya mereka ini, yang sanggup menggadaikan segalanya hanya untuk berkuasa. Jangan kita biarkan Kerajaan Barisan Nasional ditumbangkan oleh satu kumpulan yang sebenarnya saling tindas-menindas, yang sebenarnya tidak ikhlas dalam perjuangan mereka sehingga tidak teragak-agak untuk menghalalkan yang haram, mengiyakan yang palsu, melupakan yang jitu demi mengejar mimpi mereka yang tamakkan kuasa.

Daun mengkudu di atas dulang
Anak udang mati dituba
Negara berpecah pembangkang girang
Demi kuasa dan tamak haloba

Pergi berburu nun ke sempadan
Dapat kancil kongsi bersama
Selagi hayat dikandung badan
Pemuda kekal pertahankan negara


Saudara Perwakilan Sekalian,
46. Sudah terbukti, gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Presiden telah berjaya memikat hati golongan muda. 1Malaysia merupakan satu konsep yang cocok dan sesuai dengan tuntutan zaman yang dahagakan satu prinsip politik yang berasaskan agenda perpaduan serta pencapaian demi rakyat jelata. Berpandukan semangat 1Malaysia ini, Pemuda perlu berpegang kepada satu misi baru untuk menjadi batu asas kepada perjuangan kontemporari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Misi ini adalah untuk memenangi seluruh rakyat Malaysia dan bukan hanya orang Melayu sahaja. Dari segi percakapan kita, perjuangan kita dan strategi politik kita, Pemuda UMNO perlu menerajui misi baru ini supaya kita memberi harapan kepada semua rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama dan latar belakang.

47. UMNO sebagai tunjang BN mestilah menunjukkan visi perjuangan yang mengenengahkan mutu kepimpinan kita yang syumul, inklusif lagi nasional. Inilah jalan berani. Jalan berani kerana ia menuntut satu anjakan daripada politik zon selesa berdasarkan perspektif bangsa dan parti kepada satu kesedaran politik yang merangkumi semua.


48. Saya menyebut tentang keberanian juga, kerana kita kini berada di persimpangan jalan perjuangan, yakni satu persimpangan di mana kita boleh memilih untuk kekal dengan cara dan gaya lama. Kita boleh bertempik suara melaungkan semangat Melayu dan memberi amaran kepada kaum-kaum lain supaya jangan mencabar ini dan itu. Pilihan ini mudah dan menjanjikan populariti di dalam parti. Tetapi adakah ini sebenarnya mesej yang dihasratkan oleh rakyat Malaysia, malah orang Melayu sendiri - apatah lagi pada waktu Presiden parti sedang membawa mesej perpaduan dengan gagasan 1Malaysia? Bagi Pemuda UMNO alaf baru, inilah keberanian sebenar – bagi memilih jalan untuk Pemuda menjadi perintis ke arah perpaduan negara melalui semangat 1Malaysia.

49. Ada yang berpendapat biarlah Presiden sahaja yang membawa mesej kenegaraan, tetapi Pemuda UMNO hendaklah meneruskan agenda dan pendekatan lama. Jika kita memilih berbuat demikian, rakyat akan melihat UMNO sebagai parti yang kucar kacir, parti yang hipokrit, tanpa satu ideologi asas yang konsisten untuk rakyat dan pengundi. Kita akan diadili sebagai parti yang cakap tidak serupa bikin, apatah lagi dalam era teknologi yang berupaya mendedahkan sebarang hipokrasi lantas menuntut satu konsistensi mesej di segenap lapisan kepimpinan parti dan Kerajaan. Adakah dalam konteks baru ini kita mahu Presiden parti bercakap mengenai satu perubahan – satu anjakan memecahkan benteng pemisah antara kaum – manakala Pemuda UMNO pula enggan berubah, sebaliknya bertempik melaungkan perkara yang berlainan daripada apa yang diperkatakan oleh Presiden?


50. Pembaharuan ke arah landasan ini tidak bermaksud kita lupa kepada agenda Melayu. UMNO dan Pemuda UMNO tetap akan menjadi pejuang bangsa – mempertahankan agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu. Ini semua perkara asas perjuangan UMNO yang tidak akan sekali-kali luntur dari agenda kita. Namun kita perlu memperjuangkan semua ini berlandaskan dua prinsip, iaitu keadilan dan rahmah, terutamanya dalam hubungan dengan kaum-kaum lain. Kompas perjuangan ini akan menggariskan agenda nasionalis kita, yang bukan berteraskan konsep kekuasaan Melayu atau Malay dominance yang sempit, tetapi kepimpinan Melayu atau Malay leadership yang adil dan rahmah.

51. Sebenarnya, jika diimbas sejarah kepimpinan UMNO dan BN, ternyata sekali prinsip kepimpinan Melayu yang adil dan rahmah sudah pun terpahat dalam realiti politik tanah air. UMNO dan BN telah mempamerkan kemampuan menjaga kebajikan dan kepentingan seluruh warga Malaysia. Contohnya, lihat sahaja pada perjuangan membenteras kemiskinan – agenda ini tidak berlandaskan warna kulit semata-mata, tetapi sebaliknya, dipanjangkan kepada mana-mana golongan kurang bernasib baik. Maka, berbekalkan landasan politik yang dihormati semua, pembaharuan yang diperlukan dalam lanskap masa kini adalah untuk UMNO dan orang Melayu konsisten dalam memantapkan kepimpinan nasional kita untuk semua rakyat Malaysia.


52. Seruan agar segenap masyarakat wajar diberi pembelaan bukan sahaja sesuatu yang dianggap sebagai hak sejagat atau universal right tetapi sebenarnya datang dari agama suci kita sendiri. Kerajaan di bawah pimpinan UMNO sering mengambil inspirasi Islam sebagai landasan kepada dasar negara, seperti prinsip Islam Hadhari yang menjamin hak golongan minoriti dibela. Justeru, tidak salah sekiranya orang Melayu juga memperjuangkan kepentingan warga Malaysia secara keseluruhannya. Malah, apabila kita menghormati pegangan dan agama orang lain, mereka juga akan lebih menghormati kita. Allah SWT berfirman di dalam Surah Al An’am, ayat 108:

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan”

53. Barangkali ada yang mengungkit adakah kita patut mempertahankan bangsa lain sekiranya mereka mempersoalkan kedudukan kita? Di sinilah kepimpinan kita akan teruji. Sebagai bangsa yang diberi amanah dan penghormatan untuk memimpin, orang Melayu tidak boleh mengikut rentak biasa – sebaliknya kita mesti melaksanakan sesuatu yang mengatasi apa yang biasa. Barulah kita akan berupaya memimpin dan dilihat sebagai pemimpin yang mendapat pengiktirafan lebih menyeluruh. Inilah satu lagi contoh Kepimpinan Melayu yang saya maksudkan – kepimpinan yang adil dan rahmah yang diterima oleh semua.

Saudara Perwakilan sekalian,
54. Pembaharuan ke arah kepimpinan nasional Melayu yang lebih jitu akan boleh dilaksanakan sekiranya orang Melayu sendiri membuat anjakan kepada perjuangan yang berbekalkan keyakinan ketamadunan kita, atau civilisational confidence. Keyakinan ketamadunan ini bermakna kita yakin dengan keupayaan bangsa untuk melangkah ke hadapan, mengukir kejayaan tanpa perlu takut bayang-bayang sendiri. Inilah cabaran generasi kita.

55. Saya menyebut soal cabaran generasi, kerana untuk terlalu lama orang Melayu dan UMNO sendiri, berada dalam perspektif minda atau mindset yang negatif dan defensif. Kita merasakan diri kita seolah-olah diserang atau under siege, dan segala gerak kerja seakan-akan disalurkan ke arah mempertahankan keistimewaan Melayu yang kita anggap sentiasa dicabar. Saya menyeru orang Melayu bermula dengan Pemuda untuk keluar dari perspektif minda ini. Tidak dinafikan, bahawa Perkara 153 Perlembagaan, yang menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, adalah keramat buat kita. Namun, jika dikaji dengan teliti, Perkara 153 hampir mustahil untuk dilucutkan daripada Perlembagaan Persekutuan. Sebarang perubahan memerlukan bukan sahaja kelulusan 2/3 Parlimen, tetapi mesti juga mendapat perkenan dari Majlis Raja-Raja. Ini sudah cukup mengingatkan kita bahawa secara realistiknya, kedudukan istimewa kita tidak mungkin boleh diubah.


56. Tetapi percayalah, Perkara 153 dengan sendirinya tidak akan menjamin kesejahteraan dan kemajuan bangsa. Sedarlah, sedarlah kita semua, bukan peruntukan perlembagaan yang membawa keistimewaan sebenar, tetapi kebolehan dan pencapaian orang Melayu-lah yang akan menentukan sama ada kita menjadi bangsa istimewa, bangsa yang unggul, bangsa yang terbilang.

57. Hak dan keistimewaan Melayu itu penting. Namun yang lebih penting adalah bagaimana bangsa kita diperkasakan. Apa yang perlu kita wujudkan ialah satu dimensi baru dalam perjuangan Melayu supaya pegangan ekonomi dan status bangsa kita dapat dimajukan, sesuai dengan semangat pemerkasaan Melayu yang wajib dicapai bersama. UMNO dan bangsa Melayu secara keseluruhannya, perlu beralih daripada kaedah atau setting defensif yang selalu menganggap ada orang lain mahu merampas hak dan hartanya, kepada Melayu yang berbekalkan keyakinan ketamadunan bangsa, mengukir visi kemajuan untuk masa hadapan. Inilah dilema Melayu yang baru – persoalan generasi yang wajib dijawab. Adakah kita hanya mahu mempertahankan simbol demi simbol atau adakah kita berani menerima hakikat bahawa perlu ada perubahan mekanisme dan visi demi melihat bangsa Melayu itu terus melangkah maju? Bagi saya, pilihan kedua merupakan jawapannya.


58. Saya percaya inilah juga visi YAB Presiden, yang, contohnya, telah memansuhkan keperluan pegangan ekuiti 30 peratus Bumiputera dalam Tawaran Awam Permulaan (IPO) di Bursa Malaysia. Sudah pasti Presiden mengambil langkah sedemikian bukan sebab beliau tidak endah akan agenda Melayu, tetapi sebab ternyata mekanisme 30 peratus itu tidak dapat memenuhi matlamat asalnya.

59. Presiden sendiri telah mengatakan bahawa daripada RM54 bilion nilai pegangan saham yang diberikan kepada Bumiputera melalui mekanisme 30 peratus ini, hanya RM2 bilion sahaja yang tinggal dalam tangan – habis dijual untuk pulangan cepat, tanpa kelangsungan kemajuan yang kita inginkan. Jadi terbuktilah ada simbol, mekanisme dan tongkat yang kita pertahankan selama ini tidak mencapai objektif yang asal.


60. Malah, apabila Presiden memansuhkan kriteria pegangan saham Bumiputera itu, beliau juga telah memperkenalkan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) sebagai institusi pelaburan baru yang boleh menggalakkan pertumbuhan syarikat-syarikat Bumiputera yang berpotensi tinggi. Inilah anjakan yang dipelopori oleh Presiden – bantuan secukupnya disalurkan kepada Melayu yang layak dan berpotensi, dan bukan mekanisme-mekanisme simbolik yang hanya membantutkan daya saing Melayu dan memberikan kita satu perasaan keyakinan yang palsu tanpa memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan ekonomi Melayu yang sebenar.

61. Pengisian visi kemajuan bangsa kita memerlukan satu keyakinan untuk kita menerima persaingan berdasarkan kepada merit, kemampuan dan kebolehan kita sendiri. Usah kita bercakap tentang meritokrasi antara kaum, jika dalam kaum kita sendiri pun kita belum mempraktikkannya. Jangan kita sebagai generasi muda mengamalkan budaya mencantas bakat Melayu sebelum bakatnya dapat diasah. Amat merugikan kepada bangsa sekiranya akibat hasad dengki, kita sanggup berusaha menjatuhkan orang Melayu lain yang berpotensi semata-mata untuk memuaskan hati. Kita perlu mengikis sifat dengki sesama kita, sebaliknya membantu dan memberi dorongan sewajarnya kepada saudara-saudara sebangsa seagama untuk lebih berjaya. Inilah maksudnya “keyakinan ketamadunan”. Kita tidak takut pada bayang-bayang sendiri.


62. Impian saya adalah untuk melihat suatu hari nanti, institusi-institusi pengajian tinggi tempatan dipenuhi anak muda Melayu bukan kerana kuota, tetapi kerana kelayakan merit. Tatkala kita mempertahankan kuota sekarang ini, jangan kita lupa, kuota sepatutnya hanya satu langkah bantuan, dan bukannya talian hayat orang Melayu selama-lamanya. Visi Melayu bukan untuk mempertahankan kuota semata-mata, tetapi untuk merasa bangga melihat orang Melayu berjaya dengan kekuatan sendiri.

63. Usah kita pesimis dan perlekehkan potensi bangsa kita – keyakinan untuk menerima persaingan yang lebih terbuka sudah wujud dalam hakiki budaya kita sendiri. Apakah kita mahu berdiri di sini mengatakan sejarah tidak pernah mempamerkan bangsa Melayu bekerja keras meredah seribu satu badai untuk mencapai misi? Lihat saja-lah pada peribahasa Melayu yang menggalakkan ketekunan, kerajinan dan jimat-cermat dan responsif dengan cabaran dan suasana sekelilingnya seperti:

Kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya
Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat
Rajin bekerja mudah belanja
Cermat masa banyak, jimat masa sedikit
Cicir dipungut, hilang dicari
Dalam berselam, cetek bertimba

64. Visi ini, anjakan ini, turut menuntut keberanian kita sebagai orang Melayu untuk melihat ke hadapan, berbekalkan keyakinan dan kepercayaan diri untuk mencapai kemajuan bangsa. Sebagai Pemuda waktu ini, kitalah generasi yang boleh melakukan perubahan tersebut. Kitalah generasi yang boleh berkeras mengatakan cukup-lah! Cukup-lah kita menidakkan keupayaan bangsa kita. Cukup-lah kita dikongkong ilusi yang menyatakan Melayu lembab, Melayu malas, Melayu bodoh. Generasi kita perlu bangkit menyahut cabaran masa kini dengan mengatakan Melayu tidak lagi takut berhadapan dengan dunia luar kerana Melayu tidak lembab, Melayu tidak malas, Melayu tidak bodoh. Sebaliknya, bangsa Melayu adalah bangsa berdaulat; satu bangsa yang bijak dan serba boleh. Pemuda Melayu generasi ini perlu memimpin bangsa kita keluar dari batasan dan kepompong minda yang menghakis keyakinan diri, serta maju ke hadapan - inilah perjuangan kita.


Bangunlah Bangsaku

Apalah erti omongan jika lekang dengan tindakan;
Harapan berkecai bak debu berterbangan jika tidak diampuh peranan;
Puas sudah gurindam dilagu, merungkai mengupas belenggu bangsaku;
Laungan dan panji-panji menggegar jiwa,
jumud dan kaku, makin sayup merintih sayu;

Namun aku pasti;
Fajar kini menyingsing lagi;
Menyingkap tirai membawa harapan seribu erti;
Namun menjajikan kegelapan kepada yang dengkal
Alpa dan iri hati;
Justeru bangunlah bangsaku;
Penuh kesedaran dalam kematangan
Disuntik azam baru;
Gembelingkan tenaga, berpadu, kita teguh bersatu;
Perwajakan hati, perkasakan diri
Sedia kita tempuh segala seteru;
Kerana masa beredar dan bumi berputar
Memungkinkan perubahan yang tidak menentu.

Justeru bangunlah bangsaku yang mapan dan berdikari,
Dibawah laungan 1Malaysia
Agar kita duduk sama rendah, kita berdiri lebih tinggi,
Agar jiwa bangsaku yang bermaruah
Tidak ditindas, tidak dihina, tidak perlu merintih lagi;
Mengibar panji di puncak ekonomi
Bukan lagi suatu mimpi;

Bangunlah bangsaku
Jangan kita tersungkur lagi;
Sejarah hitam jangan kita ulangi
Cukuplah hanya sekali;

Bangunlah bangsaku;
Perjuangan ini kita isi, kita galas, kita tunjangi;
Biar anak-anak kita tidak malu untuk mengakui;
Bahawa hasil perjuangan ayahnya bangga dikecapi;
Maruah bangsanya megah diwarisi.

Bangunlah…..bangunlah bangsaku;
Bangunlah bersama negaraku.


Saudara Perwakilan Sekalian,
65. Marilah kita barisan Pemuda berdiri teguh di belakang Presiden dan Timbalan Presiden kita, marilah kita bersama-sama mempertahankan Kerajaan kita yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, yang telah mengharungi pelbagai badai gelora bersama namun tetap tidak berganjak dari prinsip asas perjuangan - yang kekal bersama-sama dalam keadaan susah dan senang, yang bekerja keras untuk membangunkan negara, tanpa perlu menabur janji-janji palsu semata-mata untuk menjadi Kerajaan di bumi yang tercinta ini.

66. Sedarlah, kita kini berada di persimpangan perjuangan. Inilah masa dan detiknya, kita - golongan muda bersatu menjadi nakhoda zaman, memacu perjuangan ke arah ketamadunan yang terbilang. Ayuh, bangkitlah, bangkitlah kita semua menyahut cabaran, menerajui harapan, menunaikan tuntutan demi kelangsungan agama, bangsa dan negara.

Hidup UMNO!
Hidup UMNO!
Hidup UMNO!


sumber kahiry jamaludin

Friday 2 October 2009

Undi pos turut beri kelebihan kepada pembangkang

Undi pos turut beri kelebihan kepada pembangkang


SEREMBAN: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata undi pos yang dicanang pembangkang kononnya menjadi senjata utama kepada Barisan Nasional (BN) sebenarnya memberikan kelebihan kepada pembangkang pada pilihan raya umum ke-12 lalu di Bagan Pinang.

Katanya pada pilihan raya umum 2008, majoriti BN di Bagan Pinang merosot kerana undi pos berpihak kepada pembangkang.

"Pembangkang tidak boleh kata undi pos itu advantage (memberi kelebihan) kepada BN kerana pada 2008 disebabkan mereka dapat banyak undi pos pada ketika itu iaitu 1,800 undi kalau nak bandingkan dengan 2004," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Bulan Pertabalan Sempena Istiadat Pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di sini, hari ini.



Mohamad bagaimanapun yakin BN akan dapat mengukuhkan kedudukan kerana pada 2008, pengundi yang memilih BN bertambah kepada 6,430 berbanding hanya 5,000 lebih pada 2004.

"Jadi jangan kita tuduh dan tohmah yang macam-macam pasal undi pos ini. Pasal itu saya katakan kita perlu kerja kuat dan kita perlu menyakinkan semua orang untuk pastikan kemenangan kita tapi saya rasa yakin dan percaya BN akan dapat pertahankan kerusi kita di sana," katanya.

Mohamad yakin calon BN, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad akan berjaya menawan hati rakyat Bagan Pinang kerana popularitinya di kalangan mereka yang tinggal di Telok Kemang, Bagan Pinang serta Port Dickson.

"Senang kerja kita dalam BN, tak payah nak tarik ke hulu ke hilir hendak memperkenalkan calon, siapa tidak kenal Tan Sri Isa kan? Jadi sebahagian daripada kita punya kerja sudah selesai," katanya. Bernama

sumber berita harian

Pemuda Akan Jelajah Kawasan Termasuk Estet Di Bagan Pinang – Khairy

Putrajaya -- Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata pihaknya akan bergerak ke segenap pelusuk sehingga kawasan estet yang bermajoriti kaum India dalam usaha mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Menurut beliau gerakan tersebut yang dilaksanakan atas platform Pemuda BN itu diharap mampu menterjemahkan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada BN pada hari pengundian nanti.

“Kita berharap semua pemimpin BN juga mengambil tindakan sama kerana terdapat empat peti undi daripada lapan yang majoritinya kaum India, jadi kita perlu sokongan daripada parti yang mempunyai pemimpin daripada kaum itu.

"Saya sudah bermesyuarat dengan Pemuda MIC sebelum Aidilfitri lalu dan mereka bersetuju bekerjasama sebagai satu pasukan.
Beliau berkata demikian pada sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, di sini, Sabtu.

Bagan Pinang terletak dalam Parlimen Telok Kemang yang mempunyai lima kerusi DUN dengan tiga milik pembangkang, iaitu Chuah dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lukut (DAP) dan Port Dickson (PKR), manakala satu lagi kerusi, DUN Linggi dimenangi BN.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO seterusnya berkata pilihan raya kecil kali ini sangat penting selepas kekalahan BN di beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

“Kerusi itu kerusi BN, terletak dalam negeri yang boleh dikategorikan sebagai negeri selamat berbanding Kelantan dan Permatang Pauh. Saya yakin kita mampu mempertahankan kerusi itu berdasarkan sokongan dan bantuan yang akan diberikan kepada BN," katanya.

Pada masa yang sama beliau turut memberitahu, Pemuda BN tidak mempunyai masalah untuk berdepan dengan pilihan raya kecil berkenaan.

“Jentera kita di Teluk Kemang adalah kuat dan bersatu untuk memastikan kemenangan BN kelak”, katanya.

Oleh S.A Najmuddin

Wednesday 30 September 2009

Isa pilihan PM - Tun Shhhhhh

Tan Sri Isa Samad diumumkan sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober depan.
Isa merupakan ketua Umno bahagian Teluk Kemang dan bekas naib presiden Umno.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

(Apa bezanya Tun yang pernah dipecat dari UMNO dan akhirnya menjadi Perdana Menteri dengan Isa yang pernah digantung. Jika Tun pernah dipecat dan mebuat Come Back. Kenapa tidak Isa.)

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang, menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.

Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004. Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.

Ekoran itu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa Isa tidak seharusnya menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Jika tidak, katanya, imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

Isa, katanya, sudah didapati bersalah dan kalau Umno letak beliau sebagai calon, ia juga bermakna bahawa Umno tidak ambil berat tentang kes-kes semacam itu.

Dr Mahathir berkata, kalau pun Isa boleh menang tetapi Umno "kena fikir seluruh Malaysia fikir apa terhadap Umno".


Persoalannya :

1) Apakah Tun benar benar memerangi rasuah dan apakah UMNO benar benar bersih di zaman Tun, Bukan kah rasuah ini bermula dari zaman Tun dan bukan kah rasuah ini telah diamalkan 22 tahun yang lalu . Mengapa sekarang baru kita namakan sebagai rasuah ? Pernah kah UMNO sendiri memberikan guide line atau mendefinasikan apakah yang di panggil rasuah.

a) Belanja makan , setakat rm 12 seorang , apakah rasuah, Tambang bas setakat RM50 bagi pengikut , penginapan rm 12o dan wang saku rm300 untuk pengikut . apakah ini dinamakan rasuah. RM2500 sebulan untuk jentera . apakah ini juga dinamakan rasuah, Jika ini dinamakan sebagai rasuah, semua orang UMNO mengamalkan kaedah ini. Jangan tipulah jika mereka yang bertanding tidak keluar satu sen seperti Mukhriz. Ha ha .Memang Mukhriz tidak keluar kan satu sen pun, tapi tanya Tun Faizal atau Anaz .

b) Apakah Tun tidak keluar satu sen pun ketika menetang Tengku Razaleigh dahulu ?


c) Jika Isa yang telah digantung dan akur dan telah menjalankan hukuman dan masih setia dengan UMNO , kenapa Isa tidak boleh beranding ? Jika isa tidak boleh bertanding kenapa Isan tidak digantung seumur hidup dan pecat sahaja beliau dari UMNO. Ini undang undang manusia dan bukan undang undang tuhan . Jika penduduk di Bagan Pinang boleh menerima Isa , kenapa Isa tidak dibenarkan bertanding.

Sama juga seperti Khairy Jamaluddin . Apabila lembaga tatatertin membenarkan beliau bertanding , kenapa ada mulut mulut yang masih mahu memburukkan nama Ketua Pemuda UMNO Malaysia ini dengan lontaran perkataan rasuah setiap kali menyebut nama Khairy. Khairy bersalah bukannya atas dasar dia yang memberi rasuah atas dasar orang yang bertugas dan tidak ketentuan orang berkenaan sahih atau tidak bertugas dengan Khairy secara sahntungNO Tun perlu akur dan hentikan memberikan keyataan yang akan merugikan parti .

Tun tak perlu fikir apa yang seluruh Malaysia fikir terhadao UMNO, Tun perlu fikir apa seluruh Malaysia sedang memikirkan mengenai Tun.


Apa bezanya Tun yang pernah dipecat dari UMNO dan akhirnya menjadi Perdana Menteri dengan Isa yang pernah digantung. Jika Tun pernah dipecat dan mebuat Come Back. Kenapa tidak Isa.

sumber tapak bersulam

Thursday 17 September 2009

'Meter' by Benji & Bahir - English Subtitles - 15Malaysia

Khairy bangun pertahankan pemimpin bangsa – Tun M

Menghadapi tekanan Tun Dr Mahahthir bukan satu tekanan yang calang calang dan dikatakan mudah untuk seseorang pemimpin menerima dan melalui saat sedemikian. Tanpa kekuatan mental dan kebijaksanaan serta waras pemikiran untuk menyerap tekanan Tun Mahathir saja jawapan yang boleh menyerap tekanan ini, jika tidak, padahnya adalah kecundang. Inilah yang dihadapi oleh pemimpin muda ini yang memahami serta telah membaca akan akibat yang akan diterima sekiranya silap percaturan dalam permainan politik dengan Tun , Sebagai anak muda berbudaya timur dan beradat. KhairyJamaluddin dapat menyerap segala tekanan Dr Mahathir yang diterjemahkan oleh beliau sebagai teguran dan nasihat dari orang yang lebih berpengalaman dan matang .
Segala kata kata Tun dan kritikan Tun diterima dengan hati yang terbuka dan disambut dengan senyuman tanda hormat. Inilah Khairy Jamaluddin yang mana suka atau tidak kita terpaksa menerima bahawa beliau telah berjaya menyerap segala kritikan dan teguran Tun dari negatif ke positif dan akhirnya diterjemah kan sebagai satu hikmah yang menguntungkan diri beliau. Tidak sepatah pun dan tidak sekali pun anak muda ini melawan ataupun mengangakat kening menrenyuk tanda marah atau protes. Semuanya diterima dengan hati yang terbuka dan senyuman tanda redha dan menerima.

Hari ini, Khairy bagun mempertahan kan Tun , demi mempertahan kan mantan pemimpin negara dan negarawan yang dihormati dari dihina oleh Pemuda MIC. Beliau bukan saja bangun atas dasar peribadi , malahan mewakili seluruh pemuda UMNO Malaysia dan juga Pemuda BN. Jangan sekali kali dihina pemimpin bangsa ku. Pemuda akan bangun dan akan terus menentang.
Hari ini Khairy Jamaluddin membuktikan betapa matang nya kepimpinan beliau dan betapa matang landasan politik beliau yang tidak menyimpan dendam , Yang benar tetap akan dibela dan yang salah tetap kan ditentang , Dari sudut ini Tun dipertahankan sebagai negarawan negara , Tun adalah mantan pemimpin UMNO yang ulung, sekiranya Tun dihina ,terhina lah maruah bangsa dan juga seluruh warisan UMNO. sewajarlah anak muda dan juga pertubuhan muda yang dipimpin oleh Khairy ini bangun menentang bangsa asing yang cuba menjatuhkan maruah bangsa Melayu dan juga pemimpin Bangsa. kerana mereka adalah pemuda Melayu yang bersopan dan beradat.

sumber dari Utusan Malaysia

Friday 11 September 2009

Bukti Keprihatinan KM Terhadap Pelabur, Pekerja Industri

BATU BERENDAM, 11 Sept- Meskipun sibuk dengan pelbagai program rasmi yang agak padat, namun Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam masih sempat meluangkan masa menyertai program bersahur bersama lebih 400 pekerja industri di kilang Infenion Technologies (M) Sdn Bhd (Infineon) sekitar jam 4 pagi tadi.

Kehadiran beliau ternyata membuka sejarah di mana buat julung kalinya seorang pembesar negeri sanggup turun padang duduk bersahur bersama pekerja-pekerja syarikat berkenaan.

Kunjungannya juga jelas membuktikan sikap mesra pelabur yang menjadi sebahagian dari pendekatan Ketua Menteri yang sentiasa mengambil berat tentang operasi syarikat-syrikat multinasional di negeri ini serta kebajikan para pekerjanya.

Mohd Ali yang diiringi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Ismail Othman; Pengarah MIDA Melaka, Ruzlisham Md Diah; Pengurus Invest Melaka, Anuar Musa; Pengurus Bahagian Pekerja dan Pelajar Antarabangsa, Shahdan Othman serta Pegawai Seranta Industri PKNM, Faridah Nordin sempat bertanya khabar dan beramah mesra dengan pekerja-pekerja di syarikat berkenaan.

Turut hadir Naib Presiden/Pengarah Urusan Infineon, Peter Bailey; Ketua Pegawai Kewangan, Reisinger Markus; Pengarah Sumber Manusia, Ong Beng Tiam; Pengurus Kanan, Perhubungan Pekerja, Haron Nurul Fadzli dan Pengurus Kanan, Tan See Tai.

sumber melaka hari ini


Bersahur Bersama Pekerja Industri
Pekerja Infineon Kagumi Kepimpinan, Sikap Mohd Ali

BATU BERENDAM, 11 Sept - Seawal jam 3.30 pagi lagi, dewan makan pekerja di kilang Infineon Technologies (M) Sdn Bhd mulai sibuk. Pekerja-pekerja mulai memenuhi tempat duduk yang disediakan.

Lebih 400 pekerja yang mewakili pelbagai unit di kilang yang memiliki lebih 5,600 pekerja itu begitu ceria bagaikan ada sesuatu kejutan besar sedang menanti mereka.

Berita tentang kesudian Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, datang dan bersahur bersama mereka dianggap cukup istimewa sekali dan masing-masing diberi pelepasan untuk keluar awal bagi meraikan pemimpin yang cukup dikagumi itu.

"Saya bagaikan tidak percaya Ketua Menteri sanggup datang bersahur bersama pekerja-pekerja di sini," ujar Norimah Othman, 33 dari Taman Seri Duyong.

Beliau yang sudah bekerja hampir 15 tahun menyifatkan Mohd Ali sebagai pemimpin yang amat prihatin terhadap kebajikan pekerja-pekerja industri.

"Kami amat kagum dengan sikap beliau yang sanggup datang dan bertanyakan khabar tentang pekerja-pekerja di sini," ujarnya.

Nor Azizah Abdul Wahab, 29 dari Kuala Terengganu begitu teruja apabila Ketua Menteri datang menyapa dan bertanyakan khabar.

"Beliau agak terkejut bila mendapat tahu saya berasal dari Kuala Terengganu," ujarnya yang sudah 8 tahun bekerja.

Nor Azizah berkata, walaupun terpaksa merantau, namun beliau tertarik dengan pelbagai peluang yang ditawarkan di syarikat berkenaan dan berbangga kerana menjadi sebahagian dari keluarga besar Infineon.

Zulkifli Idris, 40 yang sudah berkhidmat selama 21 tahun berkata, Mohd Ali mempunyai karisma tersendiri yang menyebabkan semua rakyat kagum dengan kepimpiannya.

"Beliau kerap datang ke Infineon, lebih-lebih lagi jika ada sebarang masalah yang membabitkan pekerja. Namun kehadirannya pagi ini cukup istimewa kerana beliau sanggup bersahur bersama kami," ujarnya yang berasal dari Umbai.

Manakala Ramlan Khamis, 41 berbangga dengan sifat semulajadi Ketua Menteri yang memberi layanan sama rata kepada semua orang termasuk pekerja-pekerja industri.

"Beliau bukan sahaja mesra pelabur malah amat dekat di hati pekerja seperti kami. Sebab itu beliau sanggup datang walaupun sibuk dengan tugas-tugas rasmi sebagai pemimpin negeri," ujarnya.

"Saya tergamam bila Ketua Menteri menghampiri kami dan bertanya berapa lama sudah bekerja di sini," ujar Rohani Abu, 36 yang sudah berkhidmat selama 18 tahun.

Katanya, semua pekerja yang menyertai program bersahur kagum dengan keikhlasan Ketua Menteri sanggup menemui semua pekerja dan berbual mesra.

Ramlah Talib, 52 menyifatkan hari ini cukup istimewa kerana dapat berbual-bual dengan Ketua Menteri.

"Saya sudah bekerja selama 36 tahun, inilah pertama kali seorang Ketua Menteri datang berbual-bual malah sanggup mencedukkan lauk ke pinggan kami. Secara ikhlas, saya mendoakan moga beliau diberi kekuatan untuk terus menjadi pemimpin disegani dan dikagumi oleh semua," ujar beliau.


sumber melaka hari ini

Bagan Pinang - adakah kad merah UMNO

PRK Bagan Pinang merupakan satu manifestasi bagi menentukan apakah UMNO masih relevan dan pilihanraya kecil ini jugalah yang akan menentukan survival politik UMNO dan BN dalam Negara ini sebagai parti tertua yang memerintah negara masih diterima rakyat secara keseluruhan atau tidak.

Kekalahan UMNO/BN di lapan pilihanraya kecil seperti yang dinyatakan oleh Presidennya sebagai sebuah iktibar dan Bagan Pinang harus dijadikan landasan untuk UMNO bangkit semula apatah lagi Bagan Pinang adalah kubu kuat UMNO.

UMNO tidak perlu meratapi kekalahan demi kekalahan yang mereka terima di lapan PRK itu kerana kawasan DUN yang UMNO kalah adalah bukan kerusi UMNO kecuali di Parlimen Kuala Terengganu dan secara rasional, mengukur itu kelemahan UMNO untuk ketika ini adalah sesuatu yang tidak adil kecuali UMNO tumbang di Bagan Pinang nanti.

Kalau berpandu kepada statistik perubahan pola pemikiran pengundi, UMNO dilihat tidak akan bermasalah untuk menang serta mempertahankan Bagan Pinang daripada jatuh ke tangan PAS tetapi UMNO tidak boleh memandang ringan pertarungan terbaru di Bagan Pinang ini.

Untuk kali ini UMNO kena cukup berhat-hati.UMNO tidak boleh lagi mengulangi kesilapan memilih calon seperti yang berlaku di Permatang Pasir dan apa sahaja alasan yang diberikan oleh Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan adalah sesuatu yang sukar diterima kerana kekalahan di Permatang Pasir adalah kesilapan memilih calonnya yang penuh dengan masalah peribadi dan beban masalah tersebut terpaksa ditanggung oleh pucuk pimpinan parti.

Bila calon bermasalah, sepatutnya calon itu yang harus membersihkan diri dan buikannya pucuk pimpinan parti kerana mereka menggalas tugas lain yang lebih besar seperti memperjelaskan tentang OneMalaysia serta dasar-dasar lain.

Tidak perlu menggariskan sebab dan punca kekalahan dan untuk memilih calon di DUN Bagan Pinang ini, jangan sesekali ada tangan ghaib seperti yang berlaku di Permatang Pasir melobi orang itu dan orang ini sebagai calonnya dan akhirnya UMNO bernasib baik kerana mampu meraih undi sebanyak itu dan ternyata rakyat masih menerima UMNO walaupun tidak suka dengan calonnya.

Di dalam keadaan politik Negeri Sembilan yang bermasalah kerana ada suara-suara protes terhadap kepimpinan Menteri Besar Mohamad Hassan namun semua pihak harus melihat UMNO itu sebagai gagasan yang lebih penting daripada mencari kesilapan yang memungkinkan UMNO itu sendiri berada di dalam masalah yang membolehkan mereka tewas di kubu kuat ini.

Mohamad Hassan menyedari hakikat ini dan tindakannya menyerahkan kepada Isa Samad untuk menentukan calon mana yang sesuai dilihat sebagai langkah bijak dan bertepatan apabila kita mengambilkira kedudukan serta pengaruh Isa Samad sebagai bekas Menteri Besar.

UMNO Negeri Sembilan terutama di Bahagian Teluk Kemang yang diketuai oleh bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd Isa Samad seharusnya meletakkan kepentingan rakyat sebagai yang utama dengan mengenengahkan calon yang diterima rakyat dan bukannya calon yang ditunjukan oleh parti. Selalu kita tegaskan UMNO kena berubah daripada memilih wakil parti kepada wakil rakyat.

Dalam menghadapi cabaran PRK ini UMNO harus menampilkan strategi berwajah baru, menggembelengkan tenaga serta keupayaan menyakin rakyat dan kepimpinan UMNO dituntut untuk lebih merasai denyut nadi rakyat seperti yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Najib.

UMNO perlu bertukar wajah dan pendekatan kempen. Kepimpinan UMNO tidak seharusnya merasa besar kepala, merasai diri masih hebat dan elit kerana Bagan Pinang adalah titik pertemuan yang cukup hebat dan berharga bagi penyusunan semula UMNO di mata rakyat.

Andainya UMNO ditakdirkan kalah maka kekalahan ini boleh diumpamakan sebagai kad merah untuk UMNO keluar dari gelanggang poliotik negara dan UMNO akan dilihat tidak berkeupayaan lagi untuk merentasi waktu dan sempadan bagi mengangkat semula martabat dan maruah UMNO malah kegagalan ini merupakan satu kegagalan mutlak yang harus diutanggung oleh pucuk pimpinannya.

Namun kita percaya, kekuatan serta pengaruh Tan Sri Isa Samad di Bahagian Teluk Kemang dan DUN Bagan Pinang akan membantu untuk menggembalikan kepercayaan serta keyakinan rakyat terhadap UMNO. Walaupun Bagan Pinang hanya sekadar PRK tetapi segala keputusan yang berlaku di sini merupakan signal kepada kedudukan UMNO/BN di seluruh Negara.

Tan Sri Isa Samad seharusnya diberikan tanggungjawab sepenuhnya untuk menggendalikan PRK Bagan Pinang ini kerana sebagai ketua Bahagian dan Menteri Besar Negeri Sembilan paling lama, kita percaya Isa Samad mempunyai kaedah serta sentuhan untuk UMNO menang dengan selesa. Sebarang campurtangan daripada mana-mana pihak tanpa merujuk kepada kedudukan Isa Samad akan memungkinkan wujud perbalahan seperti yang berlaku di beberapa pilihanraya kecil sebelum ini. Rakyat dan pengundi Bagan Pinang lebih mengenali Isa Samad daripada Muhyiddin Yasin pengundi Bagan Pinang lebih mengenali hati bud Isa Samad daripada Ahmad Maslan dan Isa Samad lebih mengenali hati budi Bagan Pinang dan Teluk Kemang daripada sesiapa sahaja.

sumber malaysia hari ini

Thursday 10 September 2009

Pemuda Umno Cadang Had Umur Untuk Ketua Pemuda Umno Msia

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno mencadangkan agar dikenakan had umur kepada calon yang ingin bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata sebelum ini tidak ada sebarang had umur diletakkan sebagai syarat untuk bertanding merebut jawatan tertinggi pergerakan itu.


"Kita cadangkan supaya diadakan had umur untuk jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia. Ya, hari ini tak ada... tapi sekarang kita hendak cadangkan had umur tidak lebih 45 tahun kerana ini selaras dengan aspirasi orang muda," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pergerakan itu di sini petang Rabu.


Selain itu Khairy berkata, kelayakan minimum untuk bertanding bagi jawatan ketua Pemuda atau naib ketua juga dipermudahkan iaitu hanya mensyaratkan supaya calon berkenaan perlu menjadi exco Pemuda ataupun ketua Pemuda bahagian selama satu penggal.


"Cadangan asal yang kita terima, adalah dua penggal, kalau dua penggal untuk jadi ketua Pemuda, maka tidak ada siapa yang dapat melawan saya selepas ini.


"Selain itu bagi jawatan exco Pemuda, calon mestilah menjadi ahli Umno selama tiga tahun dan ahli jawatankuasa Pemuda bahagian baru dia boleh bertanding.


"Ada cadangan kata mesti jadi ketua Pemuda bahagian, saya kata tidak," ujarnya lagi.


Sehubungan dengan itu, Khairy berkata, Pemuda mencadangkan supaya sistem kuota yang menjadi amalan Umno selama ini dihapuskan bagi memberi peluang kepada lebih ramai ahli di peringkat akar umbi untuk bertanding.


"Kami telah mencadangkan supaya syarat kelayakan untuk bertanding dilonggarkan, maksudnya kita menyokong supaya sistem kuota dimansuhkan...tidak ada lagi kuota, kita memudahkan ahli untuk bertanding," katanya.


"Sebagai contoh untuk bertanding (jawatan) ahli jawatankuasa Pemuda bahagian, ia perlu menjadi ahli selama setahun dan lepas itu boleh bertanding. Tidak perlu bertanding jawatan ketua Umno cawangan atau AJK cawangan terlebih dahulu," katanya.


Selain itu, bagi jawatan ketua Pemuda Umno bahagian pula, Pemuda mencadangkan agar calon yang menawarkan diri untuk bertanding mesti menjadi ahli selama tiga tahun dan menjadi ketua Pemuda cawangan atau AJK pemuda bahagian terlebih dahulu.


Dalam pada itu, Pemuda juga mencadangkan supaya proses pemilihan jawatan di semua peringkat parti ditentukan oleh lebih 100,000 perwakilan berbanding 2,600 sekarang.


Khairy berkata, pergerakan itu meminta supaya perwakilan di peringkat bahagian ditambah sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah sedia ada.


"Pertambahan jumlah itu merangkumi ketua Pemuda cawangan, wanita cawangan dan Puteri cawangan sebagai perwakilan bahagian yang akan menentukan jawatan Majlis Tertinggi (MT) dan jawatan-jawatan tertinggi dalam Umno," katanya.


Tambah Khairy, pada dasarnya Pemuda menyokong supaya beberapa peruntukan dalam Umno dipinda untuk memberi lebih banyak kuasa kepada ahli akar umbi menentukan kepimpinan peringkat nasional serta sayap parti.


"Kita juga nak pastikan supaya Pemuda Umno diberi lebih banyak peluang untuk memainkan peranan dalam parti di peringkat induk.


"Oleh sebab itu Pemuda menyokong supaya pemilihan Umno dibuat di peringkat perwakilan bahagian dan bukannya di Perhimpunan Agung," katanya.

sumber prokhairy

Saturday 5 September 2009

Apa komen anda ? Adakah polis tidak berdiplomasi





Sidang DUN 2 September - Mahkamah Tolak Injuksi Sivakumar - 01/09/2009

Sempat kah UMNO berubah, jangan kuburkan jenazah UMNO Terengganu !

Masa semakin dicuri , tempuh dua tahun yang mahu di kejar oleh Timbalan Perdana Menteri untuk memulihkan UMNO kini sudah terpakai beberapa bulan. UMNO pula semakin hari semakin parah. Perlis bagaikan apa dalam sekam. Kelantan juga bagaikan retak menunggu belah . Terengganu pula tidak ubah seperti air laut Tsunami yang sudah menjulang tinggi setinggi 5 kali pokok kelapa yang hanya tunggu untuk jatuh saja di Kuala Terengganu. Apakah UMNO sudah pulih ? Apakah UMNO sudah dapat kembali kepercayaan orang Melayu. Itulah yang kita sering dengar pada tiap tiap pilihan raya kecil yang kita terus kalah. Sokongan bertambah tapi kita kalah juga, Apakah sokongan kepada UMNO tidak cukup untuk memenangkan UMNO dan sampai bila kita hanya boleh berbangga dengan pertambahan sokongan yang tidak boleh memenangkan UMNO di mana mana pilihan raya kecil.


Masa dua tahun bukan lah panjang sangat jika kita ukur dengan keadaan yang berlaku di Terengganu sekarang ini , tidak perlu kita menyebelahi mana mana pihak, yang penting apa yang kita mahu adalah sesuatu yang ajaib boleh dilakukan untuk memperbaiki keadaan d Terengganu itu. Apakah kita sudah lupa, Rakyat Terengganu ini lain sikit. Mereka boleh humban mana mana kerajaan yang mereka tidak suka dalam sekelip mata saja, Tidak mustahil jika mereka merasa bosan dan menghumban kerajaan BN pada pilihan raya yang ke 13 nanti. Ini mengakibat kan kita akan kehilangan sebuah negeri lagi kepada pembangkang, sebuah negeri yang kaya dengan pengeluaran minyak setelah kita hilang Selangor , sebuah negeri yang terkaya di Malaysia.

Pulau Pinang amat sukar untuk ditawan dalam masa satu atau dua penggal lagi, percaya lah , sewaktu Pulau Pinang di tawan oleh Gerakan, kita hanya bergabung dengan Gerakan untuk memerintah kembali Pulau Pinang, Tidak mungkin kita kan bergabung dengan DAP untuk mendapatkan kembali Pulau Pinang. Dengan kesan MCA , MIC dan PPP yang serabut dan kelam kabut, sukar untuk menyakinkan kaum Cina dan India untuk menyokong Parti Parti yang dibawah naungan BN ini. Dengan sokongan padu kaum Cina dan India kepada DAP , kita kalah beberapa negeri dan sekiranya mereka terus maintain begini bererti amat sukar untuk kita tawan negeri yang mereka tawan dengan kuasa mengundi bangsa asing yang tidak lagi memihak kepada BN.

Luka di Terengganu ini bukan nya luka baru, luka ini sudah menjadi barah dan bernanah. Semua orang lihat dan pandang dan tiada siapa yang berani bertegas untuk memastikan perkara ini diselesikan segera. Aoa yang kita lihat sekarang, dua tahun lagi, masalah negeri Terengganu ini akan kekal ditahap ini dan mungkin UMNO Terengganu telah bersedia untuk menjadi jenazah untuk dikuburkan.

Ikut desas desus yang berlegar ada pertemuan sulit antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan sembilan Adun di Terenganu, Sekiranya ini berlaku , bagi saya ini merupakan kegagalan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin yang menjadi Pengerusi UMNO Terengganu untuk mengawal keadaan yang bergolak di Terengganu ketika ini sehingga Timbakan Perdana Menteri , Tan Seri Muhyiddin Yassin terpaksa menawarkan diri untuk mengedali kan isu dan masalah UMNO Terengganu. Mungkin Hishamuddin terlalu sibuk dengan tugasan dalam Kementerian Dalam Negeri sehingga gagal untuk memantau keadaan di Terengganu sehingga tercetusnya kesah yang memalukan ini. Jika benar beliau terlalu sibuk dan gagal melaksana kan tugas sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri Terengganu
.lebih dari seratus hari , eloklah serahkan saja tugasan ini kepada yang lebih berminat dan yakin dapat menyelesaikan masalah UMNO Terengganu ini. Serahkan saja kepada Tan Seri Muhyiddin Yassin.

Berdasarkan laporan sebuah portal berita sebelum ini, Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad mengakui pertemuan kedua-dua pihak memang wujud tetapi beliau tidak terbabit. Bagai manapun, Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid, menafikan laporan portal itu kononnya beliau dan lapan lagi Adun bercadang meninggal kan UMNO untuk menyertai PKR.Beliau berkata, laporan portal berkenaan semata-mata untuk menjatuhkan imej UMNO di samping sebagai provokasi supaya mereka menyertai PKR. Apa juga laporan Portal berkenaan , perbuatan bertemu den berunding dengan DS Anwar adalah satu perkara yang menjijikkan .

Kita tidak mampu lagi kehilangan beberapa buah negeri lagi dalam PRU13 yang akan datang. Tidak perlu kita mahu menyedapkan hati kita saja , terus terang saya nyatakan bahawa Selangor sukar kita tawan kembali dengan keadaan pemimpin UMNO Selangor yang kini bagaikan patah sayap . Amat sukar untuk kita lihat dan melihat program program yang dianjurkan oleh Ketua ketua Bahagian mahu pun bahagian UMNO di Selangor. Mereka hanya kan bekerja apabila nama mereka akan diumumkan sebagai calon BN . Jika tidak semua akan mengambil jalan tunggu dan lihat siapa calon.Bukannya kerajaan PKR itu baik, Mereka tahu kerajaan PKR Gagal , tetapi kepada siapa mahu mereka serahkan kerajaan , kepada BN , Mana pemimpinnya.Batang hidung pun tak nampak.

Kita ambil contoh Gombak , Ampang dan juga Batu Caves, Siapa Pemimpin UMNO, Siapa ketua Bahagian, Calon yang tewas semua mengundur kan diri, Calon ini tahu mereka tidak mungkin akan di calonkan pada penggal akan datang. Ketua Bahagian yang bukan calon enggan turun padang kerana tidak tahu siapa akan menjadi calon nanti. Akhirnya Bahagian bahagian ini jadi padang yang tidak bertuan dan PKR yang tidak menonjol akhirnya menonjol sebab tidak ada orang lain lagi yang menonjol.Jika sekiranya mereka berhenti di tepi jalan dan menghadap tasik pada waktu senja untuk baung air kecil pun , mereka masih dianggap menonjol kerana mereka yang muncul. Kalau setakat mahu mengharap kan Khir Toyo dan blognya sahaja untuk menawan Selangor. Ucapakan lah Selamat Tinggal kepada Selangor buat selama lama nya. Masjid yang dahulunya dikuasai oleh UMNO kini dikuasai sepenuhnya oleh Pas, Imam UMNO di pecat , naik imam Pas.

Oleh : Anak Mat Lela Gila

Pemuda Umno Cadang Perintah Penahanan Isa Dikaji Oleh Mahkamah

MELAKA, 4 Sept - Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mencadangkan agar perintah penahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikaji oleh mahkamah atau satu badan berkecuali dan bukan oleh Menteri Dalam Negeri seperti sekarang.


Beliau berpendapat sesiapa yang ditahan mengikut ISA boleh mendapat keadilan melalu satu mekanisme kehakiman yang dicadangkan itu.


"Ini juga supaya Menteri Dalam Negeri dilihat tidak membuat satu keputusan penahanan di bawah ISA berdasarkan kepentingan politik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran pergerakan itu di Sekolah Anak Yatim Sultan Salahuddin di Pantai Kundur di sini malam Khamis.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa pembentangan pindaan ISA dijadual dilakukan semasa sesi Dewan Rakyat Oktober ini tertakluk kepada input yang diterima.


Hishammuddin dilaporkan berkata kerajaan masih menerima cadangan daripada pelbagai pihak dan sedia memberi pertimbangan dari sudut kepentingan rakyat dan keselamatan negara dan hal sivil individu.


Khairy berkata Pemuda Umno akan menyerahkan satu memorandum kepada Hishammuddin minggu hadapan yang akan mengusulkan beberapa perkara yang perlu dipinda.


"Kita juga akan mencadangkan supaya tempoh tahanan oleh polis selama 60 hari dipendekkan," katanya.

sumber prokhairy

Akal Pendek Dek Kerana Pendet - Khairy Jamaluddin komen isu sentimen anti Malaysia di Indonesia

Pergeseran antara Malaysia dan Indonesia gara-gara isu tarian Pendet yang disiarkan seolah-olah tarian Malaysia dalam sebuah iklan oleh Discovery Channel sampai kemuncaknya semalam apabila Jalur Gemilang dibakar di sebuah universiti terkemuka di Yogyakarta.


Apa pun perdebatan mengenai tarian Pendet atau mana-mana lagi isu berbangkit antara kedua-dua negara ini, yang pastinya ada sedikit ketidaksefahaman yang sudah lama wujud dalam perhubungan dua hala Malaysia-Indonesia – kalau tidak di peringkat Kerajaan pun, tetapi di peringkat warga biasa.


Di sini saya terpanggil mengulangi apa yang saya sebut sewaktu mengetuai delegasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ke Jakarta bulan lepas, iaitu peri pentingnya hubungan istimewa atau "special relationship" antara Malaysia dan Indonesia ini diperkuatkan demi persefahaman yang lebih jitu antara dua negara dan dua bangsa serumpun.


Kelebihan yang boleh dikecapi dari “special relationship” ini tidak terhad kepada perhubungan dua hala kita sahaja. Dengan persamaan tradisi, sejarah, budaya, bahasa, agama dan rumpun bangsa, persefahaman Malaysia-Indonesia yang baik juga boleh menjadi asas kepada ASEAN yang lebih bersatu. Perlu ditegaskan bahawa kedua-dua negara kita kini melangkah masuk ke era globalisasi yang menuntut lebih kerjasama serantau bagi menjana kebaikan bersama, terutamanya dari sudut kemajuan ekonomi. Untuk itu, peranan ASEAN yang lebih mantap amat diperlukan, dan hubungan Malaysia-Indonesia mampu merangka ASEAN menjadi badan serantau yang berdaya saing dan lebih berintegrasi dan bukan semata-mata perkumpulan yang longgar.


Dalam konteks kontroversi-kontroversi kebelakangan ini - baik dari segi isu Tenaga Kerja Indonesia (TKI), Ambalat, Manohara mahupun tarian Pendet - hubungan unik ini perlu diberi perhatian sewajarnya agar penularan nasionalisme sempit dan agresif di kalangan rakyat kedua-dua negara dapat dibendung.


Apa tidaknya, semangat nasionalisme yang agresif dan negatif dari sebahagian warga dan pemimpin Indonesia ini terserlah melalui pelbagai kenyataan dan perbuatan yang hanya mengundang rasa marah dan benci dari kedua-dua belah pihak Malaysia dan Indonesia, semuanya akibat satu salah faham mengenai tarian pendet dipaparkan dalam iklan Discovery Channel seakan berasal dari Malaysia, walhal pihak Malaysia tidak terbabit pun dalam penghasilan iklan tersebut.


Tambahan lagi, soal pencurian budaya ini tidak wajar dilemparkan sewenang-wenangnya oleh pihak Indonesia, terutamanya apabila kedua-dua negara berkongsi tamadun dan warisan, serta banyak mempengaruhi antara satu sama lain semenjak berkurun-kurun dahulu. Saya tidak mempersoalkan hakikat tarian Pendet itu berasal dari Bali, tetapi mana mungkin kita dapat melabel sesuatu aspek budaya itu sebagai 100% Indonesia, atau 100% Malaysia, sedangkan perkongsian budaya itu sudah lama berlaku sebelum lahirnya konsep negara-bangsa atau wujudnya persempadanan ‘negara’ kesan kolonialisme? Maka mereka yang begitu gah menuduh Malaysia mengamalkan ‘pencurian budaya’ inilah sebenarnya yang perlu mengkaji semula sejarah dan warisan rantau ini.


Sesudahnya Kerajaan Malaysia menjelaskan kesilapan yang tidak sengaja atas isu pendet ini demi meredakan keadaan, perasaan marah dan benci dari dalam Indonesia dilihat masih berkobar-kobar. Meskipun Malaysia sanggup berkompromi dengan harapan menutup episod ini, “hackers” Indonesia bertindak menggodam laman-laman web Malaysia pada ulangtahun kemerdekaan ke-52 Malaysia, kutukan dan cacian terhadap Malaysia sebagai ‘negara pencuri’ diteruskan di forum dan platform maya, manakala demonstrasi agresif dianjurkan oleh para mahasiswa Indonesia di Kedutaan Malaysia sehinggakan kehadiran pelajar Malaysia di kampus Universitas Gadjah Mada di Yogyakarta pun membawa kepada protes yang sudah berbaur diskriminasi.


Rakyat Indonesia perlu memahami bahawa kami di Malaysia juga sensitif dan marah apabila melihat dan mendengar negara kami ini dilabel dengan deskripsi negatif dan kata-kata kesat, disamping bendera kebanggaan kami dibakar tanpa sedikit pun rasa hormat. Kami di Malaysia pun sedar bahawa banyak yang perlu dipelajari dan difahami mengenai sensitiviti orang Indonesia, tetapi di pihak Indonesia pula saya berharap warganya tidak terus bertindak mengujikesabaran rakyat Malaysia kerana ini jua akan mengundang kembali semangat nasionalisme yang sama agresif dari pihak kami.


Perlu ditegaskan di sini bahawa saya memahami tindakan-tindakan anti-Malaysia melampau yang dilaporkan ini tidak menggambarkan perasaan seluruh warga Indonesia. Namun, jangan kerana sikap dan sentimen sebahagian dari warga Indonesia, orang Malaysia di sini mula menanam benih-benih kebencian terhadap Indonesia sekaligus mengorbankan tradisi hubungan istimewa antara Malaysia dan Indonesia dan merugikan sesama kita. Yang paling nyata, kebergantungan ekonomi antara Malaysia dan Indonesia masih cukup penting. Peluang pekerjaan dan perniagaan yang menjadi pemangkin pertumbuhan aktiviti ekonomi bagi Malaysia dan Indonesia sendiri sudah cukup menunjukkan betapa kita saling memerlukan – Malaysia tidak mungkin mencapai potensinyatanpa kerjasama dari Indonesia, dan begitu juga sebaliknya.


Maka, saya berharap bahawa suara rasional dari kedua-dua belah pihak boleh memainkan peranan untuk memastikan kontroversi ini tidak berlanjutan sehingga mendatangkan perkara atau insiden yang lebih buruk. Saya menyeru kepada pimpinan muda di Indonesia, baik dari parti politik mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Himpunan Pengusaha Muda Indonesia (HIPMI) agar bangkit bersuara untuk menghentikan sengketa ini, demi kebaikan Malaysia, Indonesia dan rantau ASEAN amnya.

sumber prokhairy

Sokongan Ketua Pemuda UMNO Malaysia - Perak akan terus di bawah kepimpinan Dr Zambry

Angin tidak bertiup , hujan tidak turun tiba tiba Menteri Besar yang disingkir , Perdana Menteri yang Keampunan Anwar Ibrahim dan speaker yang sentiasa kecoh mula mencetuskan kekecohan kembali. Ini taktik Anwar Ibrahim , jangan sampai orang lupakan kita , kata beliau, Tenguk ketika aku di penjara, macam macam isu yang aku reka agar rakyat tak lupakan aku, contohnya isu Arsenik , Isu suntikan HIV ,Isu sakit pinggang, Jangan sampai rakyat lupakan kita.

Dr Zamby kini mulai mendapat tempat di kalangan rakyat Perak. Rakyat Perak mulai menyanjungi kehebatan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak. Orang melayu mulai menyanjung Dr Zambry dari mula melupakan; lupakan Boneka DAP , Nizar. Ini juga salah satu sebab mereka terpaksa memilih bukan yang mulia ini untuk bertindak kurang ajar agar di ingat. Mereka bukan peduli dengan kemuliaan bukan ramadhan , mereka mahu rakyat mengingati kepada perkara buruk yang telah mereka lakukan dan disokong oleh penyokong Pas yang sudah buta yang sudah tidak lagi nampak jalan kebenaran dan yang telah kelam dalam tipu helah Anwar Ibrahim dan fatwa buatan Nik Aziz.

Apakah Nizar sudah buta atau pekak sehingga tidak lagi boleh membezakan bulan mulia ini dan mengheret penyokong PAS untuk melakukan sesuatu yang di murkai Allah SWT. mengapa Nizar tidak membawa mereka ke masjid masjid untuk berjemaah pada bukan yang mulia ini. Mengapa Nizar mahukan penyokong PAS yang kononnya mendokong parti Islam ke jalan jalan raya untuk berdemonstrasi menunjukkan perasaan marah ketika mereka sedang mengamalkan ibadah puasa. Sudah buta ke pemimpin PAS ini yang mengilai kuasa ini.

Tentu ada sebab yang besar yang membuat mereka ini sehingga di rasuk syaitan sehingag lupa bahawa mereka melakukan kerja terkeji pada bulan Ramadhan al mubarak ini. Teruskan memimpin Perak dengan cekap dan amanah , itulah harapan rakyat Negeri Perak kepada Dr Zambry Abduk Kadir. Rakyat akan terus berdiri di belakang beliau dan terus melaungkan slogan, Inilah MB besar pilihan rakyat.

Jelas sokongan Ketua Pemuda UMNO , Khairy Jamaluddin yang telah melawat Perak minggu lepas memberikan sokongan yang jitu dan tidak berbelah bagi kepada Menteri Besar Perak ini dan nyata lah ianya satu sokongan yang memastikan Dr Zambry akan terus menerajui negeri Perak.

sumber prokhairy

Wednesday 2 September 2009

Sultan arah Khalid selesai isu kuil

Peserta demonstrasi kepala lembu didakwa


SHAH ALAM: Enam lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana dituduh melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan membawa dan memijak kepala lembu di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada 28 Ogos lalu.

Ahmad Mahayuddin Abdul Manaf, 36; Ibrahim Sabri, 43; Eyzva Ezhar Ramly, 31; Mohd Azmir Mohd Zain, 35: Ahmad Suhairy Zakaria, 30; dan Mohd Hilmi Ni, 40; mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hasbi Hasan.

Mengikut kertas pertuduhan, Ibrahim dan Ahmad Mahayuddin didakwa bersama-sama telah memijak kepala lembu, Eyzva Ezhar didakwa membawa kepala lembu manakala Mohd Azmir, Ahmad Suhairy serta Mohd Hilmi didakwa bersama-sama membawa dan memijak kepala lembu dalam satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang.



Semua perbuatan itu didakwa mempunyai kecenderungan menghasut, yang mana perbuatan itu boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati dan permusuhan terhadap rakyat beragama Hindu.

Mereka didakwa didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pilihan iaitu dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan penganut beragama Hindu dengan melakukan kesalahan terbabit pada masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ahmad Mahayuddin dan Ibrahim adalah pengerusi dan timbalan pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Penduduk Seksyen 23 di sini, yang mengetuai bantahan terhadap cadangan kerajaan Selangor memindahkan sebuah kuil Hindu di Seksyen 19 di sini ke kawasan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, mencadangkan semua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mengetuai pihak pembelaan, membantah jumlah jaminan yang dicadangkan kerana menganggap ianya amat tinggi dan satu bebanan kepada semua tertuduh.

Beliau berkata, semua anak guamnya telah dimaklumkan semalam bahawa mereka akan dituduh hari ini dan mereka telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.

"Pertuduhan terhadap semua tertuduh juga menunjukkan seolah-olah ia satu kesalahan menghina agama lain sedangkan mereka tidak berniat untuk berbuat demikian. Bagi orang Melayu lembu melambangkan kebodohan dan bukan membawa penghinaan kepada agama lain," katanya sambil memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin berjumlah RM500 setiap seorang.

Mohd Dusuki pula berkata, jumlah jaminan RM500 yang dimohon oleh pihak pembelaan tidak wajar dan tidak sesuai dengan pertuduhan kerana kes itu mendapat liputan meluas media elektronik dan cetak serta banyak laporan polis dibuat berhubung insiden itu.

"Justeru mohon RM15,000 dikekalkan kerana jumlah itu wajar berdasarkan kepada latar belakang kes yang mendapat liputan meluas media dan melibatkan kepentingan awam," katanya.

Mendengar hujahan pihak pendakwaan, Salehuddin bangun dan berkata liputan meluas media terhadap kes itu tidak seharusnya dijadikan faktor oleh mahkamah dalam menentukan jumlah jaminan.

"Takkan kita nak hukum tertuduh berdasarkan liputan meluas itu," katanya.

Hasbi kemudian mengenakan ikat jamin RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret di sini pula, Ahmad Mahayuddin, Ibrahim, Eyzva Ezhar, Mohd Azmir, Ahmad Suhairy dan Mohd Hilmi turut menghadapi satu lagi pertuduhan bersama enam yang lain iaitu telah mengambil bahagian dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Turut didakwa ialah Jainudin @ Zainudin Md Yusuff, 67; Mohd Jurit Ramli, 39; Mohammad Nordin Zakaria, 63; Jamil Mohamad Isa, 40; Rahimuddin Md Harun, 39; dan Azhari Shaari, 39.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 27 (5)(a) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 27 (8) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM2,000 dan maksimum RM10,000 dan penjara sehingga setahun, jika sabit kesalahan.

Majistret Norkamilah Aziz membenarkan enam yang turut dituduh di Mahkamah Sesyen di sini sebelum ini dibebaskan dengan jaminan RM300 setiap seorang serta seorang penjamin manakala enam lagi dibebaskan dengan RM500 setiap seorang serta seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 21 Oktober ini untuk sebutan semula kes. Semua tertuduh membayar wang jaminan.

Kedua-dua mahkamah sesak dengan anggota keluarga tertuduh dan penduduk Seksyen 23. - Bernama

sumber berita harian



Peserta demo kepala lembu didakwa
Sep 7, 09 6:27pm

Mereka yang terlibat mengarakkan kepala lembu dan membuat ucapan dalam demonstrasi membantah pembinaan kuil di Seksyen 23 Shah Alam akan didakwa menghasut, kata peguam negara hari ini.

Tan Sri Abdul Gani Patail berkata mereka akan didakwa menurut Seksyen 4 Akta Hasutan atau Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Pemimpin-pemimpin yang menyampaikan ucapan bersama kumpulan kira-kira 50 penunjuk perasaan di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor di Shah Alam akan didakwa bawah Seksyen 27(5) Akta Polis atau berhimpun secara haram.

Dalam satu kenyataan lewat petang ini, Abdul Gani berkata beliau berpuas hati dengan siasatan polis berhubung insiden tersebut setelah meneliti kertas siasatan yang diterimanya tengah hari tadi.


Pada 28 Ogos lalu, sekumpulan penduduk seksyen tersebut dengan beberapa NGO Melayu mengarakkan kepala lembu ke bangunan tersebut sebagai membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke kawasan mereka dari Seksyen 19 Shah Alam.

Mereka yang membentuk jawatankuasa bertindak penduduk seksyen itu berarak dari masjid negeri, beberapa ratus meter dari bangunan tersebut, selepas solat Jumaat.

Mereka menyatakan bantahan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kebajikan negeri Rodziah Ismail dan exco kesihatan Dr A Xavier Jayakumar.


Mereka juga mensasarkan kemarahan mereka kepada ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.



Didahului dengan pembawa kepala lembu, yang masih belum kering darahnya, penunjuk perasaan berjalan sambil bertakbir dan melaungkan "kami bantah" menggunakan alat pembesar suara.

Mereka membawa sepanduk, antaranya bertulis "Take beer", "Islam untuk semua, kuil untuk Khalid dan Rodziah", "Kuil haram sekangkang kera, bila pindah sebesar Putrajaya" dan "Pindahkan kuil ke Seksyen 22".

Kira-kira 10 anggota polis hanya memerhati dan mengawal keadaan sekitar kawasan tersebut.

Selepas kepala haiwan itu diletakkan di depan pintu, timbalan pengerusi jawatankuasa bertindak membantah pembinaan kuil itu, Ibrahim Sabri tampil berucap ringkas, tetapi berapi-api.

"Ini amaran. Pindahkan kuil dari Sekysen 23, buatlah di Seksyen 22. Lembu ini kami hadiahkan kepada kerajaan negeri, kepada Khalid Ibrahim, Khalid Samad dan Rodziah. Ini hadiah kami."



Dalam sidang media selepas itu, pengerusi jawatankuasa itu, Mahyuddin Manaf berkata, mereka membantah tindakan kerajaan itu kerana 80 peratus penduduk kawasan itu beragama Islam.

"Mungkin ada yang salah tafsir bahawa kami biadab (berdemonstrasi), tetapi pemimpin yang mengajar supaya biadab kerana mereka membiarkan (tidak peduli) penduduk di Seksyen 23."

sumber malaysiakini







BANTAHAN DARI PENDUDUK SEKSYEN 23 TERHADAP KUIL YANG AKAN DIBANGUNKAN DI SEKSYEN 23 SHAH ALAM





Sultan arah Khalid selesai isu kuil
Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail
nazuri@bharian.com.my
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengarahkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencari jalan terbaik menyelesaikan isu pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke kawasan majoriti Islam di Seksyen 23 di sini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata arahan itu dikeluarkan kepada Abdul Khalid menerusi surat bertarikh 24 Ogos lalu.

Katanya, Sultan Sharafuddin turut menitahkan perkara itu kepada Abdul Khalid pada sesi menghadap sebelum mesyuarat Exco pada Rabu lalu.



“Baginda mahu isu pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 yang mendapat bantahan penduduk Islam diselesaikan bagi mengelak perselisihan kaum di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri akan mengadakan dialog bersama penduduk Seksyen 23 bagi menerangkan bagaimana pemilihan tapak dibuat di Dewan Bankuet Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 5 September ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan, kuil tetap dipindahkan di Seksyen 23 kecuali jika ada pihak lain termasuk menteri atau penduduk kawasan itu mampu menawarkan tapak lain yang lebih sesuai.

“Kalau boleh tunjuk keputusan yang lebih baik (tapak lain), sila tunjuk termasuklah kepada menteri yang bercakap mengenai pemindahan kuil ini. Sebagai pengurus negeri, kita bersikap profesional,” katanya selepas mesyuarat Exco semalam.

Abdul Khalid berkata, isu pemindahan kuil membabitkan pemilihan banyak lokasi lain tetapi Seksyen 23 dipilih selepas mengambil kira kesesuaian dan persekitaran di samping kajian terperinci.

Katanya, isu itu boleh diselesaikan jika penduduk memahami kedudukan sebenar kecuali jika ada pihak tertentu yang sengaja tidak mahu isu kuil itu selesai.

Ditanya mengapa dialog dengan penduduk hanya diadakan selepas timbul kontroversi, Abdul Khalid berkata, isu pemindahan kuil bukan baru sebaliknya berlanjutan sejak 26 tahun lalu.



“Kuil ini perlu dipindahkan kerana pelbagai masalah di Seksyen 19 dan menjadi tanggung jawab kerajaan negeri mencari tapak sesuai, bukan kita yang bina kuil,” katanya.

Beliau berkata, dialog terbuka mengenai isu kuil juga akan diadakan bersama ketua masyarakat, ahli majlis dan media serta badan bukan kerajaan (NGO) secara berperingkat jika ada permintaan.

Mengulas tindakan penduduk mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Abdul Khalid berkata, penduduk bebas mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak supaya keputusan terbaik dicapai.

Abdul Khalid berkata, risalah dan surat penjelasan mengenai isu itu akan diedarkan kepada Hishammuddin, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Noh Omar dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.

sumber berita harian

Penganjur: Kehadiran kepala lembu satu misteri
Ogos 29, 09 2:49pm

Pengerusi jawatankuasa bertindak penduduk Seksyen 23 Shah Alam, Mahyuddin Manaf berkata kehadiran kepala lembu sewaktu protes membantah pembinaan kuil di kawasan tersebut semalam, masih merupakan satu misteri.

"Kami melakukan bedahsiasat (terhadap protes tersebut) tetapi kami tidak dapat mengesan orang yang membawanya,” katanya kepada Malaysiakini.

Mahyuddin juga tidak pasti sama ada sesetengah daripada mereka yang menyertai protes itu adalah penduduk sebenar Seksyen 23.

Katanya, terdapat beberapa pemimpin NGO yang turut hadir semalam, tetapi beliau tidak mengenali mereka secara peribadi.

Beliau juga menegaskan bahawa protes tersebut tidak berniat untuk mencetuskan ketegangan kaum tetapi sebaliknya untuk menyelesaikan apa jua masalah yang berkaitan dengannya.

Beliau yang mengaku seorang ahli PAS, bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berkata beliau tidak mahu isu tersebut diperbesar-besarkan.

Menurutnya, apa yang dihasratkan ialah untuk mengadakan satu protes secara aman.

Pada mulanya, jelas Mahyuddin, ahli jawatankuasa berkenaan merancang untuk mengadakan demonstrasi yang disertai kira-kira 3,000 orang tetapi beliau membantah idea itu kerana mahu protes itu diadakan secara aman.

Mahyuddin juga menegaskan bahawa beliau bukan seorang yang rasis.

Dari awal lagi, tegasnya, beliau mementingkan sensitiviti agama dan mahukan perpaduan.

Katanya, mereka bukan menolak kuil, tetapi tidak mahu ia dibina di kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

sumber malaysiakini

Khir: Janji p'raya Pakatan punca masalah kuil

Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendakwa, masalah kuil di Seksyen 19 Shah Alam berpunca daripada janji Pakatan Rakyat untuk memindahkannya ke Seksyen 23 bagi memenuhi janji pilihanrayanya.

Sedangkan, dakwanya, Katanya kerajaan BN sebelum ini telahpun menyelesaikan masalah tersebut dengan menawarkan dua tapak cadangan - iaitu di Seksyen 18 dan 22 - yang menurutnya merupakan tapak terbaik di Shah Alam.

"Masalahya sekarang, Pakatan Rakyat berjanji kepada rakyat, apabila mereka berjaya memerintah Selangor, mereka akan membina kuil di Seksyen 23. Ini sama juga dengan kes Kampung Buah Pala.

"Jadi, (ini semua) untuk menuntut janji yang telah mereka katakan, bukan kerana kesalahan kerajaan BN. Kita telah siapkan (tapak cadangan). Kalau tengok, tapaknya cukup strategik dan paling sesuai," katanya.


Bekas menteri besar Selangor berkata, kedua-dua tapak cadangan tersebut masing-masing berkeluasan 70,000 kaki persegi dan tapak di Seksyen 18 telah mempunyai infrstrukturnya termasuk jalan, lampu jalan dan bekalan elektrik".

Malah, katanya, kemudahan infrastruktur di Seksyen 18 itu sudah siap disediakan sejak tahun 2007 lagi.

Katanya, ini menunjukkan bahawa kerajaan BN dahulu begitu prihatin dengan keperluan penduduk yang beragama Hindu di situ.

Tinjauan Malaysiakini mendapati tapak cadangan di Seksyen 18 - kira-kira 3 kilometer daripada Seksyen 22 - itu agak jauh dari kawasan penduduk dan berdekatan kawasan kilang.

Terbiar kosong

Tempat tersebut yang terletak bersebelahan dengan sebatang sungai, kini kekal kosong tanpa sebarang binaan dan ditumbuhi rumput sahaja.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di tapak di Seksyen 18 itu, Dr Mohd Khir meminta kerajaan negeri supaya berhenti menyalahkan kerajaan dahulu dalam isu pembinaan kuil tersebut.

Beliau juga menyifatkan bantahan penduduk Seksyen 23 - tempat kuil itu mahu dipindahkan - sebagai isu lama.

Menurutnya, ini kerana penduduk di situ memang sudah lama membantah kuil tersebut dipindahkan ke kawasan mereka.

Ekoran itu, katanya, kerajaan BN dulu menawarkan tapak baru untuk kuil tersebut di Seksyen 18 dan 22.

Dr Mohd Khir juga membela tindakan sekumpulan yang membantah pemindahan kuil itu ke Seksyen 23, dengan mengadakan perarakan kepala lembu ke pejabat sekretariat kerajaan negeri, Jumaat lalu.

Beliau menyifatkan perkara itu, bukan isu agama, tetapi kelapa lembu itu, menurutnya bermaksud "kerajaan telah membuat satu keputusan bodoh seperti lembu dalam menangani kontroversi tersebut".

"Mungkin ada kesilapan, tetapi tujuan mereka bawa kepala lembu bukan untuk menghina orang India. Tujuannya hendak menggambarkan kerajaan hari ini bertindak tidak mengikuti fikiran.

"Tapak telah disiapkan, kenapa tidak berfikir? Jadi hendak tunjukkan kerajaan hari ini buat keputusan yang bodoh. Itu sahaja, bukan ada isu agama," katanya.

Ditanya sama ada terdapat penglibatan Umno dalam perarakan kontroversi itu, Dr Mohd Khir berkata beliau tidak tahu dan menyerahkan perkara itu kepada polis untuk menyiasatnya.

"Saya tidak kenal pasti. Bagi tahu dia, polis siasat. Mereka yang terlibat, itu tindakan polis," katanya.

sumber malaysiakini

Majlis dialog isu kuil di Shah Alam kecoh

Majlis dialog antara kerajaan negeri dan penduduk Seksyen kecoh pagi ini - bermula dengan perang mulut antara lima penduduk yang melepaskan kemarahan mereka kepada anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).


Mereka bertindak demikian apabila anggota penguatkuasa berkenaan tidak membenarkan dua warga emas dari kawasan berkenaan masuk ke dalam dewan bankuet, MBSA, tempat majlis dialog itu diadakan.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi. Difahamkan sebuah rumah hanya dibenarkan menghantar seorang wakil sahaja, tetapi warga emas itu dipercayai mengikuti anaknya ke situ.

Bagaimanapun, selepas lima minit berlaku pertengkaran tersebut, dua warga emas itu dibenarkan masuk.

Sejurus kemudian, berlaku kekecohan kedua apabila beberapa penduduk bertindak menghalu keluar empat anggota unit amal PAS yang berada di dalam dewan tersebut kerana mereka bukan penduduk Seksyen 23.


Kira-kira 250 penduduk dari Seksyen 23 menghadiri majlis dialog berhubung isu bantahan penduduk terhadap keputusan untuk memindahkan sebuah kuil dari Seksyen 19 ke tempat mereka.

Ketika itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail sedang masuk ke dewan.

Sejurus selepas itu, beberapa penduduk bertindak menghalau keluar seorang wanita yang membawa kamera dan mengambil gambar mereka yang hadir di dalam dewan tersebut.

Selepas itu, apabila pengerusi majlis menyebut nama menteri besar dan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad disebut, ada penduduk yang mengeboo mereka.


Majlis bermula dengan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mazlan Md Noor memberi taklimat mengenai kuil di Shah Alam dan rancangan awal mengenai pemindahan kuil dari Seksyen 19 itu.

Bagaimanapun, taklimat sering diganggu oleh penduduk yang tidak puas hati dengan isu tersebut.

Perbincangan hampir dua jam itu tidak berjalan lancar apabila penduduk sering menyampuk dan mempertikaikan penjelasan yang diberikan. Hanya kedengaran bunyi bising dan ungkapan tidak puas hati seperti "tipu", "kamu mahu keputusan" dan "ya atau tidak?".

Ia bermula apabila penduduk enggan membenarkan Khalid Samad berucap kerana didakwa tidak mempunyai kuasa membuat apa-apa.


Mereka juga enggan mendengar penjelasan lain dan menuntut Khalid Ibrahim membuat
keputusan segera sama ada untuk mengekalkan cadangan itu atau memindahkannya ke tempat lain.

Apabila majlis dibuka kepada soalan, kelihatan rata-rata penduduk Melayu mendominasi sesi itu bagi melepaskan geram kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang didakwanya sebelum ini lambat memberikan respons untuk berbincang.

Ketegangan itu dilihat sampai ke kemuncaknya apabila seorang penduduk setempat beragama Hindu yang tampil memberikan cadangannya, hampir dibaling dengan kerusi.

Bercakap soal toleransi kaum, R Gunaretinam menimbulkan kemarahan penduduk Melayu kerana berkata, setiap rumah kawasan mempunyai surau dan masjid bagi kegunaan masyarakat Islam.


"Kita boleh terima azam lima kali sehari," katanya, disambut bantahan besar hadirin dalam majlis itu yang bangun dan menjerit beliau berhenti berucap.

Terdapat beberapa orang penduduk menghampiri beliau dengan keadaan marah, tetapi kira-kira 30 penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam berjaya mengawal keadaan.

Ucapan akhir Khalid Ibrahim bagaimanapun sedikit sebanyak menenteramkan keadaan, walaupun masih ada yang tidak berpuas hati.

"Minta semua bertenang. Selepas ini tidak ada perbincangan lagi. Tidak ada lagi soal berbangkit pasal Seksyen 23 lagi," katanya sambil mendakwa faham perasaan penduduk, walaupun disuarakan dengan cara yang "tidak tertib sangat".

sumber malaysiakini