Tuesday 4 August 2009

Pemuda Tubuh Sekretariat Bantu Peniaga Tuntut Kerugian Demonstrasi Haram

Kuala Lumpur -- Pemuda UMNO Wilayah Persektuan hari ini menubuhkan satu sekretariat khidmat guaman untuk membolehkan para peniaga menuntut kerugian ekoran demontrasi haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diadakan baru-baru ini.
Sekretariat Penjaja itu ditubuhkan bagi membantu peniaga dan penjaja di sekitar Masjid Jamek, Jalan Masjid India serta Jalan Tunku Abdul Rahman mendapatkan khidmat nasihat dan guaman percuma untuk menuntut gantirugi daripada penganjur demontrasi haram membantah ISA.
Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Rizalman Datuk Mokhtar berkata pihaknya terpanggil untuk membantu peniaga terbabit setelah aktiviti mereka terjejas Sabtu lalu yang menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian dan sebagainya.
"Kepada para peniaga dan penjaja yang mengalami kerugan serta kerosakan Sabtu lalu, mereka boleh membuat aduan kepada kita di Pejabat UMNO Wilayah Persekutuan dengan membawa segala bukti kerosakan, tuntutan dan sebagainya.
"Setelah itu barisan panel peguam kita akan meneliti aduan tersebut sama ada ianya berasas atau sebaliknya untuk membuat tuntutan.
"Dan selepas itu kita akan maklum kepada tuan punya kedai sekiranya aduan mereka itu berasas untuk difailkan kepada mahkamah untuk tindakan selanjutnya", katanya.
Beliau berkata demikian kepada laman webPemuda pada sidang medianya di sini, hari ini.
Sejurus sidang media, Rizalman bersama Presiden Persatuan Peniaga Bumiputera Wilayah Persekutuan, Rosli Sulaiman meninjau dan menemui peniaga di sekitar Masjid Jamek dan Jalan Masjid India.
Turut hadir, Pengerusi Sekretariat Hal Elwan Bandar Pemuda UMNO, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin.
Tambah Rizalman lagi, khidmat dan nasihat guaman yang disediakan itu adalah percuma dan mereka yang ingin mendapatkan khidmat tersebut tidak akan dikenakan bayaran.
"Apa yang kita laksanakan hari ini adalah satu khidmat kepada peniaga dan penjaja yang terjejas Sabtu lalu. Kita cukup kesal kerana pihak penganjur tidak memikirkan periuk nasi peniaga terbabit bagi menjayakan demonstrasi haram berkenaan.
"Dan jika terdapat peniaga mengemukakan tuntutan mereka terhadap penganjur, ianya adalah kali pertama dan berharap ianya akan menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak untuk melakukan demonstrasi haram selepas ini", ujarnya.
Pada masa yang sama beliau turut memaklumkan pihaknya akan bekerjsama dengan persatuan peniaga di kawasan tersebut untuk mengenalpasti segala kerosakan dan kerugian yang lain.

sumber pemuda malaysia

No comments:

Post a Comment