Tuesday 4 August 2009

tanpa literasi politik,rakyat jadi pengguna jahil

Sebelum ini saya telah menulis mengenai proses politik sebagai aktiviti pemasaran sosial (social marketing). Konsep pemasaran sosial tidak jauh bezanya dengan pemasaran produk. Matlamat akhir aktiviti pemasaran ialah menjual produk atau perkhidmatan.Bagaimanapun, betapa hebat sekalipun strategi pemasaran yang digunakan, sesuatu produk itu tidak dapat bertahan lama di pasaran sekiranya ia tidak mempunyai kualiti yang baik. Produk yang rendah kualiti akan menjadi mangsa buah mulut negatif (negative word of mouth).Dalam satu kajian, seseorang yang tidak berpuas hati dengan sesuatu produk atau perkhidmatan, akan menyebarkan maklumat negatif itu kepada 10 orang lain. Itu dulu, sebelum kewujudan Internet. Hari ini, seseorang yang tidak berpuas hati akan “membawa mulut” kepada ratusan atau ribuan orang lain melalui blog, Facebook, MySpace atau Twitter.Begitu jugalah dengan politik. Sebelum ia dapat dipasarkan, sesebuah parti politik haruslah menentukan bahawa ia mempunyai produk yang baik. Dalam konteks parti politik, ia hendaklah mempunyai pemimpin yang berwibawa, organisasi yang bersih dan proses yang telus. Namun, ini bukanlah jaminan bahawa ia tidak berhadapan masalah.Parti lawan akan mempertikaikan kewibawaan, kebersihan dan ketelusan sesebuah parti. Ada kalanya ia tidak mampu menghadapi serangan itu, lalu menyebabkan reputasinya terjejas di pasaran. Untuk itu, parti politik bukan sahaja harus mampu memasarkan harapan, idealisme dan ideanya kepada rakyat, tetapi hendaklah mampu menangkis tohmahan lawan.Bagi membolehkan sesebuah parti politik melakukan pemasaran sosial, perkara pertama yang perlu dikenal pasti ialah kehendak pelanggan. Dalam konteks ini, ia bermaksud kehendak rakyat. Sekiranya sesebuah parti politik memahami apa yang diperlukan oleh rakyat, maka mudahlah ia mempakejkan harapan, idealisme dan ideanya.Pengarah Acara Khas Kempen Barack Obama, Roger Fisch memberitahu sebelum Obama memperkenalkan agenda perubahan, dia melawat seluruh Amerika Syarikat, mendengar isu-isu yang penting bagi rakyat. Obama melakukan sedemikian selama satu tahun. Dalam tempoh itu, Obama hanya mendengar apa yang disampai oleh pengundi. Selepas setahun, barulah Obama memasarkan agenda perubahan yang dikehendaki rakyat.Di sini juga, agensi penyelidikan memainkan peranan penting mengutip dan menganalisis pendapat awam (public opinion). Sesebuah parti politik yang tahu apa yang rakyat hendak, boleh memperjuangkan isu-isu tersebut bagi pihak mereka. Malangnya dalam politik di Malaysia, sebahagian ahli politik merasakan mereka tahu semua masalah rakyat. Lantaran itu, sesetengah ahli politik kita gagal menjadi pendengar yang baik.Selain isu, faktor pemimpin politik juga adalah penting. Seseorang pemimpin tidak harus mempunyai terlalu banyak liabiliti.Perbuatan menconteng arang di muka pemimpin politik dengan pelbagai tuduhan liar sudah menjadi satu lumrah yang diterima. Amat malang, ia kini diterima sebagai satu proses meraih undi. Oleh itu, pemimpin politik yang baik bukan saja harus boleh membentangkan agenda perjuangannya, malah lebih dari itu mestilah mampu menangkis tohmahan lawan. Gandingan antara parti, isu dan pemimpin akan membolehkan parti politik membentuk senjata ampuh untuk berhadapan dengan lawan.Seringkali, politik dikatakan adalah mengenai persepsi. Mengapakah rakyat mempunyai persepsi positif kepada sesebuah parti politik dan mempunyai persepsi negatif kepada parti yang lain? Biar saya berikan contoh ini. Seorang graduan universiti mempunyai CGPA 4.0. Ini adalah pencapaian akademik yang cukup cemerlang. Bagaimanapun jika dia menghadiri temuduga dengan berpakaian selekeh dan cakap tergagap-gagap, maka penemuduga akan membentuk persepsi negatif sebaik melihat beliau.Pada masa sama, seorang graduan yang berpakaian kemas dan rapi, mempunyai skil komunikasi akan dilihat sebagai calon yang berpotensi walaupun CGPA beliau hanya 3.0. Hal yang sedemikian berlaku dalam politik. Kemampuan sesebuah parti politik menonjolkan kelebihannya menutupi kelemahannya di mata rakyat.Untuk membolehkan rakyat berpartisipasi dan menilai antara kaca dan permata dalam politik yang semakin canggih, mereka harus dibekalkan dengan literasi politik. Literasi politik bermaksud rakyat harus memahami proses politik untuk mengambil bahagian secara bermakna.Tanpa literasi politik, rakyat menjadi pengguna yang jahil. Apa sahaja yang dipakej dan dijaja dengan baik akan dibeli, walaupun isinya adalah seperti nasi lemak yang sudah basi!

sumber nobisha

No comments:

Post a Comment