Thursday 6 August 2009

Perluas kajian saintifik ibadah Islam – Tun Abdullah

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Kajian saintifik mengenai rahsia dan kelebihan ibadah yang diwajibkan kepada umat Islam seperti solat perlu diperluaskan, kata Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, usaha sedemikian tidak bertentangan dengan Islam sebaliknya mendorong keyakinan dan mengukuhkan iktikad penganutnya untuk terus beramal.
Tambahan pula, katanya, hal berkaitan ibadah orang Islam amat luas dan wajar dikaji secara mendalam untuk memahami kelebihannya.
“Kalau kita faham ibadah yang kita laksanakan dan tahu kebaikannya tentu keyakinan kita bertambah.
“Kalau kita buat sesuatu yang kita tak faham, itu yang kadang-kadang datang malas dan tiada keyakinan, amalan mesti diikuti ilmu pengetahuan barulah datang iman yang kukuh,” katanya.
Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Sains Solat Peringkat Kebangsaan 2009 anjuran Universiti Malaya (UM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan, Abdullah melancarkan tiga buku Projek Biosolat bertajuk; Pencegahan Penyakit Jantung dari Perspektif Sains dan Holistik; Senaman Regangan dan Pergerakan Solat dan Sakit Pinggang: Kaedah Rawatan Melalui Prinsip Pemulihan dan Pergerakan Solat.
Buku itu hasil kajian saintifik sekumpulan penyelidik UM terhadap ibadah solat yang dicetuskan Abdullah pada 2005.
Hadir sama isteri Abdullah, Tun Jeanne Abdullah, Naib Canselor UM, Profesor Datuk Ghauth Jasmon dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Othman Mustapha.
Terdahulu dalam ucapannya, Abdullah berkata, beliau amat gembira dimaklumkan bahawa kajian saintifik penyelidik UM mendapati gerak ibadah solat yang dilakukan secara betul akan menjadikan komposisi badan manusia lebih baik.
Sebaliknya, jelas beliau, solat yang dilakukan secara tidak betul boleh menjejaskan badan dan kesihatan.
Katanya, para penyelidik terbabit berjaya menganalisis gelombang otak manusia yang didapati mencapai ketegangan pada kedudukan tertentu dalam ibadah solat.
“Penyelidik berkenaan juga telah membuktikan bahawa keadaan otak manusia akan lebih cerdas selepas melakukan solat berbanding keadaan sebelum bersolat.
“Pengetahuan baru yang dijelmakan melalui penyelidikan terhadap ibadah solat tentunya dapat meyakinkan bahawa amalan wajib itu bukan hanya untuk kebaikan di akhirat malah kebaikannya mula dinikmati di dunia lagi,” katanya

sumber utusan malaysia

1 comment:

  1. islam adalah agama yang complete dari segalanya.pelbagai kebaikan yang di perolihi apabila sesorang menggunakan pakai apa yang terdapat di dalam al quran.dengan penggunaan sains dalam islam membuktikan di mana islam mempunyai segala-galanya.pelbanyakkanlah kajian sains dalam islam kerana ia dapat membuktikan islam mempunyai pelagai kebaikkan dari agama lain

    ReplyDelete