Monday 10 August 2009

Replika Najib di Batu Caves jadi isu

kemaskini 5.18pm Selepas replika gergasi Datuk Seri Anwar Ibrahim di kawasan DUN Batu Caves menjadi kontroversi antara PKR dengan Umno, kini patung besar Datuk Seri Najib Razak di situ dijadikan isu.

Namun seorang pemimpin PKR menyifatkan replika perdana menteri di perkarangan kuil Batu Caves yang dinaikkan "tidak ada masalah apa-apa" kerana "kami tidak pernah menganggapnya haram".


ADUN Batu Caves, Amirudin Shari menjadi sasaran kontroversi susulan kewujudan replika penasihat PKR akhir tahun lalu menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Penegakan imej mula memancing kontroversi apabila mufti Perlis waktu itu Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa ia "berunsur keberhalaan" dan "perlu dihapuskan dengan segera."

Selepas itu, banyak pihak mempertikaikan kehadiran replika besar itu di simpang utama dekat Wisma Keringat - selain dianggap "patung" yang dilarang oleh Islam, ia juga dianggap membazir.

"Tetapi bagi Umno (Gombak) yang ingin mengadakan demonstrasi, kita harap mereka mengambil pendirian yang sama (terhadap patung Najib)," kata Amirudin, yang juga naib ketua Angkatan Muda PKR.

"Begitu juga mereka yang mengeluarkan fatwa, mengharamkan replika Anwar. Kita harap mereka mengeluarkan fatwa yang sama."

Replika besar Najib dinaikkan beberapa ratus meter di depan patung besar Dewa Muruga yang berwarna emas - di pintu masuk gua Batu Caves - bersempena festival Satu Malaysia di situ selama tiga hari sehingga Ahad.

Pada 29 Oktober tahun lalu, Umno Gombak menentang keras penegakan replika Anwar kerana imej besar berdekatan simpang jalan itu didakwa mengganggu kelancaran lalulintas.

Ketuanya Abdul Rahim Kamaruddin turut mengancam mengadakan "bantahan terbuka" sekiranya Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membenarkan tempoh penegakannya dilanjut
sehingga hari natal tahun lalu.

Menurutnya, ketika pemerintahan Umno di Selangor dahulu, parti itu hanya menggunakan imej besar untuk papan iklan, bagi tujuan perlancongan sahaja.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Abdul Rahim enggan mengulas mengenai replika presiden Umno itu buat masa ini dengan alasan "belum melihat sendiri imej tersebut".


Sementara blog rasmi Amirudin semalam menerbitkan tulisan yang menempelak pemimpin Umno dan Dr Asri yang disifatkan sebagai "bising bagai nak rak" terhadap replika Anwar.

"Masa kita bina replika DSAI (Anwar) dulu di Batu Caves, semua pihak daripada BN bising bagai nak rak, termasuklah mantan mufti Perlis.

"Sekarang kita mohon, apa pula fatwa membina replika Najib di kuil Batu Caves? Mana puak-puak BN atau Umno yang mulut bising hari itu," artikel penulis Shahabaker dipetik.

Dalam tulisan 'Kata dulang paku serpih, dulu kata orang, sekarang kau pula lebih-lebih', penulis itu memuatkan kenyataan dua pemimpin Umno yang mengkritik isu replika Anwar, antaranya:

Naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam waktu itu dilaporkan berkata, pembinaannya menunjukkan PKR "mendewa-dewakan pemimpinnya".

Naib Presiden Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi pula dipetik berkata, pembinaan replika itu "tidak diizinkan di sisi agama" dan "usaha taksub" penyokong PKR yang bukan Islam.

Pendirian Terhadap Replika DS Najib dan Jawapan Terhadap PKR
Disiarkan pada Aug 10, 2009 dalam kategori Kenyataan & Penjelasan |
Saya yang berada di luar negara baru tahu tentang replika itu, walaupun PKR telah menempelak saya seperti yang disebut dalam Malaysiakini kerana tidak membantah. Saya konsisten menyatakan seperti mana replika DS Anwar tidak patut didirikan, maka begitu juga replika DS Najib. Selain daripada ia berunsur berlebih-lebihan memuja pemimpin atau mengampu, ia juga tidak memberikan apa-apa kekuatan kepada politik seseorang.

Pemimpin dinilai pada pemikiran, sikap dan kerjanya, bukan pada besar kecil patungnya. Apabila saya menegaskan konsistensi saya dalam perkara ini, saya ini melihat sejauh mana konsistensi pihak yang membolehkannya dahulu. Malaysiakini melaporkan bahawa PKR ingin mendengar pendirian saya, maka ini pendirian saya.

Saya pula ingin melihat pendirian mereka yang dahulu membolehkannya. Sepatutnya, mereka yang mempertahankannya untuk DS Anwar Ibrahim, mereka juga kena mempertahankannya kali ini. Mengapa ia berubah-ubah jika untuk orang lain, dan hanya dibolehkan untuk pemimpin sendiri sahaja. Itulah politik. “Haram itu untuk musuh, halal itu untuk diri sendiri, musuh semua salah, diri sendiri semua betul”.

Alhamdulillah, generasi muda mulai sedar, kebanyakan permainan politik ini hanya memperbodohkan masyarakat. Ramai anggota PKR datang dari lubuk yang sama, iaitu BN. Nama berbeza, mentaliti dan sikap belum tentu?!

-dr mohd asri, lampeter, uk.

1 comment:

  1. xkira siapa pun yang beragama islam tidak boleh ada alasan kerana jasanya maka akan di wujudkan satu patung bagi menegenang jasanya.sama ada anuar atau najib tiada alasan bagi mecipta patung berbentuk mereka.

    ReplyDelete