Wednesday 5 August 2009

ISA - Kekal, Mansuh atau Pinda?

Demonstrasi jalanan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada hari Sabtu lepas telah menyemarakkan lagi perdebatan mengenai akta ini. Pada asasnya, saya menyokong keputusan Kerajaan untuk mengkaji semula ISA agar sesuai dengan keperluan semasa, sepertimana yang saya sebut sewaktu membincangkan ISA dalam rancangan 101 East di saluran Al-Jazeera (tayangan dijadualkan Khamis, 8.30 malam).Pertama sekali, perlu ditegaskan bahawa Malaysia memerlukan mekanisme penahanan pencegahan (preventive detention), dalam erti kata seseorang individu boleh ditangkap dan ditahan bagi mengelakkan kesalahan atau jenayah yang belum diperlakukan, sebagai salah satu usaha pengurusan ketenteraman secara proaktif.Dalam pada dunia mengalami ancaman ekstrimis dan pengganas, ditambah pula dengan sensitiviti unik dalam negara Malaysia yang berbilang kaum, kita tidak boleh menanti sesuatu bencana terjadi sebelum mengambil tindakan. Oleh itu, saya yakin rakyat Malaysia sejagat boleh memahami peri pentingnya kuasa sebegini diberi kepada Kerajaan.Walau bagaimanapun, agenda keselamatan dalam negeri perlu juga diimbangi dengan tuntutan demokrasi, yakni hak asasi manusia, kebebasan sivil dan keadilan. Maka, ISA atau sebarang undang-undang pencegahan tidak boleh sama sekali digunakan untuk menghentikan bantahan yang sah (legitimate dissent) atau melenyapkan cabaran politik dengan cara 'mudah'. Dalam erti kata lain, agenda keselamatan negara tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk kepentingan politik mana-mana pihak. Antara lain, skop definisi ancaman keselamatan kepada negara perlu diperketatkan untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa ISA.Selari dengan komitmen untuk memartabatkan sistem demokrasi negara, UMNO dan BN peka kepada kemahuan ramai di kalangan generasi muda yang tidak selesa dengan ISA. Saya tidak bersetuju kita melabelkan golongan ini sebagai buta sejarah atau seolah-olah memecah-belahkan bangsa Melayu semata-mata tentangan mereka terhadap ISA; sebaliknya kita perlu mendengar dan memahami pandangan mereka sejajar dengan proses pembaharuan yang ingin dijalankan parti dan Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak.Oleh sebab itulah maka kita harus mengkaji dan menghalusi ISA agar mengambil kira pertimbangan dan juga pandangan dari masyarakat umum. Saya ingin mengambil pendekatan yang lebih konstruktif dan membina di dalam perdebatan mengenai ISA dan menyoal akan hala tuju peruntukan undang-undang ini – samaada mahu dikekal, dimansuh atau dipinda? Dalam konteks ini, saya berpendapat bahawa YAB Perdana Menteri telah memberi isyarat yang jelas bahawa akta ini tidak harus dikekalkan sepertimana ia sekarang. Samaada ISA akan dipinda atau diganti dengan suatu peruntukan undang-undang yang baru adalah satu keputusan politik. Dalam hal ini, ada kemungkinan yang ISA ini sudah penuh dan sarat dengan beban politik yang menuntut satu penghijrahan dari legasi lampau. Oleh sebab itu, selain dari pindaan kepada ISA satu pendekatan adalah dengan memansuh dan menggantikannya dengan suatu akta penahanan pencegahan yang mengimbangi aspek keselamatan negara serta hak asasi dan kebebasan rakyat, melalui proses penggubalan undang-undang yang merangkumi konsultasi dan maklum balas dari masyarakat umum. Namun, sebelum itu, beberapa isu penting berkenaan peruntukan sedia ada harus diambil kira dan diberi perhatian terlebih dahulu termasuklah aspek paling hangat dibahas mengenai ISA, iaitu berkenaan kuasa yang diberikan kepada Kerajaan untuk menahan seseorang tanpa perlu dibicara. Secara khususnya, saya mendapati bahawa ramai yang kurang selesa dengan kuasa mutlak Menteri Dalam Negeri di bawah seksyen 8 akta tersebut untuk menandatangani arahan penahanan selama dua tahun – dan boleh diperbaharui setiap dua tahun - tanpa perlu melalui proses semakan kehakiman atau ‘judicial review’. Khususnya, selepas pindaan kepada ISA pada tahun 1989, perintah tahanan Menteri Dalam Negeri langsung tidak boleh disemak oleh mahkamah. Hasilnya, Menteri Dalam Negeri secara teori boleh menahan seseorang itu untuk jangkamasa yang panjang kerana Lembaga Penasihat yang diperuntukkan oleh ISA untuk mengkaji status tahanan tidak mempunyai kuasa untuk menidakkan keputusan Menteri. Justeru, tidak hairanlah sekiranya ada yang tidak selesa dengan kuasa hampir mutlak yang diberikan kepada seorang Menteri – tidak kira siapa pun yang memegang portfolio itu – untuk menahan seseorang tanpa perbicaraan.Bagi memastikan bahawa individu yang ditahan kerana disyaki membawa ancaman kepada keselamatan negara mendapat perbicaraan yang adil dan tidak disimpan bertahun-tahun tanpa diberi peluang untuk membela diri, sistem kehakiman perlu diberi ruang untuk mengadili kes-kes sebegini. Namun, memandangkan banyak ancaman keselamatan negara ini berkisar hal-hal sensitif yang tidak mungkin boleh dikendalikan dengan kaedah biasa seperti kes-kes yang melibatkan maklumat dari badan-badan risikan, barangkali ada baiknya jika mahkamah khas disediakan untuk mengadili kes sedemikian melalui perbicaraan tertutup (in camera), misalnya.Disamping itu, seksyen 73 ISA membenarkan seseorang individu ditangkap oleh Polis dan dihalang dari berhubung dengan dunia luar - kadangkala keluarga si tahanan juga tidak dimaklumkan tentang penangkapan itu sendiri inikan lagi tempat di mana individu itu ditahan. Malah, hak mendapat khidmat peguam juga tidak dijamin. Sungguhpun terdapat kes di mana tahanan ISA dibebaskan oleh mahkamah melaui permohonan habeas corpus, kebanyakan kes ini terhad kepada skop permohonan yang terbatas kepada isu-isu prosedur penangkapan sahaja dan tidak mencakupi semakan kehakiman mengenai sebab-sebab dan asas penangkapan. Di sini, saya percaya perlu ada pembaharuan supaya khidmat guaman diberi kepada mereka yang ditangkap bawah ISA di samping kelonggaran untuk berhubung dengan anggota keluarga.Ini adalah antara cadangan yang boleh dibincangkan demi kebaikan bersama dan untuk menyelesaikan kemelut kontroversi ISA. Pada hemat saya, demonstrasi pada hari Sabtu lepas langsung tidak memberi impak positif kepada perbincangan ini kerana hanya menuntut pemansuhan mutlak ISA tanpa menyumbang apa-apa cadangan realistik yang mengimbangi tuntutan demokrasi dan keselamatan negara yang memerlukan kuasa penahanan pencegahan. Jika kita ingin budaya masyarakat terbuka sejajar dengan kematangan berpolitik yang jitu, maka semua pihak perlu mengambil tanggungjawab dengan menaikkan mutu perdebatan kita.Tidak lagi boleh kita mengambil pendirian yang mudah - yakni mutlak pro atau anti ISA. Sebaliknya kita perlu kepada satu pendirian yang lebih matang, syumul dan kompleks yang mengambil kira segala keperluan demi kebaikan rakyat.

sumber khairy jamaludin

1 comment:

  1. isa sebebenarnya masih perlu untuk kita sebagai negara yang berbilang kaum.tidak boleh kita menghapuskan satu undang2 yang boleh melindungi kita daripada terus tercetusnya satu perkara yng mengugat daripada berlaku masalah yang sebelum perkara itu terjadi.di negara yang lain ada juga undang2 seperti ini tetapi ia bukan dinamakan isa tetapi nama yang lain.yang menjadi masalah dengan ialah perlaksanaan undang2 ini yang memberi ruang kepada ahli politik meggunakannya.oleh kerana penyalahgunaan oleh ahli politik menyebabkan ramai yang merasakan ianya perlu dimansuhkan.dengan alasan penangkapan seorang wartawan di bawah akta keselamatan dalam negeri(isa)untuk menjaga keselamatan dalam negeri menyebabkan ramai merasakan undang2 ini telah salah gunakan.walaupun secara dasarnya undang ini adalah baik kerana melakukan pencengahan sebelum perkara yang tidak dingini.perkara yang telah tercemar kredibilitinya menyebabkan pelbagai persepsi yang buruk terhadap undang2i.ini memerlukan kajian yang menyeluruh supaya undang2 ini tidak di salah gunakan lagi dan melakukan demontrasi di jalanan telah menunjukkan imej yang tidak baik terhadap negara malaysia.pelbagai kerugian yang di alami apabila berlakunya demontrasi jalanan.peniaga2 tidak dapat menjalankan kegiatan perniagaan yang menjadi sumber rezekinya.jalan2 raya yang menjadi sesak menyebabkan orang ramai tidak dapat meneruskan perjalanan yang mereka inginkan.ini perkara yang merugikan kegiatan ekonomi negara.berilah ruang untuk kerajaan memperbaiki sistem undang2 yang menjadi pertikaian di antara rakyat.perkara ini sukar di lakukan tanpa sokongan dari rakyat.ahli politik di dalam pembangkang juga seperti anwar ibrahim,zaid ibrahim juga dulu berada dalam kerajaan sewaktu undang2 ini di laksanakan tetapi mengapa mereka tidak menghapuskan kerana ia bukan sesuatu yang mudah.sebab itu semua ahli politik di perlukan dalam memberi pendapat serta buah fikiran supaya undang2 ini terus releven dalam sebuah negara melaysia dan jika kerajaan gagal melakukan perubahan rakyat boleh melakukan perubahan pada pllihan raya yang akan datang dan bukannya demontrasi jalanan yang meyumbang kepada berlakunya kerugian dalam ekonomi malaysia.

    ReplyDelete