Tuesday 4 August 2009

Dasar Ekonomi Baru

Dasar Ekonomi Baru

Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan satu program sosioekonomi di Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 1971 oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Dato' Hussein. Matlamat tersurat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ia telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata untuk:
mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum; dan
mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.
Dasar ini telah digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pada 1991. Walaupun begitu elemen-elemen dasar ini masih lagi wujud dan akan diganti secara beransur-ansur apabila bumiputera sudah mempunyai keyakinan diri.

Latar belakang
Perlaksanaan dasar pecah dan perintah Inggeris telah mengeruhkan perpaduan masyarakat di Tanah Melayu. Pengelasan kaum merujuk pekerjaan dan sistem pelajaran yang berbeza mengelakkan interaksi antara penduduk di Tanah Melayu yang terdiri daripada 3 rumpun utama iaitu bangsa Melayu, Cina dan India. Melalui dasar ini orang Melayu kebanyakannya menetap di kawasan luar bandar (kampung) dan bekerja sebagai nelayan dan petani, orang Cina menetap di kawasan bandar dan kawasan perlombongan serta bekerja sebagai peniaga dan pelombong bijih timah, manakala orang India kebanyakannya tinggal di kawasan ladang-ladang dan bekerja sebagai buruh, secara tidak langsung telah mewujudkan perasaan curiga mencurigai antara satu sama lain yang merupakan bom jangka yang menjadi teras peristiwa 13 Mei 1969.
Peristiwa berdarah yang berlaku pada 13 Mei 1969 telah mendedahkan manifestasi sebenar perasaan tiga etnik yang terbesar di Malaysia. Semenjak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, didapati bangsa Melayu masih tertinggal jauh dari segi penguasaan ekonomi dan pendidikan di Tanah Melayu memandangkan majoriti orang Melayu tinggal di luar bandar. Manakala orang Cina pula lebih terkehadapan dengan menguasai bidang perniagaan dan bidang ekonomi lain memandangkan mereka tinggal di kawasan bandar dan menguasai kawasan perlombongan. Lantas timbul kesedaran di kalangan orang Melayu yang dapat merasakan bahawa mereka telah tertinggal dan tertindas di bumi sendiri akibat kemiskinan. Bagi masyarakat Cina dan India pula, mereka bimbang tentang syarat-syarat hak kerakyatan walaupun sebahagian daripada mereka telah bersedia untuk menumpahkan kesetiaan kepada Tanah Melayu.

Semenjak pendudukan Jepun pada perang Dunia Kedua, pihak Jepun mengamalkan dasar yang anti-Cina dan pro-Melayu telah membangkitkan kemarahan dan prasangka orang Cina terhadap orang Melayu. Apabila Jepun menyerah kalah dan sebelum ketibaan Inggeris, orang Cina yang kebanyakannya merupakan anggota Bintang Tiga (Parti Komunis Malaya) telah mengambil kesempatan untuk membalas dendam. Turut memburukkan keadaan adalah kerana, kebanyakan orang Cina menganggotai Parti Komunis Malaya manakala Orang Melayu kebanyakan menganggotai pasukan keselamatan ketika zaman darurat pada 1948–1960.
Penyingkiran Singapura dari Malaysia pada tahun 1965 akibat konsep "Malaysia untuk orang Malaysia" yang yang secara tidak langsung turut mempertikai kedudukan dan hak istimewa orang Melayu telah diapi-apikan oleh Lee Kuan Yew menyemarakkan perasaan anti-Cina dan anti-Melayu. Kejadian-kejadian tersebut akhirnya menyebabkan berlakunya peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969. Ia telah mengorbankan banyak nyawa dan harta-benda adalah manifestasi hubungan antara kaum di Tanah Melayu yang sememangnya retak menanti belah. Peristiwa 13 Mei 1969 berlaku sebaik sahaja keputusan pilihan raya umum 1969 diketahui.
Kacau bilau dan pertumpahan darah yang berlaku pada 13 Mei 1969 itu telah memaksa kerajaan untuk mengisytiharkan perintah darurat. DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika itu dan atas nasihat Perdana Menteri dengan serta-merta telah mengisytiharkan darurat di seluruh negara. berkuat kuasa 16 Mei 1969. Pengisytiharan ini telah menyebabkan sistem kerajaan berparlimen digantung. Atas perakuan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong telah melantik Tun Razak bin Dato Hussein, Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu sebagai pengarah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang bertanggungjawab menjalankan kuasa pemerintahan bagi Persekutuan berdasarkan kuasa yang diwakilkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Majlis Perundingan Negara telah ditubuhkan bagi memastikan keberkesanan MAGERAN, Majlis Perundingan Negara yang bertanggungjawab untuk membincang dan meneliti isu-isu perpaduan negara serta mencari jalan menyelesaikan masalah masyarakat berbilang kaum. Majlis ini mendapati satu masalah yang paling ketara yang dikenal pasti ialah struktur masyarakat majmuk di Malaysia. Adalah didapati masyarakat Malaysia masih terbahagi atas dasar keturunan, agama dan pekerjaan. Perpaduan yang hendak dicapai bukan sahaja melibatkan penyatuan kaum sahaja tetapi adalah didapati penyatuan ekonomi dan sosial juga perlu dilakukan. Sehubungan dengan itu Majlis Perundingan Negara telah bersetuju membentuk satu ideologi negara yang kemudiannya dikenali sebagai Rukun Negara yang mempunyai lima prinsip utama iaitu:

Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-Undang
Kesopanan dan Kesusilaan

Dasar Ekonomi Baru juga dibentuk menerusi Majlis Perundingan Negara sebagai jentera penggerak untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Majlis Perundingan Negara juga telah mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan Jabatan Perpaduan Negara untuk melaksanakan aktiviti berbentuk muhibbah Majlis Muhibah dan Pejabat Muhibah di peringkat pusat, negeri, daerah dan kawasan telah ditubuhkan di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Perlu (Majlis-Majlis Muhibah) 1969 yang telah diwartakan pada 18 Julai 1969

Dasar Pecah dan Perintah
Jurang perbezaan ekonomi dan sosial kalangan kaum di Malaysia sering dikatakan akibat dasar pecah dan perintah (devide and rule) oleh penjajah Inggeris. Terdapat dua keadaan yang memungkinkan keadaan ini:
1. Inggeris sengaja memisahkan kaum-kaum bagi mengelakkan dan menyekat sebarang usaha penyatuan yang membawa risiko penentangan terhadap penjajahan.
2. Inggeris perlu mengekalkan penduduk peribumi di kampung-kampung serta mengekalkan aktiviti pertanian orang Melayu bagi memastikan bekalan makanan penduduk Tanah Melayu tidak terjejas. Tindakan membawa masuk pekerja asing adalah bagi mengelakkan penduduk pribumi meninggalkan aktiviti pertanian.
Peranan Dasar Ekonomi Baru dalam usaha pihak kerajaan untuk mencapai matlamat integrasi nasional
1. Mewujudkan peluang pekerjaan untuk semua golongan terutama yang menganggur.
2. Mengurangkan jurang perbezaan pendapatan antara semua kaum dan antara kawasan (bandar dan luar bandar).
3. Memperbaiki taraf dan kualiti hidup rakyat melalui pelajaran, latihan, kesihatan, kemudahan infrastruktur dan lain-lain.
Kesan Dasar Pecah dan Perintah
1. Penduduk Melayu telah dibiarkan di kawasan pedalaman untuk mengerjakan sektor pertanian tradisional.
2. Kaum Cina ditempatkan di bandar dan lombong bagi menjalankan aktiviti perniagaan dan perlombongan.
3. Kaum India ditempatkan di estet untuk mengerjakan ladang-ladang British.
Oleh kerana petempatan dan kawasan tumpuan mereka dalah berbeza, maka tidak wujud interaksi antara tiga kaum utama ini. Melalui dasar ini British telah melairkan perasaan prasangka dan memperkukuh keperibadian setiap kumpulan etnik yang terus menjarakkan jurang perpaduan antara kaum.

Dasar Ekonomi Baru
Dasar Ekonomi Baru merupakan satu bentuk perancangan yang dilancarkan oleh kerajaan dalam tahun 1970 melalui Rancangan Malaysia Kedua. Matlamat utamanya ialah perpaduan negara selain itu juga bertujuan untuk menyusun semula ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud di negara ini. Menyedari hakikat bahawa pengagihan ekonomi yang seimbang penting demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu, serta mengambil kira kemiskinan serta ketidakupayaan sesetengah kaum untuk bersaing dengan kaum yang lain maka DEB telah dirancang untuk memperbaiki keadaan ini.
Ketegangan antara golongan yang berharta dan yang tidak berharta adalah berpunca daripada isu kemiskinan. Didapati bahawa orang Melayu lebih banyak menghadapi kemiskinan berbanding kaum-kaum yang lain. Didapati juga orang Melayu masih jauh ketinggalan dan kurang mampu bersaing dengan kaum-kaum lain walaupun Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik. DEB dirancang sebagai satu program jangka panjang yang akan berjalan selama 20 tahun, bermula dari tahun 1970 hingga tahun 1990. Rancangan-rancangan pembangunan di bawah Dasar Ekonomi Baru dijalankan menerusi strategi serampang dua mata:-
penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.
pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum;
Bagi memastikan matlamat untuk menghapuskan kemiskinan tercapai, strategi ditumpukan untuk menghapuskan kemiskinan di kawasan luar bandar dan kawasan bandar. Berdasarkan banci penduduk 1970, didapati bahawa kira-kira 49.3% daripada semua keluarga miskin di Malaysia berpendapatan di bawah garis kemiskinan (pendapatan garis kemiskinan tahun 1970 ialah RM200) dan kira-kira 86% daripada jumlah itu berada di kawasan luar bandar. Bagi mencapai matlamat, kerajaan telah melaksanakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan awam melalui kemudahan pendidikan, kesihatan, bekalan air dan elektrik. Di samping itu, keutamaan juga diberikan kepada golongan miskin untuk mendapatkan bantuan seperti program bantuan subsidi baja, biasiswa pelajaran dan buku teks, makanan tambahan kepada kanak-kanak serta program rumah murah. Menjelang tarikh akhir pelaksanaan DEB, matlamat untuk membasmi kemiskinan telah tercapai. Laporan Rancangan Malaysia Keenam telah menunjukkan bahawa kadar kemiskinan negara pada tahun 1990 ialah 17.1% berbanding 49.3% pada tahun 1970.
Bagi memastikan matlamat yang kedua dalam DEB turut tercapai, kerajaan telah cuba memperbaiki keadaan ekonomi dan pada masa yang sama, menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi. Berasaskan pada ketidakseimbangan antara kaum, kerajaan telah melancarkan beberapa program seperti perindustrian dan perdagangan, pertanian, perlombongan, pembinaan, pengangkutan dan pertanian. Bagi menjayakan matlamat yang kedua dalam DEB ini juga, beberapa strategi telah dirancang, antaranya:
Mengurangkan keadaan yang tidak seimbang dalam struktur guna tenaga supaya penyertaan pelbagai kaum dalam sektor utama akan mencerminkan kedudukan tenaga buruh mengikut komposisi kaum menjelang tahun 1990;
Mempastikan pembentukan sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian di kalangan orang Melayu dan kaum Bumiputera supaya mereka dapat menguruskan dan memiliki sekurang-kurangnya 30% daripada semua jenis peringkat kegiatan ekonomi.
Menambah dengan cepat bahagian rakyat Malaysia dalam pemilikan sektor produktif. Perhatian khusus akan ditumpukan kepada kaum Bumiputera yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain;
Meninggikan daya pengeluaran dan taraf kehidupan golongan miskin di luar bandar.
Setelah tempoh Dasar Ekonomi Baru tamat, kerajaan telah menubuhkan Dasar Pembangunan Nasional yang merupakan usaha atau kesinambungan kepada perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru.

Isu Penolakan
Pada 13 Mac 2008, Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru dilantik (ahli DAP), Lim Guan Eng dikhabarkan menolak DEB dan DPN. Bagaimanapun beliau menafikan perkara itu melalui siaran TV3. Antara langkah yang dianggap bercanggah dengan DEB/DPN ialah 'tender terbuka'.

sumber dari wikipedia.


Timbang politik berasaskan keadilan

KENAPAKAH setelah lebih daripada 50 tahun merdeka kita masih gagal untuk melahirkan masyarakat berbilang kaum yang meletakkan kepentingan nasional di hadapan? Inilah perkara yang mesti dikaji dan diuji oleh pemimpin-pemimpin hari ini agar jangan terlalu sibuk berpolitik sehingga melupakan atau sengaja melupakan kepentingan masa hadapan atau kepentingan negara secara keseluruhan.
Kenapakah kita tidak belajar daripada negara jiran terdekat seperti Thailand dan Indonesia yang berjaya menanamkan semangat kebangsaan dan patriotik yang tinggi kalangan rakyat mereka berbilang kaum?
Tidakkah kita belajar daripada pengalaman apa yang berlaku di Singapura? Setelah sebuah negeri Melayu terlepas kepada tangan bukan Melayu, apakah yang telah terjadi kepada orang Melayu di sana? Terbelakah nasib orang Melayu? Adakah orang Melayu mendapat tempat dalam percaturan kuasa politik?
Menurut Lily Zubaidah (2001), yang membuat kajian mengenai nasib Melayu di Singapura, bahawa orang Melayu semakin tidak mendapat tempat di bawah kerajaan PAP yang diperturunkan oleh Lee Kuan Yew. Orang Melayu tidak lagi diberikan tempat seperti dahulu. Kalau adapun tempat diberikan adalah kalangan Melayu yang telah cair sifat keMelayuan dan keIslamannya.
Kepimpinan Cina di Singapura tidak lagi mempercayai orang Melayu di sana. Dengan sebab itu, mereka terus didiskriminasikan, walaupun dinafikan sendiri oleh Melayu Singapura yang mahu menjaga periuk nasi masing-masing. Namun, perilaku mereka menunjukkan segala-galanya.
Orang Melayu langsung tidak dapat tempat untuk memegang jawatan tinggi dan kritikal dalam perkhidmatan seperti ketua tentera, polis, juruterbang, imigresen dan sebagainya.
Saya begitu teruja apabila Perdana Menteri Singapura, Lee Hsein Loong diajukan oleh wartawan persoalan akan pandangan beliau mengenai perkembangan politik di Amerika Syarikat berkaitan kejayaan presiden Barack Obama. Lebih lunak sedikit daripada bapanya, Hsein Loong mengeluarkan kenyataan bahawa satu hari nanti orang Melayu boleh menjadi Perdana Menteri di Singapura.
Persoalannya, bila? Sama ada ia akan menjadi realiti atau tidak hanya Tuhan yang lalu. Keadaan hari ini yang berlaku sudah cukup memberikan pengajaran kepada kita bahawa proses ke arah itu masih terlalu jauh disebabkan oleh sikap ultra kiasu yang amat menebal.
Sejarah membuktikan bahawa orang Melayu mempunyai sikap akomodasi yang tinggi. Selain daripada isu penerimaan orang Cina sebagai warganegara (Jus Soli), orang Melayu juga sanggup melepaskan sebuah negara Melayu iaitu Singapura kepada orang Cina dalam keadaan terpaksa. Namun, setelah orang Cina mendapat negara tersebut, mereka tidak pernah percaya kepada orang Melayu.
Malah menaruh syak wasangka atau persepsi yang kurang menyenangkan. Walaupun negara ini mendakwa mengamalkan dasar terbuka seperti yang didakwa, nyata sekali diskriminasi amat jelas dan nyata terhadap orang Melayu.
Orang Cina Singapura tidak pernah percaya kepada orang Melayu. Pendek kata, proses peminggiran orang Melayu berlaku dalam hampir semua aspek kehidupan seperti ekonomi, politik, sosial, budaya dan sejarah (Lily Zubaidah, 2001). Saya agak hairan bagaimana Lee Kuan Yew suatu ketika dahulu begitu berani menyindir Malaysia dengan mengatakan orang Cina dipinggirkan dalam arus perdana kepemimpinan negara.
Justeru, bagi saya, membandingkan Barack Hussein Obama, pemimpin kulit hitam yang berjaya menjadi presiden Amerika Syarikat adalah contoh yang amat dangkal dan amat ultra kiasu. Inilah politik kotor yang sentiasa dimain-mainkan untuk mengugut kepemimpinan hari ini. Sejarah kita berbeza sejarah Amerika Syarikat.
Kejayaan Obama masih terlalu baru. Kita jangan terlalu yakin, terutamanya umat Islam yang meletakkan harapan yang begitu tinggi terhadap Obama menggantikan Bush yang dianggap sebagai dajal.
Jika Obama beragama Islam, saya tidak yakin beliau pergi lebih jauh sehingga setakat ini. Faktor peribadi beliau turut membantu. Beliau bukanlah dalam kategori kulit hitam tulen seperti kulit hitam di Afrika.
Ibunya adalah rakyat Amerika Syarikat berkulit putih. Cuma bapanya sahaja berkulit hitam daripada Kenya. Pendek kata, Obama adalah campuran darah kulit putih dan kulit hitam.
Salah satu sokongan yang diperolehi juga disebabkan beliau secara terang mengaku berpegang kepada agama kristian. Tidak ketinggalan, beliau mempunyai hubungan dengan pemimpin-pemimpin dan korporat-korporat Yahudi antarabangsa.
Saya bimbang umat Islam akan kecewa suatu hari nanti jika terlalu bergantung harapan kepada Obama. Tunggu dan lihat. Apa pun saya boleh katakan, jika Obama beragama Islam, berkulit hitam tulen, dan tidak bersikap lunak terhadap Yahudi, jangan harap dia boleh menjadi presiden Amerika Syarikat. Inilah sejarah politik yang mesti difahami.
Persoalan saya, kenapa DAP, Gerakan dan MCA membandingkan Malaysia dengan Amerika Syarikat? Kenapa tidak bandingkan Malaysia dengan negeri China atau India yang lebih bersifat ketimuran? Pada saya, DAP, Gerakan dan MCA sekadar mengambil kesempatan dalam apa jua ruang dan peluang untuk mendapatkan apa yang selama ini tidak didapati.
Saya ajukan persoalan ini kepada mereka untuk dijawab, bolehkah Cina Muslim atau India Muslim menjadi Perdana Menteri di negara China dan India, sedangkan mereka daripada satu bangsa yang sama.
Saya memberikan jawapan terlebih dahulu, jauh panggang dari api. Justeru, membanding Malaysia dengan Amerika Syarikat adalah sikap yang amat kiasu atau ultra Cina yang tidak sepatutnya berlaku bagi mereka yang telah tinggal di tanah air tercinta ini sekian lama.
Saya masih beranggapan baik bahawa orang Melayu boleh atau akan menerima orang Cina sebagai perdana menteri atau timbalan, jika orang Cina itu beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu termasuk, fasih berbahasa Melayu dan lain-lain lagi.
Kenapa hari ini orang Melayu masih agak berat hati untuk menerima orang bukan Melayu untuk diletakkan pada hierarki yang tertinggi dalam kepemimpinan negara dan organisasi? Berbanding dengan kenapa rakyat Thai boleh menerima Thaksin sebagai ketua negara mereka suatu ketika dahulu walaupun Thaksin mempunyai darah keturunan Cina yang amat ketara? Jawapannya, kerana Thaksin beragama Buddha, sama seperti orang Siam yang lain.
Perawakan Thaksin tidak lagi kelihatan sebagai orang Cina, tetapi lebih Siam daripada orang Siam. Thaksin mempunyai semangat patriotisme Thai yang amat tinggi. Sebab itu Thaksin berjaya. Namun keadaan di Malaysia begitu jauh berbeza, majoriti bukan Melayu langsung tidak mahu dikaitkan atau diasimilasikan langsung dengan budaya dan cara hidup orang Melayu. Dengan sebab kebudayaan kebangsaan gagal mencapai matlamatnya.
Persoalan saya kepada MCA, Gerakan dan DAP, berapa ramai orang Cina hari ini yang boleh menguasai bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu dengan baik? Berapa ramai wakil-wakil rakyat Cina sanggup memakai songkok atau baju Melayu ketika ada majlis rasmi seperti persidangan Parlimen? Inikah sikap Perdana Menteri yang kita mahukan? Jika inilah sikap yang ditonjolkan, jangan harapkan mereka mengimpikan untuk menjadi perdana menteri.
Hari ini seolah-olah amanat Tunku dan Cheng Lock sudah tidak relevan lagi. Orang Cina tidak hanya menuntut kek ekonomi dan kek kuasa yang lebih besar. Majoriti mereka berpendapat bahawa DEB sudah tidak relevan lagi. Lupakah kita kepada bumiputera Sabah dan Sarawak? Tidakkah mereka lebih berhak untuk menuntut? Seperti mana tuntutan mereka agar jawatan Naib Presiden UMNO hendaklah diperuntukkan kepada bumiputera UMNO Sabah?
Saya cukup bersetuju dengan idea ini, agar politik kita tidak mengkesampingkan Sabah dan Sarawak yang telah dijemput menyertai Malaysia sekian lama. Kita sedia maklumkan bahawa keadaan di sana masih kurang membangun jika dibanding dengan Semenanjung.
Justeru, jika tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Timbalan Pengerusi Barisan Nasional atau jawatan dalam syarikat milik kerajaan (GLC) serta perkhidmatan awam, diajukan kepada kerajaan, yang lebih berhak mendapatkannya adalah bumiputera Sabah dan Sarawak dan bukannya yang lain.
Inilah hakikat politik berunsurkan keadilan yang perlu dikaji dan dinilai dengan serius oleh bukan Melayu. Keadilan bukan bermakna sama rata sama rasa tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul. Apakah yang dimaksud konsep adil dalam konteks bumiputera Sabah dan Sarawak. Pertama, mereka bukan pendatang.
Kedua, mereka dijemput menyertai Tanah Melayu seterusnya membentuk Malaysia. Ketiga, keadaan di sana masih mundur berbanding Semenanjung. Keempat, kemiskinan tegar di sana masih begitu banyak berbanding dengan Semenanjung dan sebagainya.
Sebenarnya, banyak lagi faktor yang boleh diberikan. Justeru, saya percaya, mesti ada rasionalnya kenapa kalangan pemimpin-pemimpin Melayu masih mahu DEB terus disambung semula dalam versi baru. Mungkin sudah ada kesedaran bahawa, ia perlu dilaksanakan secara lebih telus agar mereka yang benar-benar layak sahaja yang dibantu, bukannya memperkayakan segelintir kroni dan orang tertentu sahaja seperti sebelum ini.
Matlamat DEB adalah untuk merapatkan jurang pendapatan antara Melayu dengan bukan Melayu, dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.
Kita perlu mengambil pengajaran kata-kata seorang pengkaji barat seperti Leon Comber (2007) yang menegaskan, jika semangat DEB diamalkan sejak dulu, tiada kumpulan tertentu yang akan mengalami sebarang kerugian atau berasa diambil sesuatu daripada diri mereka, sudah pasti tiada orang yang akan menentangnya. Tetapi adalah jelas bahawa semua ini banyak bergantung kepada cara bagaimana dasar itu ditafsirkan dan dilaksanakan oleh pihak berkuasa Malaysia. Era selepas DEB dilaksanakan menandakan titik permulaan dalam lipatan sejarah perhubungan Melayu-Cina.
Sementara bagi orang Cina pula, sebaik sahaja DEB diwujudkan, isu ini terus menjadi fokus utama dan perbahasan hangat tanpa kesudahan. Kebanyakan tulisan penyelidik dan cendekiawan Cina (Kua Kia Soong, 1990, Thock Ker Pong, 2005, Ye Lin-Sheng, 2005 dan lain-lain) banyak mengkritik DEB, apatah lagi apabila tempohnya telah tamat. Jarang yang mahu melihat kebaikan yang diperolehi daripada dasar ini, walaupun tidak dinafikan kelemahannya akibat tidak diuruskan dengan jujur ikhlas.
Menurut Faaland (2005: 165-166), daya pendorong umum sikap orang Cina terhadap DEB, seperti dibayangkan oleh parti-parti politik mereka iaitu, DAP, MCA dan Gerakan, adalah amat jelas sekali.
Meskipun ada kelainan dari segi perinciannya, mereka menyokong objektif pembasmian kemiskinan DEB, kerana ini akan turut memberi manfaat kepada orang Cina yang miskin di kawasan-kawasan bandar dan juga luar bandar, khususnya mereka yang tinggal di Kampung-Kampung Baru, di mana terdapat orang Cina yang berada dalam kemiskinan tegar.
Tetapi kebanyakan daripada mereka lebih suka merobohkan objektif penstrukturan semula DEB. Objektif ini dilihat sebagai bersifat diskriminasi dan tidak adil. Malah kekuasaan politik dan hak istimewa orang Melayu dianggap menjadi penyebab kepada penghakisan kepentingan masyarakat Cina (Thock Ker Pong, 2005: 89).
Perlu ditegaskan, DEB memang tidak dapat dipisahkan daripada UMNO. DEB adalah daging UMNO. UMNO dan DEB tidak banyak bezanya. Justeru, memansuhkan DEB samalah seperti memansuhkan UMNO kerana DEB ibarat anak UMNO (Faaland et al, 2005: 184).
Sama juga seperti menghapuskan sekolah Cina seolah-olah mahu menghapuskan orang Cina. Jika DEB anak UMNO, maka Sekolah Cina adalah anak orang Cina. Perjuangan mempertahankan Sekolah Cina adalah hidup mati orang Cina (Lee Boon Kok, temu bual 7 Januari 2007).
Keadaan menjadi semakin rumit apabila sistem pendidikan sebegini terus terbawa-bawa sehingga peringkat institusi pengajian tinggi. Sekolah Cina telah berkembang menjadi Universiti Cina. Penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman (MCA), Kolej Tunku Abdul Rahman (MCA), Kolej New Era (Dong Jiao Zong), Universiti Terbuka Wawasan (Gerakan) dan banyak IPT Cina yang lain.
Mengikut statistik yang saya perolehi, hampir seratus-peratus pelajar di IPT tersebut adalah orang Cina. Ini tidak termasuk Institut Perubatan, Sains dan Teknologi (AIMST) yang dipunyai oleh MIC dan tuntutan yang akan dikemukakan oleh parti-parti politik bumiputera Sabah dan Sarawak.
Benar, saya tidak nafikan bahawa universiti-universiti yang disebutkan tadi, mengamalkan dasar terbuka untuk sesiapa sahaja memasukinya.
Tetapi oleh kerana trade mark itu adalah sebuah universiti Cina, adalah sukar untuk menarik bangsa lain untuk memohonnya.
Justeru, rakyat Malaysia mesti bertindak berasaskan prioriti bukan emosi. Membanding keadaan Malaysia dengan keadaan Obama di Amerika Syarikat adalah sifat ultra kiasu yang mesti dijauhi.
Apa yang penting ialah rakyat Malaysia mesti berfikir berasaskan kepentingan berikut: (i) meletakkan kepentingan nasional di hadapan berbanding kepentingan etnik, (ii) mendahulukan kepentingan negara berbanding kepentingan bangsa, (iii) mengutamakan kepentingan masa depan, berbanding kepentingan masa kini, dan (iv) mengutamakan kepentingan yang berterusan berbanding dengan kepentingan sementara.
Semua kepentingan yang diperjuangkan mesti berpandukan kepada sejarah negara, kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan yang telah dipersetujui secara bersama, bukannya mengikut emosi dan rasis etnik masing-masing.
sumber utusan malaysia

Pengajaran Oleh DEB untuk Ekuinas

ANUAR AHMADanuar.ahmad69@yahoo.com
TEKA-TEKI mengenai peneraju Ekuiti Nasional (Ekuinas) terjawab sudah. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan Ekuinas bulan lalu menjanjikan satu kumpulan pakar ekonomi untuk menjayakan projek ini.
Jelas sekali, kumpulan yang diketuai oleh Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda itu merupakan kalangan yang terbukti kecemerlangan dalam bidang pengurusan ekonomi.
Pelan ini akan dimulakan dengan peruntukan RM500 juta dan bertambah sehingga RM10 bilion berasaskan keperluan dan pencapaian masa depan.
Sejak dilancarkan pelbagai pihak memberikan respons dan rata-rata memberikan sokongan terhadap Ekuinas, masyarakat Melayu dan lebih-lebih lagi bukan Melayu.
Kerajaan memberikan penjelasan berkaitan pemansuhan 30 peratus ekuiti bumiputera dengan penubuhan Ekuinas Nasional Berhad (Ekuinas). Begitu juga dengan peningkatan had kepentingan asing dalam syarikat pembrokeran daripada 49 peratus kepada 70 peratus.
Nampaknya seluruh rakyat berbilang etnik telah memberikan isyarat bahawa model ini adalah sesuatu yang baik dan perlu dilaksanakan. Nampaknya kini perbincangan lebih cenderung untuk meneliti dua perkara lain.
Pertama, berkaitan "niche" atau tujahan Ekuinas. Ramai pakar ekonomi bimbang pelan ini akan menjadi "pelanduk dua serupa" kepada PNB yang berjaya melaksanakan pengurusan saham amanah. PNB bukan sahaja berjaya menguruskan dana untuk kelangsungan ekuiti bumiputera tetapi turut mendapat kepercayaan bukan Melayu.
Kalau tidak masakan saham amanah bernilai berbilion ringgit kepada bukan bumiputera habis dalam tempoh yang singkat.
Perkara kedua yang diperbincangkan tentang Ekuinas ialah apakah pelan ini juga akan menerima nasib yang sama dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Memanglah DEB dan Ekuinas tidak sama. Berbeza model dan strategi. Berbeza zaman serta cabarannya. Tetapi kedua-duanya masih sama dalam dua perkara.
Pertama, diwujudkan untuk membantu perekonomian bumiputera. Kedua, diuruskan sepenuhnya oleh orang Melayu - sebagai pentadbir, penentu dasar serta pemantau pelaksanaannya.
Maka itu sejarah serta pengajaran daripada DEB sangat penting dihayati agar kejayaan DEB dahulu diperkasakan dan kesilapan DEB pula dijadikan sempadan oleh Ekuinas. Sejak dilancarkan pada 1970, DEB berjaya membina perekonomian bumiputera untuk bersaing bersama kaum lain.
Semua rakyat tahu ekonomi Malaysia kini dikuasai lebih 75 peratus masyarakat Cina. Sementara kurang 10 peratus dimiliki oleh nominee antarabangsa. Orang Melayu sejak 1990 telah 'beku' pemilikan kekayaan negara pada tahap 19 peratus sahaja. Seolah-olah bumiputera-Melayu tidak mampu lagi meningkatkan kekayaan lebih daripada itu dalam program DEB.
Penelitian terhadap penulisan ilmiah oleh pakar ekonomi dan juga pakar sains sosial menjelaskan kepada kita beberapa perkara yang menggagalkan DEB.
Walaupun pemimpin politik utama negara ketika itu adalah orang Melayu, pegawai kerajaan di peringkat tertinggi (majoriti juga orang Melayu), pelbagai pelan, subsidi dan bantuan disediakan untuk bumiputera, malangnya ekonomi Melayu hanya berjaya mencapai setakat 19 peratus jauh daripada sasaran 30 peratus.
Lebih menarik ialah begitu sukarnya orang Melayu mencapai angka 30 peratus walaupun Perlembagaan negara memberikan peruntukan khas kepada keistimewaan orang Melayu.
Perkara 153 Perlembagaan, memberikan ruang kepada orang Melayu daripada segi perundangan untuk menjadi bangsa yang maju, setanding bukan Melayu.
Malangnya semua bantuan serta sokongan ini tetap gagal menjadikan perekonomian orang Melayu sebagai tunjang kepada perekonomian negara. Mengapa hal ini berlaku? Apakah yang sama boleh berlaku kepada Pelan Ekuinas?
Berikut disenaraikan secara ringkas kesilapan strategi perekonomian orang Melayu dalam DEB.
n Amalan pertanian secara tradisional jelas bukan asas menjadikan Melayu sebagai bangsa yang kuat ekonominya. Sejak ratusan tahun majoriti orang Melayu menguasai sektor pertanian.
Malangnya, sifat kegiatan ekonomi pertanian sara diri secara separa-moden terbukti gagal untuk membina harapan perekonomian orang Melayu.
Sekalipun petani Melayu ingin mengusahakan pertanian secara teknologi moden, mereka masih perlu bergantung sepenuhnya dengan kos racun rumpai, jentera pertanian dan baja yang dibeli melalui orang tengah bukan Melayu.
Maka sukar untuk majoriti petani Melayu menjadi kaya dengan sektor pertanian. Walaupun ada usaha menjadikan perindustrian sebagai kegiatan ekonomi Melayu, kejayaannya tidak seperti diharapkan.
n Era Tun Dr. Mahathir Mohamad menyaksikan usaha beliau mengembangkan teknokrat Melayu melalui industri berat negara. Malangnya industri hiliran yang sepatutnya direbut peluang oleh Melayu, dikuasai sepenuhnya oleh peniaga bukan Melayu.
Industri besi keluli, industri jentera dan automotif, teknologi bendalir dan hiliran industri minyak semuanya dikuasai sepenuhnya oleh bukan Melayu.
Orang Melayu kekal sebagai petani, pekerja kilang serta pekerja di dalam sektor yang dimiliki oleh bukan Melayu.
n Orang Melayu tidak menguasai ilmu ekonomi sepenuhnya. Mereka bukan sahaja tidak dibudayakan dengan dunia perniagaan sejak kecil, malah sangat takut menghadapi kerugian dan kesukaran hidup.
Di universiti, bidang perakaunan, perbankan, pengurusan perniagaan didominasi oleh pelajar bukan Melayu. Orang Melayu berduyun-duyun ke fakulti sastera dan ilmu sosial.
Usaha mengembangkan budaya keusahawanan di universiti sangat sukar kerana ciri-ciri negatif ini menebal. Selain itu, ilmu ekonomi juga berkaitan dengan penguasaan bahasa Inggeris. Halangan ini menambahkan lagi jurang antara Melayu dan bukan Melayu.
Cara segelintir pemimpin Melayu menafsirkan tuntutan agama secara semberono juga menyumbang kepada sifat negatif orang Melayu tentang perniagaan. Perniagaan yang maju bermaksud menjadi semakin kaya. Menjayakan perniagaan juga bermaksud peruntukan masa bekerja yang lebih banyak, jauh lebih banyak daripada semua jenis pekerjaan lain di dunia.
Sebahagian besar orang Melayu lebih sanggup hidup susah dan berdikit-dikit tetapi tidak berani menghadapi kesukaran, kerugian, persaingan dan sebagainya.
Malah seringkali sirah dan ajaran Islam dijadikan sebagai alasan sesetengah orang Melayu untuk tidak bekerja keras. "Dunia hanya sementara, kita mencari akhirat". "Kekayaan akan menyebabkan orang lupa Tuhan" atau "Nabi sengaja mencari kehidupan yang tidak mewah untuk mendapat keredaan Allah".
n Sikap tidak sabar orang Melayu juga membantutkan perkembangan ekonomi bangsa sendiri. Dr. Mahathir mungkin tokoh yang sangat kecewa dengan sikap ini.
Orang Melayu sering dikatakan suka mengambil jalan mudah. Isu seperti "Ali Baba" dan ungkapan "Biar papa asal bergaya" antara contoh sikap tidak sabar bangsa Melayu untuk kaya.
Selain itu, isu ketirisan peruntukan kerajaan serta rasuah menjadikan Melayu semakin tidak berdaya saing.
n Jaringan perniagaan orang Melayu juga sangat lemah. Perkara ini pernah disebut berkali-kali oleh Profesor Diraja Ungku Aziz sejak 1980-an lagi. Malangnya sehingga kini, rantaian perniagaan masih kuat dimonopoli oleh bukan Melayu. Dua perniagaan sahaja dikatakan menjadi kekuatan Melayu iaitu kedai makanan halal dan sektor berkaitan pendidikan agama Islam.
Ringkasnya, kejayaan Ekuinas sangat bergantung kepada sikap orang Melayu agar tidak mengulangi kesilapan semasa DEB. Jika pengajaran daripada DEB difahami dan menjadi panduan, tidak syak lagi Ekuinas akan berjaya memajukan bukan sahaja bangsa Melayu dan bumiputera malah akan meningkatkan kekayaan bukan Melayu.
PENULIS ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

sumber utusan malaysia

Ekuiti bumiputera tak hilang


MINGGUAN: Bagaimanakah reaksi selepas pengumuman penubuhan Ekuiti Nasional
Berhad (Ekuinas) dan pemansuhan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC)?

NOR MOHAMED: Kebanyakan reaksi yang diterima adalah positif. Tetapi ada juga yang tidak
begitu faham tentang pemansuhan FIC. Secara asasnya, FIC yang diwujudkan sejak 36 tahun
lalu mewajibkan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti bumiputera bagi Tawaran
Awal Permulaan (IPO). Pemansuhan itu membabitkan garis panduan berkaitan pembelian
kepentingan ekuiti, penggabungan dan pengambilalihan.
Bagaimanapun, pemansuhan garis panduan itu tidak akan diganti dengan mana-mana garis
panduan baru dan FIC tidak lagi memproses transaksi saham atau mengenakan sebarang syarat
bagi transaksi tersebut.
Ketika ini mana-mana syarikat yang mahu disenaraikan perlu memenuhi syarat pegangan saham
awam sebanyak 25 peratus, mengikut Peraturan Penyenaraian Bursa Malaysia dan syarat 30
peratus ekuiti bumiputera di bawah garis panduan FIC. Di bawah garis panduan baru itu, syarikat
yang mahu membuat penyenaraian perlu menawarkan setengah daripada 25 peratus tebaran
pegangan saham awal kepada pelabur bumiputera. Ini bermakna syarat ekuiti pelabur bumiputera
telah dimasukkan bersama di dalam tebaran awam. Sungguhpun kita tidak nyatakan 30 peratus
tentang IPO, tapi dalam syarat Suruhanjaya Sekuriti (SC) kadar 25 peratus perlu dikekalkan dan
diberikan kepada umum termasuklah pelabur kecil.
Bagi menghadapi cabaran baru, garis panduan FIC yang diguna pakai pada 1974 kini dilihat
tidak lagi relevan. Ia mewakili komponen utama strategi pertumbuhan dengan kesaksamaan.
Hari ini, ia bukan lagi instrumen yang efektif untuk menyokong pertumbuhan dengan
kesaksamaan itu. Sebagai contoh tahun 1970, ekuiti bumiputera hanya berjumlah 2.4 peratus.
Ketika itu polisi sebegini merupakan sesuatu yang masih praktikal untuk menyediakan
persaingan bagi pelaburan. Namun kini keadaan sangat jauh berbeza. Polisi pelaburan yang
mewujudkan ketidakpastian kawalan dan tidak seiring dengan amalan antarabangsa, hanya akan
menghalang potensi pertumbuhan negara.
Kerajaan sedar bahawa dengan pencapaian dan peningkatan kemampuan bumiputera hari ini,
perlumbaan ke arah keseimbangan ekuiti memerlukan tumpuan terhadap kecekapan dan
penyertaan ekonomi yang sebenar, dan tidak tertumpu kepada sekadar pemilikan sahaja.
Kebanyakan dapat menerima penjelasan ini namun kita tetap akan meneruskan sesi penerangan
dan pemahaman melalui beberapa siri seminar bagi memberi penjelasan yang meyakinkan.
Mungkin wujud atau timbul tanggapan lain bahawa ini adalah satu relaxation kepada modul
falsafah kita iaitu pertumbuhan dengan pengagihan khasnya dari agenda bumiputera. Sebenarnya
ia akan tetap menjadi satu keutamaan. Kerajaan mempunyai skop yang lebih luas untuk
membantu bumiputera jika mempunyai pertumbuhan yang tinggi.
Sebab itulah Ekuinas ditubuhkan beserta langkah-langkah lain yang difikirkan terbaik oleh
kerajaan bagi membantu meningkatkan keupayaan bumiputera di negara ini. Malah kerajaan juga
turut memberi fokus kepada instrumen- instrumen DEB yang telah berjaya dan yakin kita akan
mendapat faedah yang lebih dari polisi liberalisasi.
Dengan pemansuhan syarat 30 peratus pada peringkat setiap syarikat, bagaimanakah kerajaan
berhasrat mencapai sasaran 30 peratus ekuiti bumiputera secara keseluruhannya?

NOR MOHAMED: Pendekatan baru kepada pengagihan dijangka lebih efektif dalam menuju ke
arah mencapai sasaran 30 peratus. Antara mekanisme yang akan menyumbang kepada
pencapaian itu adalah peranan pengawal selia sektor dalam mengenakan syarat ekuiti ke atas
sektor yang strategik. Selain itu pelaksanaan dasar oleh agensi kerajaan untuk meningkatkan
penyertaan bumiputera dengan memastikan supaya syarikat dengan penguasaan bumiputera akan
dapat sebahagian daripada perolehan kerajaan, lesen serta konsesi kerajaan.
Bagi menyokong kepada penyertaan ini, penguasaan bumiputera melalui institusi kewangan
pembangunan (seperti SME Bank) serta dana pelaburan berkaitan kerajaan seperti Permodalan
Nasional Bhd. (PNB) dan Ekuinas akan diberi perhatian.
Kerajaan melihat pengukuhan instrumen penyusunan semula sedia ada, seperti program
pembangunan usahawan dan pemberian biasiswa, dengan fokus pendekatan baru supaya
menumpukan pembangunan bumiputera kepada sektor-sektor terpilih yang strategik dengan
peluang pertumbuhan tinggi.
Di kalangan orang Melayu ia dilihat sebagai tindakan untuk mengurangkan penguasaan mereka
dan di pihak bukan Melayu pula mereka berpendapat ia tidak mencukupi dan perlu lebih lagi.
Apa komen Tan Sri ?
NOR MOHAMED: Ini tidak benar sama sekali. Orang bukan Melayu akan melihat perlukah lagi
falsafah pembangunan pertumbuhan dengan ekuiti, pengagihan dan agenda bumiputera. Sama
ada sudah sampai masanya untuk kita memberi fokus hanya kepada pertumbuhan. Ini bukan
masanya untuk berpolitik tetapi memberi tumpuan kepada pertumbuhan dan saya fikir pada masa
kini dan tahun-tahun mendatang polisi tentang pertumbuhan dan pengagihan itu masih perlu dan
begitu penting sekali dari segi socio-political stability kerana tanpanya walaupun kita
mewujudkan pelbagai polisi, pelabur tidak akan datang. Pelabur datang atas beberapa perkara,
pertamanya kerana socio-political stability. Keduanya kerana tidak banyak kerenah birokrasi dan
ketiganya kerana terdapat jaminan tentang tenaga buruh. Terdapat pekerja mahir dalam bidang
yang mereka labur dan jika tidak terdapat pekerja yang bersesuaian, kerajaan membenarkan
pelabur mengambil pekerja asing yang bersesuaian.
Oleh itu kestabilan politik sosial yang paling penting sekali. Sungguhpun kita telah mencapai
begitu banyak kejayaan dalam DEB namun ia masih belum sempurna. Masih lagi terdapat
kemiskinan dan penguasaan bumiputera masih sekitar 19.4 peratus dan sebagainya. Untuk
berjaya, kita perlu mengubah ekonomi kepada pertumbuhan lebih tinggi. Daripada satu sudut
lain, kita berdepan dengan cabaran- cabaran besar untuk merealisasikan impian itu dan
mengubah cabaran faktor luaran dan kekangan domestik menjadi pertumbuhan ekonomi yang
kukuh. Tanpa pertumbuhan ekonomi yang kuat, kita tidak mampu mencapai objektif dalam
pengagihan yang seimbang. Oleh itu perjuangan masih belum tamat dan ia harus terus
diperjuangkan.
Bilakah akan ditamatkan pengagihan antara kaum ini?

NOR MOHAMED: Saya rasa bukan sekarang. Satu ketika dahulu ia lebih kepada satu keputusan
politik. Tetapi dari segi angka ternyata kita tidak boleh melakukannya sekarang. Kita juga telah
menjelaskan kepada bukan Melayu tetapi mungkin kita belum menjelaskan kepada mereka
bahawa mereka tidak akan hilang apa-apa. Sebagai contoh, pada tahun 1970 terdapat 387
akauntan Cina, India 47 dan Melayu 40 orang dan kini jumlah ini meningkat sebanyak 17,836
bagi orang Cina, 1,247 bagi orang India dan 6,265 bagi orang Melayu. Maka dengan itu semua
kaum ini telah mendapat faedah yang begitu banyak dalam aspek pembangunan negara melalui
DEB. Terbukti polisi ini telah berjaya diamalkan kepada semua orang rakyat Malaysia. Tiada
lagi kemiskinan kepada orang Cina.
Namun kita masih perlu mengubah beberapa perkara bersesuaian dengan perubahan zaman dan
dari segi falsafahnya tidak nampak sebarang keperluan untuk mengubahnya.
Bagaimanakah perancangan untuk menyeimbangkan pengagihan ini dengan pendidikan?

NOR MOHAMED: Kalau ada satu faktor yang telah berjaya dihasilkan jika dibuat perbandingan
dari tahun 1970-an dan sekarang dalam usaha menghapuskan kemiskinan ialah melalui
pendidikan. Kita telah berjaya menghasilkan para profesional kita yang juga terdiri dari anakanak
kita.
Mereka inilah yang telah dihantar bersekolah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM),
melanjutkan pelajaran ke universiti terbaik di luar dan dalam negara. Mereka inilah pada tahun
60-an dan 70-an yang telah mengangkat kedudukan dan martabat diri dan keluarga mereka
dengan keluar dari kancah kemiskinan melalui pelajaran. Aspek pendidikan merupakan perkara
yang sangat penting dan tidak ada negara di dunia yang pada tiap-tiap tahun memberikan
peruntukan antara 20 hingga 25 peratus untuk faedah pendidikan. Dan berasaskan dari
pendidikan inilah kita telah berjaya melahirkan para profesional dan cerdik pandai dalam
pelbagai bidang. Mereka inilah yang telah membantu kerajaan dalam mengurangkan kemiskinan.
Kejayaan ini berjaya dilaksanakan tanpa mengira kaum. Semua dilakukan melalui ilmu dan kita
berjaya melaksanakannya dengan cemerlang. Maka adalah penting kepada kerajaan untuk
meneruskan kecemerlangan pendidikan. Pendidikan merupakan sesuatu yang sangat penting dan
melaluinya juga kita berjaya mengubah negara daripada sebuah negara miskin kepada sebuah
negara membangun yang berdaya saing. Pendidikan jugalah yang akan mentransformasikan
negara dari sebuah negara high middle income kepada sebuah negara maju.
Dari segi memberi kefahaman, adakah Tan Sri bersetuju ia perlu penjelasan lebih mendalam?

NOR MOHAMED: Kita akan memberikan penerangan bahawa sebelum ini sungguhpun dari
segi teori kita bagi 30 peratus kepada semua syarikat yang buat IPO tapi dari segi praktikal kita
tidak boleh melakukannya. Ia kerana kita tidak dapat cari bumiputera yang mampu memiliki 30
peratus, selepas satu jangka masa kita terpaksa memberi waiver. Ramai juga yang mendapat
waiver ini atas alasan tiada bumiputera yang mampu memilikinya. Lepas itu kita bagi lanjutan
masa masih tidak dapat.
Oleh itu dari segi teori ia nampak praktikal namun mereka masih gagal memenuhinya. Kerajaan
telah mengagihkan sejumlah RM54 bilion ekuiti kepada bumiputera. Bagaimanapun hanya RM2
bilion kekal. Selebihnya dijual untuk mengejar keuntungan. Mereka ini pegang ekuiti hanya
untuk tempoh yang pendek dan menjualnya dengan keuntungan yang sedikit. Orang lain yang
membelinya memegang pada tempoh yang lama tapi dapat untung banyak. Kalau mereka simpan
kita telah mencapai pegangan sebanyak 30 peratus tapi kita jual dan akhirnya penguasaan 30
peratus tidak berjaya. Namun kita tidak rugi sebab kita masih lagi pegang kepada bukan hanya
30 peratus tetapi lebih banyak lagi dalam sektor-sektor strategik yang dilaksanakan oleh
pengawal sektor.
Kuota bumiputera itu pada sektor strategik di tahap mikro tidak kita hapuskan. Hanya di
peringkat makro sahaja. Masih lagi menjadi matlamat kita untuk mencapai satu proportion yang
tinggi dan kalau boleh dalam sektor-sektor tertentu lebih dari 30 peratus. Bukan sahaja melalui
FIC melalui ekuiti tetapi juga melalui lesen. Kalau kita lihat orang-orang kaya di Malaysia dari
10 terkaya ada seorang dua yang menduduki tempat teratas. Mereka menjadi kaya dengan cara
bagaimana? Mereka mendapat kontrak dan sebagainya serta dianugerahkan lesen oleh kerajaan.
Jadi kita mendapat pengajaran bahawa kita harus menggunakan lesen-lesen sebegini untuk
memupuk dan melatih mereka menjadi usahawan besar dan berjaya.
Mungkin ada yang mendapat lesen dan sebagainya, namun kita harus lebih menumpukan kepada
usaha pemberian lesen untuk menjayakan para usahawan bumiputera. Tumpuan kepada
menjayakan usahawan dan ekuiti bumiputera tidak akan hilang malah akan diperhebatkan.
Hanya instrumen yang tidak berguna dan ketinggalan zaman yang akan dihentikan tapi kita akan
memberi tumpuan kepada aspek-aspek di mana kita akan menjayakan agenda memajukan
bumiputera dengan lebih berkesan.

sumber dari epu.gov.my

1 comment:

  1. apapun yang berlaku kerajaan harus melakukan perubahan yang menyeluruh dalam meningkatkan ekonomi dalam bumiputra.bayangkan dengan banyak kelebihan yang di berikan oleh kerajaan kepada bumiputra tetapi ia masih gagal dalam menyamai ekuti dengan kaum lain.jika ia gagal di atasi akan berlaku jurang ekonomi dengan bangsa lain akan meyebabkan pelbagai masalah yang buruk pada masa yang akan datang.oleh itu kerajaan harus kosisten dalam memberi penerangan kepada rakyat dalam dasar dalam mempertahankan ekonomi bumiputra.

    ReplyDelete