Wednesday 13 May 2009

UMNO jangan jadi bacul

DUN Penanti - UMNO jangan jadi bacul !
Thursday, 23 April 2009
PILIHANRAYA kecil DUN Penanti tiba-tiba dijadikan tidak begitu penting oleh UMNO dan Barisan Nasional. Najib sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional membayangkan bahawa parti itu tidak mungkin akan menyertai PRK DUN Penanti ni dengan alasan kononnya membazirkan wang rakyat, tidak mahu terpengaruh dengan gaya dan taktik parti Keadilan, beralasan juga sebagai pengurusan ekonomi Negara lebih penting daripada PRK itu.

Walau apa pun alasan Najib. Sudah ada yang melihat sekiranya benar tindakan tersebut berlaku membayangkan bahawa sesungguhnya UMNO dan Barisan Nasional tiba-tiba sahaja menjadi parti yang bacul serta dayus apabila Najib diangkat untuk menjadi Presiden serta Perdana Menteri.

Malah belum bertinta dalam sejarah, UMNO dan Barisan Nasional tiba-tiba sahaja menjadi pengecut dan menyerah kalah sebelum masuk gelanggang. Belum tercatat dalam sejarah parti yang sudah berusia lebih daripada 63 tahun itu menjadi bacul kepada sebuah parti serpihan yang diketuai oleh suami isteri, Anwar dan Wan Azizah.



Seribu lagi alasan yang dicipta ataupun direka oleh UMNO dan Barisan Nasional tidak memungkinkan rakyat ataupun ahli UMNO terutama sekali di DUN Penanti akan melihat itu sebagai kewajaran untuk parti ini tidak bertanding malah mengalah sebelum berjuang bukan sifat orang Melayu yang menjadi tunjang kepada parti ini.

UMNO untuk terus dilihat menjadi relevan kepada Negara ini tidak ada pilihan kedua selain daripada menyertai pilihan raya ini dan Najib ke arah melengkapkan gagasan Satu Malaysianya tidak harus berdolak-dalik kerana kita percaya salah satu prinsip dalam Satu Malaysia itu ialah mempertahankan dan terus mengamalkan serta menghormati demokrasi berparlimen.

Sekiranya beliau terus dengan keputusan untuk memboikot ataupun tidak menyertai pilihan raya ini, Satu Malaysianya akan dilihat sedikit cacat serta tercemar fungsi dan bentuknya.

Kita percaya Najib juga tidak mahu mencatat sejarah sebagai seorang Presiden parti yang pengecut dan yang menyerah kalah sebelum berlawan. Orang yang takut kalah sebelum masuk gelanggang biasanya akan dilihat sebagai seseorang yang tidak mempunyai ilmu dan jati diri yang kuat. Orang yang tidak cukup ilmu tidak layak mengetuai gelanggang ataupun bergelar mahaguru.

Ramai yang memberikan pandangan, Tun Mahathir,Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Dato Mohamad Aziz, MIC, Gerakan dan juga rakyat ataupun pengundi di DUN Penanti tidak bersetuju sekiranya UMNO dan Barisan Nasional takut untuk berdepan dengan PKR dalam PRK ini nanti walaupun mereka menyerahkan kepada Najib namun umumnya menyerahkan keputusan terakhir kepada Najib hanyalah sekadar menghormati kedudukan Najib sebagai Presiden parti tapi hakikatnya mereka tidak bersetuju sekiranya Najib tidak menjadi pemberani atas sifatnya sebagai pemimpin tertinggi parti.

Sekiranya Najib memberikan alasan pembaziran wang rakyat akan terus berlaku kepada sesuatu PRK yang tidak sepatutnya berlaku, Najib harus sedar bahawa telah banyak pembaziran wang rakyat berlaku selama ini kepada perkara-perkara lain yang tidak sepatutnya berlaku.

Jika Najib memberikan alasan, PRK DUN Penanti ini hanya taktik Anwar untuk terus mempertahankan popularitinya, itulah hakikat politik yang harus Najib terima dan kita percaya PRK ini akan sekali lagi dijadikan medan untuk Anwar dan seluruh juak-juaknya untuk menyerang kepimpinan serta keperibadian Najib sekali lagi. Dan apakah ini sebenarnya yang menakutkan Najib sehingga beliau memberikan alasan sedemikian rupa?

Meskipun pisau di tangan Najib, beliau harus berhati-hati untuk menggunakannya kerana kita bimbang, sejarah berulang bila senjata sendiri menikam tuannya. Kalah menang adat bertanding. UMNO parti berani dan dalam UMNO tidak ada tempat untuk pemimpin dan ahli yang pengecut.

sumber dari malaysia hari ini http://malaysia-hariini.com/home2/index.php

No comments:

Post a Comment