Tuesday 26 May 2009

Mogok Lapar’ Ditolak Oleh Islam

Dr Mohd Asri: ‘Mogok Lapar’ Ditolak Oleh Islam
Disiarkan pada May 26, 2009 dalam kategori Kenyataan & Penjelasan |
Ditanya Dr. Mohd Asri mengenai mogok lapar yang sertai oleh seseorang muslim, apa hukumnya?

Jawapan: Dalam Islam matlamat tidak menghalalkan cara (the ends do not justify the means). Apa sekalipun hasrat baik tidak boleh dihalalkan dengan cara yang tidak diterima oleh syariat. Mogok lapar adalah satu penyeksaan diri sendiri yang mempunyai ‘nilai ketidakcerdikan’ yang amat sangat.

Memang, pada zaman Nabi ia pernah dibuat oleh ibubapa kuffar Quraish bagi membantah anak-anak mereka menganut Islam. Namun itu adalah kebodohan kaum Quraish. Para Nabi a.s. dan pengikut mereka telah menentang berbagai sistem dan kezaliman, tiada seorang pun di kalangan mereka yang melancarkan mogok lapar. Allah tidak pernah mensyariatkan hal itu sama sekali.

Mungkin Gandhi pernah menjadi contoh dalam hal itu. Tetapi tidak para pejuang Islam. Jika ada pun seseorang berpuasa dengan cara yang diajar oleh Allah dan RasulNya. Bukan untuk membantah sesiapa, tetapi mendekatkan diri kepada Allah. Itupun dilarang ‘wisal’ dalam puasa, maksudnya berterusan tanpa buka setelah masuk waktu berbuka.

Malanglah, jika umat Islam terpengaruh dengan pendekatan yang bukan Islamic, bukan memperkenalkan kematangan pemikiran Islam. Jika seseorang mati dalam mogok lapar, ia termasuk dalam hukum membunuh diri. Ini seperti dalam hadis al-Bukhari, dalam sebuah peperangan, ada seorang pejuang telah berjuang dengan hebat sehingga dia dipuji oleh para sahabat. Nabi memberitahu mereka dia ahli nereka. Mereka hairan. Namun apabila diperiksa didapati dia membunuh diri kerana tidak sabar atas kecederaan yang dialaminya.

sumber dari harakah daily

Dengan itu, bagi saya jika ‘pejuang mogok lapar’ mati dia termasuk dalam hadis ini. Orang politik mungkin menghalalkan apa sahaja untuk politik mereka, tetapi para pejuang prinsip hendaklah berpegang kepada prinsip tanpa mengira siapa pun”

dr mohd asri zainul abidin, lampeter, UK.



Mogok Lapar – Bertentangan dengan Islam
Umat Islam dinasihatkan supaya menjauhi kempen mogok lapar kerana ia tidak wujud dalam Islam dan bertentangan dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, syariah dan akhlak Islamiah.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut berkata, mogok lapar bercanggah dengan al- Quran, sunnah, ijmak ulama, qias dan sumber perundangan Islam yang lain.

Jelasnya, sebarang perkara yang boleh membawa kemudaratan kepada nyawa, akal, minda, harta dan keluarga adalah haram di sisi Islam.

“Andai kata seseorang yang mogok lapar itu meninggal dunia, maka ia seolah-olah membunuh diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rancangan pakatan pembangkang untuk mengadakan mogok lapar selama tiga hari bermula esok selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Noh Gadut yang juga bekas Mufti Johor berkata, mogok lapar ditunjangi oleh kehendak perasaan dan hawa nafsu serta sama sekali bertentangan dengan konsep kemanusiaan dalam Islam.

Tambahnya, orang yang mogok lapar sama seperti golongan yang berputus asa dalam perjuangannya sedangkan Islam melarang umatnya berbuat demikian.

“Mogok lapar berbeza dengan puasa. Dalam Islam, puasa bertujuan menahan diri hanya untuk mendekatkan diri kepada Allah dan ini termasuk puasa wajib, sunat dan nazar,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang Islam di negara ini supaya bertenang dan percaya kepada qada dan qadar Allah kerana setiap perkara yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

“Percaya kepada qada dan qadar merupakan salah satu daripada Rukun Iman. Dalam Rukun Iman, sekiranya kita menolak salah satu daripadanya, maka terbatallah kesemuanya.

“Dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud janganlah kamu mencampakkan diri dalam kebinasaan. Maka sesungguhnya seseorang itu tidak boleh melakukan perkara tersebut kepada dirinya dan juga orang lain kerana ia boleh menjejaskan kesihatan,” ujar beliau.

Terdahulu, Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin menegaskan orang Islam sama sekali diharamkan daripada terlibat dalam mogok lapar walaupun bertujuan memberi sokongan kerana mereka wajib menjaga nyawa sendiri.

Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mahu mereka yang menyertai kempen mogok lapar anjuran pakatan pembangkang esok melakukannya hingga mati sebagai seorang pahlawan demokrasi.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali dalam nada yang sinis berkata, pihak terlibat hanya mahu mencari publisiti murahan dan berharap pihak media tidak memberi ruang kepada mereka.

Beliau yang kesal dengan tindakan tersebut berkata, tindakan pakatan pembangkang itu hanya akan mencemarkan imej negara.

“Kita mengalu-alukan tindakan mereka. Tetapi jika mereka mahu buat mogok lapar, pastikan mereka buat sampai mati. Nanti kita akan tabur bunga kepada mereka sebagai pahlawan demokrasi,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.


Mogok lapar di Perak - Ustaz Ahmad Awang beri penjelasan
Mohd Rashidi Hassan
Mon | May 25, 09 | 1:13:12 pm MYT
KUALA LUMPUR, 25 Mei (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang menegaskan keputusan Badan Perhubungan PAS Perak untuk menganjurkan puasa sunat dan munajat sewaktu berhadapan dengan kemelut politik di negeri Perak adalah selaras dengan Islam. Iklan



Dalam kenyataannya sebentar tadi, Ustaz Ahmad berkata, hikmah berpuasa juga bertepatan dengan sunnah apabila umat Islam digalakkan berpuasa sunat tiga hari setiap awal bulan hijrah iaitu 1 Jamadil Akhir (esok).

Katanya, keputusan PAS selaras dengan hasrat parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang mahu menganjurkan mogok lapar tiga hari mulai esok sebagai membantah kezaliman Barisan Nasional terhadap rakyat di negeri itu.

"Saya sudah bertanya kepada rakan-rakan bukan Islam daripada DAP dan KeADILan, mereka mengatakan mogok lapar yang dianjurkan tidak dibuat sehingga menyeksa diri.

"Lagi pun mereka menyediakan khidmat doktor yang akan sentiasa memantau keadaan," katanya.

Sekaligus Ustaz Ahmad menolak kenyataan Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria yang mengatakan umat Islam haram melakukan mogok lapar.

"Jangan kita terperangkap dengan mainan media, kita orang Islam, sudah tentu kita faham beza antara mogok lapar dengan berpuasa sunat.

"Oleh itu kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasaruddin Hassan dalam sebuah akhbar harian hari ini yang menolak mogok lapar, saya fikir tidak sesuai," tegasnya.

Ustaz Ahmad memberitahu, beliau sudah mengarahkan PAS Kawasan-kawasan seluruh Perak untuk menganjurkan puasa sunat dan pada Khamis (hari ketiga berpuasa) malamnya diadakan solat hajat dan munajat.

Tegasnya, matlamat utama berpuasa sunat dan munajat diadakan ialah untuk memohon kepada Allah agar digerakkan hati pihak yang berkuasa bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri.

"Kita tidak mahu terlalu hampa dengan kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan, kita masih ada peluang di Mahkamah Persekutuan, apa yang kita mahu, sebagai orang Islam, kita mesti sentiasa dekat kepada Allah dan memohon pertolongan dari-Nya," tegas beliau.

Sehubungan itu beliau mempelawa umat Islam yang berpuasa di Perak untuk menyertai majlis berbuka puasa yang akan diadakan di Pejabat Badan Perhubungan PAS Perak selama tiga hari berturut-turut mulai esok. - mks._

1 comment:

  1. tiada istilah halal di dalam mogok lapar.jika ingin berpuasa adalah untuk mendekat diri pada allah dan bukan di sebabkan faktor lain.nama pun mogok lapar kenapa atas desakkan ia di ubah untuk umat islam iaitu berpuasa.harus di ingatkan ajal dan maut di tangan tuhan dan sekiranya berlaku kematian ketika berlaku mogok lapar ia boleh di istilahkan sebagai membunuh diri.tiada tempat untuk seseorang yang membuhuh diri kecuali di api neraka

    ReplyDelete