Tuesday 26 May 2009

Jangan Permainkan Demokrasi

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

Keputusan PRU-12 secara umumnya dan dipertahan banyak pihak, khususnya pembangkang sebagai kemenangan besar kepada 'budaya dan pengamalan demokrasi' di Malaysia.

Rakyat digambarkan sebagai mereka yang sudah matang dan sudah mula membuat keputusan yang di luar dugaan.

Pemilihan seseorang wakil rakyat tidak lagi didahului dengan angkubah 'ras dan perkauman', tetapi sudah wujud 'trend' yang merentasi semua angkubah yang dikhabarkan sebagai sudah kian meruntuh dan tidak relevan lagi.

Mahu tidak mahu, UMNO dan Barisan Nasional juga perlu melakukan 'penjajaran semula' pengamalan politik sebagai respons kepada usaha ini. Tidak perlu apologetik, kita memerlukan perubahan tindakan dan amalan.

Keperluan ini diperingatkan oleh kepimpinan dan diterima oleh jentera parti dengan hati terbuka. Kita menerima hakikat bahawa sudah ada 'perubahan besar' di dalam minda dan wahana rakyat membuat keputusan.

Kita maklum dan bersedia dengan keperluan perubahan yang dituntut masyarakat umum ini.

Demokrasi yang tulin, yang mampu menjaga kepentingan rakyat, yang mampu mengisi tuntutan maslahat umum tidak mungkin menjadi sesuatu yang wajar ditolak oleh kerajaan yang waras dan wibawa.

Kita tidak akan mampu melakukan 'penyatuan pemikiran ramai' untuk menolak arus demokrasi yang menjanjikan syurga kepada masyarakat. Setidak-tidaknya, itulah yang dibisik, dilaung dan diherdik ke telinga rakyat sepanjang sebelum pilihanraya umum yang lalu.

Janji untuk 'berubah' daripada satu bentuk demokrasi - kepada suatu bentuk 'demokrasi baru' yang lebih menjanjikan diterima baik oleh rakyat. Samada ianya laungan dan retorika politik kosong ataupun tidak, PRU12 membuktikan rakyat menerima janji dan hasrat ini.

Telinga dan minda rakyat dihidangkan dengan 'amalan demokrasi baru' yang serba hebat dan menjanjikan. Rakyat dijanjikan dengan segala macam agenda ketelusan dan khidmat kepada rakyat yang sebaik mungkin.

Ini wajar dihadam oleh rakyat sebagai 'agenda perubahan'. Kita tidak bercakap lagi soal demokrasi yang lama dan tidak telus, kononnya. Pakatan baru ini menjanjikan kalangan wakil rakyat yang hampir maksum dan tidak punya sebarang keculasan integriti.

Pakatan baru ini menjanjikan kalangan 'practitioner' demokrasi yang anggun dan bijaksana.

Sepanjang tempoh itu juga, rakyat sudah acapkali didatangi oleh beberapa insiden 'pentakrifan dan momokan baru demokrasi'.

Seorang isteri boleh meninggalkan kerusi Parlimen yang dimenanginya untuk membenarkan si suami mengisi tempatnya. Peralihan kuasa peringkat parti, mesti diterima juga oleh rakyat sebagai 'agenda besar' perubahan. Ini dilakukan atas nama 'demokrasi' dan suara rakyat.

Apakah suara 'rakyat' sebelum itu sudah menjadi kurang 'rakyat'. Makanya perlu dilakukan satu lagi proses pemilihan dalam mengisi agenda 'kerakyatan' yang dihajatkan.

Masyarakat sudah terkeliru antara tuntutan demokrasi yang bersifat mengisi kepentingan 'maslahah' - kepada bentuk demokrasi yang menyelesai 'masalah' kepartian dan bersifat peribadi.

Maka, pilihanraya kecil yang 'lebih rakyat' daripada tsunami politik 8 Mac 2008 (803) mesti dijayakan. PRU12 tidak cukup 'rakyat' kerana gagal menempatkan 'ikon rakyat' sebagai seorang Ahli Parlimen. Apakah ini soal demokrasi?

Apakah wujud sebarang proses rekayasa dan pembaikan khidmat dalam tempoh waktu sesingkat itu pasca-pilihanraya umum yang lalu? Apakah ini jawapan kepada amalan demokrasi yang jujur dan mendahulukan rakyat?

Di kawasan yang sedikit ke utara, seorang wakil rakyat meletakkan jawatan di atas alasan yang cukup longgar dan bersifat spekulatif. Takut dengan bayang-bayang sendiri, si wakil rakyat mengambil keputusan untuk mengosongkan tempat.

Rakyat sekali lagi dijadikan alasan untuk menghalalkan 'momokan demokrasi bersiri' yang dirancangkan sebagai strategi politik. Rakyat tidak perlu diutamakan - strategi politik kepartian lebih perlu dijadikan prioriti.

Sehinggalah yang terbaru, seorang wakil rakyat meletakkan jawatan di atas alasan ingin menyambung pelajaran! Sejak bila jawatan yang pernah dianggap sebagai kemuncak kepada pengisian amalan demokrasi boleh dijadikan 'sandaran politik' (political collateral) kepada seorang individu dan sebuah parti?

Apakah sokongan dan undi rakyat sudah diterjemah sebagai 'bahan komoditi' yang menentukan tinggi rendahnya harga dan penerimaan seorang individu dan sebuah parti?

Apakah rakyat berhak untuk disusahkan dengan usaha pengundian hanya kerana mahu menampilkan seorang 'individu'? Apakah seorang individu ini lebih penting daripada dasar dan polisi perjuangan sebuah parti?

Kepada penulis, di dalam pengamalan politik - tidak ada soal menarik diri kerana takut. Sebagai sebuah kerajaan yang wibawa, yang biasa mengisi hati dan nurani rakyat semenjak daripada awal amalan pilihanraya diperkenalkan di bumi bertuah ini; soal 'takut' tidak pernah menjadi sesuatu yang terlalu dibimbangkan.

Apa yang ditakuti bukannya kekalahan politik - tetapi 'jerlus moral dan etika' di sebalik keperluan sebuah pilihanraya itu dilaksanakan. Kita tidak sanggup 'jawatan' menjadi sandaran politik kepada usaha mengenengahkan individu dan calon tertentu. Kita tidak sanggup melihat rakyat dilayan bagaikan 'komoditi politik'.

Seharusnyalah, masyarakat umum di Malaysia mengambil iktibar mendalam di sebalik usaha pengamalan 'momokan demokrasi bersiri' yang berlaku kebelakangan ini. Ini bukan lagi menjadi agenda mendahulukan rakyat, tetapi sudah menjadi 'percaturan politik' yang dangkal dan sempit.

Sementara amalan ini mungkin tidak bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan, namun yang pasti ianya suatu 'pencabulan semula' hak majoriti rakyat yang sudah memilih sekitar Mac tahun lalu.

Memaksa rakyat kembali ke 'kotak undi' bagi membenarkan seorang individu melanjutkan pelajaran adalah suatu - penghinaan kepada pilihan rakyat.

Kedudukan dan status wakil rakyat tidak wajar terus dijadikan sandaran politik yang bersifat semberono begini. Apakah perlu rakyat dihadapkan ke 'kotak undi' jika ianya hanya bertujuan untuk menarik individu tertentu ke arus perdana politik?

Apakah parti tidak punya 'wibawa' sehingga memerlukan pertukaran pemuka politik sedangkan parti sama kerapkali menghamburkan retorik 'agenda perubahan'? Apakah disebabkan konflik dalaman yang kian menggunung - memberi lesen kepada mereka mengheret rakyat ke kotak undi?

Demokrasi yang berkesan dan wibawa - adalah demokrasi yang tidak dipermain dan dipermudahkan oleh individu/parti tertentu. Amalan demokrasi yang mampan dan padu adalah juga keberanian dan konsistensi menerima keputusan rakyat.

Bukannya membenarkan demokrasi menjadi 'alat politik' yang membebankan rakyat. Bukan juga menjadi alat politik yang mengubat 'rajuk' dan 'rasa bersalah' pihak-pihak tertentu.

Kotak undi mesti kekal menjadi referendum rakyat kepada prestasi kerajaan - untuk tempoh masa yang tertentu. Melainkan ianya diperlukan atas sebab kematian dan sebagainya.

Kemunasabahan dan kewajaran untuk mengadakan pilihanraya kecil inilah yang wajar dinilai oleh rakyat sebagai 'elemen kebertanggungjawaban' sesebuah parti politik dan kerajaan.

Jika kita menjanjikan ketelusan dan akauntabiliti kepada rakyat; apakah mengadakan pilihanraya di atas alasan yang longgar wajar menjadi simbolisme kepada keinginan itu? Tidakkah kita sedang menidakkan hak dan kepentingan rakyat; kerana mengajak mereka mengundi sekali lagi atas dasar 'tunjuk hebat' dan 'kemaruk pilihanraya'?

Majoriti senyap rakyat perlu menunjukkan sikap yang lebih berani dalam menidakkan amalan politik tidak bertanggungjawab seperti ini. Mesej jelas mestilah dihantar kepada mereka yang masih mampu tersenyum dan bergelak ketawa - ketika mana rakyat masih bergelumang dengan kemelut ekonomi.

Kita khuatir, dalam sibuk merencana 'siri demokrasi bentuk baru' ini, mereka langsung tidak punya jiwa dan hasrat membantu rakyat. Hakikatnya, rakyat yang sudah kian terhimpit dengan dugaan ekonomi; kian dihidang dengan 'jamuan demokrasi' yang kadangkala memualkan.

Pasca PRU12, kita sudahpun melaksanakan enam siri pilihanraya kecil. Tiga daripada pilihanraya kecil ini dilaksanakan di atas sebab yang tidak dapat dielakkan - iaitu kematian wakil rakyat (Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Batang Ai).

Tiga lagi dilaksanakan atas dasar 'percaturan politik' dan 'momokan kepada amalan demokrasi'.

Adalah menjadi kekhuatiran kita juga, akibat penolakan rakyat kepada amalan tidak bertanggungjawab sebegini - masyarakat akan mudah mengambil jalan untuk menolak sistem dan amalan demokrasi yang ada. Ada kecenderungan masyarakat memilih bersikap 'hilang minat' dengan proses pengundian dan pilihanraya.

Mungkin sudah tiba masanya, kita menilai semula peruntukan undang-undang dan rangkuman legaliti yang melibatkan pilihanraya di Malaysia. Jika perlu, kalangan calon dan parti yang gagal mendatangkan alasan munasabah dan wajar kepada keperluan meletakkan jawatan - perlu membayar denda yang agak tinggi.

Ini bagi memastikan tidak ada lagi insiden perletakan jawatan akibat 'rajuk dan kecil hati, nilai sentimental suami isteri dan kecenderungan melanjutkan pengajian'. Parti mesti menjadi lebih bertanggungjawab dan mampu mengurus kalangan wakil rakyat agar tidak menjadi 'momokan' kepada sistem demokrasi itu sendiri.

Kita berada dalam sistem nilaian politik berasaskan prestasi dan wibawa. Rakyat tidak seharusnya terus disogok dengan keperluan berada di kotak undi di atas alasan yang simplistik dan menjahanam kredibiliti.

Tidak ada nilai ketelusan dan kewibawaan dalam amalan demokrasi yang sedemikian sifatnya. Biarlah nilai sentimental dan masalah 'kredibiliti' diselesaikan sebelum pilihanraya umum diadakan.

Penulis kadangkala jadi segan dan malu alah dengan deretan sistem pesanan ringkas yang bertanyakan bilamana kerajaan dan pembangkang di Malaysia mampu mempunyai 'tempoh bertenang' dan berfikir untuk kesejahteraan rakyat?

Jika kita menerima hakikat bahawa lanskap politik sudah berubah, kayu ukur pencapaian seseorang pemimpin dan parti sudah diletakkan tinggi - kita mesti bersedia untuk berfikir dan bertindak selari dengannya.

Deretan 'momokan bersiri demokrasi' yang berlaku ketika ini tidak langsung menyediakan persekitaran kondusif untuk itu berlaku.

Segala kekuatan pemikiran dan agenda tindakan, mesti dijuruskan 'terus kepada agenda rakyat'. Kita jangan gemar menggunakan 'rakyat' sebagai alasan untuk bersikap angkuh dan sombong dengan pencapaian politik yang kadangkala kelabu dan sukar diramal.

Adakala, kita perlu mendidik diri untuk menjadi 'matang' dan tidak terbuai dengan pencapaian politik peribadi. Rakyat pasti sedar - jika demokrasi dimomokkan dan dijadikan agenda 'membina imej pemenang' sebegini, mereka juga berhak berasa mual dan benci.


Penulis Adalah Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

No comments:

Post a Comment