Tuesday 5 May 2009

keputusan kabinet mengenai islam

Tahniah Tuanku

Salam 2 all.
Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang telah menitahkan supaya deraf rang undang-undang berkaitan isu kemasukan ke Islam. Tiga rang undang-undang yang dicadang untuk dipinda itu adalah


1. Akta Memperbaharui (Perkahwinan & Perceraian Sivil);
2. Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam;
3. Akta Keluarga Islam Wilayah Persekutuan.
Tujuan pindaan ini adalah untuk menangani masalah apabila seseorang bukan Islam daripada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk agama Islam dan pasangannya tidak mahu menuruti memeluk Islam. Persoalan timbul tentang status perkahwinannya, kedudukan status agama dan hak penjagaan anak-anaknya, harta sepencarian semasa perkahwinan, dan jika mereka mati bagaimana harta pusaka mereka hendak dibahagikan.


Masalah ini timbul kerana Akta Memperbaharui (Perkahwinan & Perceraian Sivil) tidak memberi sebarang peruntukkan kepada mu'alaf tersebut untuk memfailkan petisyen untuk membubarkan perkahwinannya serta mendapatkan perintah-perintah sampingan yang berkaitan. Oleh itu mu'alaf tersebut tidak ada pilihan lain selain pergi ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan perintah sewajarnya. Bagi maksud itu, Mahkamah Syariah sememangnya mempunyai bidangkuasa menurut Seksyen 46 (2) Akta Keluarga Islam. Berdasarkan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa didalam kes-kes yang mana Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa.


Tetapi kemelut timbul apabila mereka yang bukan Islam tidak mahu dan enggan pergi ke Mahkamah Syariah. Ini adalah kerana timbul salah tanggapan bahawa jika mereka pergi ke Mahkamah Syariah saperti mereka memeluk Islam. Ini ditambah pula oleh propaganda pihak-pihak tertentu yang menakut-nakutkan golongan bukan Islam ini bahawa Mahkamah Syariah akan bertindak tidak adil dan memihak kepada orang Islam sahaja.


Sebenarnya ini adalah tanggapan yang salah kerana sekiranya mereka yang bukan Islam, terutamanya wanita tahu tentang keadilan dan kesaksamaan perundangan Islam, mereka akan berebut untuk memilih dibicarakan di Mahkamah Syariah.


Contohnya bagi wanita bukan Islam, suami mereka boleh juga menuntut nafkah jika mereka termasuk golongan tidak berupaya. Sedangkan didalam Islam wanita tidak boleh dibebankan dengan tanggunjawab nafkah. Kedua, wanita Islam akan dibayar pampasan perceraian dalam bentuk mut'ah. Ini membolehkan mereka mempunyai modal untuk meneruskan hidup selain menerima nafkah eddah. Sedangkan didalam undang-undang sivil tiada peruntukkan sedemikian. Di Mahkamah Syariah, mereka hampir pasti mendapat hak penjagaan anak-anak dibawah umur 9 tahun, sedangkan di Mahkamah Sivil belum tentu lagi. Didalam perundangan Islam, jika bekas suami mereka tidak mampu membayar nafkah, bekas isteri boleh menuntut daripada keluarga bekas suami termasuk bapa, adik beradik dan lain-lain. Malahan jika tiada pihak, maka si isteri boleh menuntut dan Mahkamah Syariah boleh memerintahkan baitulmal untuk menanggung nafkah si isteri dan anak-anak. Sedangkan di Mahkamah Sivil, jika si suami tidak berkemampuan atau menghilangkan diri, si isteri tiada alternatif lain untuk mendapatkan nafkah.


Bagaimanapun, apa yang lebih penting dalam isu ini ialah mengapa kabinet mengambil pendekatan memindahkan bidangkuasa kes-kes saperti ini ke Mahkamah Sivil dengan memansuhkan bidangkuasa Mahkamah Syariah. Mengapa tidak di ambil pendekatan untuk memperkemaskan dan memartabatkan lagi institusi Mahkamah Syariah dalam kes-kes saperti ini. Persoalan pokok yang menajdi isu bagi umat Islam, apakah jenis undang-undang yang akan dilaksanakan oleh Mahkamah Sivil bila membicarakan isu yang membabitkan perundangan Islam. Bagaimana jika Hakim yang membicarakan kes itu datangnya daripada bukan Islam? Bagaimana beliau mahu menafsir perundangan Islam beradsarkan tafsiran mana? Selanjutnya dari segi Perlembagaan, hal agama adalah didalam bidangkuasa negeri dimana Tuanku Raja-Raja adalah Ketua Agama dengan Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam. Tidakkah pemindahan bidangkuasa ke Mahkamah Sivil ini secara tidak langsung memprejudis kuasa Raja-Raja?


Atas sebab itulah merupakan satu tindakan bijak bagi Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja menasihatkan kabinet supaya menangguhkan pembentangan dan perbahasan rang undang-undang tersebut. Semoga kita akan dapat menyelesaikan isu dengan bijak dan membawa kebaikan kepada semua pihak. Nasihat saya kepada kabinet, dapatkanlah dahulu pandangan semua pihak khususnya kalangan ulama', para mufti dan lain-lain pakar perundangan Islam sebelujm mengambil tindakan selanjutnya.


Apa jua pun, saya mengucapkan tahniah kepada Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang betindak bijak dan tegas dalam mempertahankan kesucian dan martabat agama Islam dalam negara ini.


Wassalam.



Zulkifli Bin Noordin
Selasa
07 Rejab 1430
30 Jun 2009



Saya merujuk kepada kenyataan yang disiarkan oleh akhbar tempatan memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Nazri Aziz berkatan isu perceraian dan hak penjagaan kanak-kanak yang melibatkan seseorang yang "convert" atau memeluk agama Islam. Sekali lagi isu berkaitan status agama seorang kanak-kanak apabila salah seorang daripada ibubapanya memeluk Islam dan hak seseorang "mua'alaf' dalam hal perceraian dibangkitkan dan diperbesarkan oleh pihak-pihak tertentu. Ini merujuk kepada kes terbaru melibatkan seorang bernama Pathmanaban atau kini dikenali sebagai Mohd. Ridhuan Abdullah, dimana beliau yang asalnya beragama Hindu telah memeluk agama Islam. Beliau juga dikatakan telah menukar agama anaknya yang lahir daripada keluarga Hindu kepada Islam. Isteri beliau dikatakan tidak mengetahui akan perkara ini. Kini timbul isu yang diperbesar-besarkan tentang hak menukar agama anak bawah umur daripada bukan Islam kepada Islam oleh mana-mana ibu bapa yang memilih memeluk agama Islam. Sebenarnya isu ini telah pun dijawab dengan jelas oleh Mahkamah Persekutuan didalam kes Subashini dimana Mahkamah menyatakan bahawa isu ini tertakluk kepada Artikel 12 (4) Perlembagaan Persekutuan. Artikel 12 (4) memperuntukkan bahawa "ugama bagi seseorang yang berumur kurang daripada 18 tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya".. Mahkamah Persekutuan menafsirkan bahawa hak menentukan agama seseorang kanak-kanak bergantung kepada mana-mana salah seorang daripada mereka iaitu ibu, bapa atau penjaga. Bermakna salah seorang daripada mereka berhak untuk menentukan agama yang boleh di anuti oleh anak-anak mereka. Oleh itu tidak timbul isu dalam kes Pethmanaban @ Mohd. Ridhuan yang menentukan agama anak beliau sebagai Islam sesuai dengan agama yang beliau anuti sekarang. Malahan dari segi hukum syara', ada pendapat yang menyatakan bahawa semua kanak-kanak dibawah umur akil baligh dianggap Islam sebagai agama fitrah. Samada mereka disyahadahkan secara formal atau tidak itu tidak menjadi isu. Sebab itu kalau mana-mana kanak-kanak dijumpai tanpa dapat dikesan ibubapanya, atau ditemui mati tanpa diketahui agamanya, maka kanak-kanak itu adalah di anggap Islam dan akan diuruskan sebagai seorang Muslim. Ini sekaligus menyanggah tanggapan mereka yang menyatakan dalam kes seseorang itu masuk Islam tanpa pengetahuan keluarga, maka ini akan menganiaya anak-anaknya kerana mereka tidak mendapat pusaka. Inilah antara isu yang ditimbulkan didalam kes Allahyarham Mohd. Moorthy Abdullah. Sebaliknya jika seseorang itu masuk Islam dan meninggal, walaupun anak-anak beliau tidak di syahadahkan secara formal (apatah lagi kalau masih bayi dll), maka anak-anak itu di anggap berhak mewarisi pusaka beliau menurut hukum pusaka dan pembahagian faraid didalam Islam. Ada pihak menyatakan bahawa ini tidak adil kerana menyebabkan ibu itu hilang hak jagaan terhadap anak-anak mereka. Isu ini juga tidak timbul kerana hak menukar agama dan hak jagaan adalah dua isu yang berbeza. Ini telah dijawab juga oleh Mahkamah dalam kes S. Shamala dimana bapa yang telah memeluk agama Islam dan menukar agama anak-anak beliau sekali tidak diberikan hak jagaan, sebaliknya hak jagaan diberikan kepada ibu yang hindu, dengan satu caveat yang ibu itu tidak boleh menukar agama anak-anak tersebut. Disana terdapat juga tuduhan menyatakan bahawa si suami memeluk Islam sebagai pintu belakang" untuk menafikan hak jagaan ibu tersebut. Ini adalah kerana apabila bapa tersebut memeluk Islam dan menukar agam anak-anaknya ke Islam, beliau akan pergi ke Mahkamah Syariah dan mendapatkan hak jagaan. Sebaliknya ibu itu didakwa tidak boelh pergi ke Mahkamah Syariah kerana beliau bukan Islam. Dan beliau tidak boleh mendapatkan perintah Mahkamah Sivil kerana berdasarkan Artikel 121 (1A), Mahkamah Sivil tidak ada bidangkuasa membicarakan hal ehwal berkaitan dengan bidangkuasa Mahkamah Syariah, dan hal jagaan kanak-kanak Islam adalah dalam bidangkuasa hadhanah Mahkamah Syariah. Saya tidak menafikan ujud disana segelintir dikalangan mereka yang memeluk Islam dan memperkudakan sistem perundangan sedia ada untuk mendapatkan perintah jagaan anak dan menafikan pihak yang bukan Islam daripada keadilan sewajarnya. Bagi saya ini suatu persepsi yang salah dan harus diperbetulkan. Saya berpendapat bahawa isu ini sengaja diputarbelitkan untuk kepentingan sempit golongan tertentu. Sebagaimana kita maklum, apabila timbul isu hadhanah atau hak penjagaan kanak-kanak, maka Mahkamah Syariah, sebagaimana Mahkamah Sivil akan membicarakan kes tersebut berdasarkan prinsip kebajikan kanak-kanak itu yang diutamakan. Tanggapan menyatakan bahawa si bapa akan mendapat hak jagaan otomatik daripada Mahkamah Syariah adalah tidak benar sama-sekali. Apatah lagi tohmahan yang menyatakan kalau si ibu (yang bukan Islam itu) pergi ke Mahkamah Syariah, sudah pasti dia akan kalah kerana Mahkamah Syariah pasti akan menyebelahi si bapa yang sudah memeluk Islam. Ternyata mereka yang membuat kenyataan tohmahan saperti ini adalah jahil dan tidak mengetahui sistem perundangan dan jurisprudens Islam. Undang-undang Islam bukan undang-undang rimba yang ditadbor oleh hakim-hakim tarzan mengikut citarasa nafsu beliau. Sejarah telah membuktikan betapa para hakim syari'e sentiasa bertindak berdasarkan lunas-lunas ke'adilan kerana mereka sentiasa sedar akan hadis Rasulullah bahawa daripada tiap tiga hakim, dua sudah menempah tempatnya di neraka. Mereka juga sedar bahawa mereka wajib melaksanakan keadilan kepada mana-mana litigan tidak kira Muslim atau bukan. Ini terbukti dalam kes terbaru Nyonya Tahir yang telah keluar daripada Islam, mengamalkan kehidupan buddha dan mati dalam agama tersebut. Setelah mendengar saksi-saksi dan keterangan yang dikemukakan, Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan mengisytiharkan bahawa Nyonya Tahir telah melalui kehidupan bukan Islam dan mati sebagai bukan Islam. Maka mayat beliau diserahkan kembali kepada keluarga bukan Islamnya. Apa yang penting ialah pihak-pihak yang terlibat tidak menanamkan sikap[ prejudis dan buruk sangka terhadap sistem perundangan Islam dan pentadbiran undang-undang keluarga Islam di Mahkamah Syariah. Walaupun sistem perundangan yang dilaksanakan belum lengkap sepenuhnya, namun dari segi perlaksanaan Mahkamah Syariah boleh berbangga kerana telah cuba sedaya upaya melaksanakan keadilan kepada semua pihak. Apa yang perlu difahamkan pertamanya ialah apabila seseorang bukan Islam membawa kes ke Mahkamah Syariah, ini bukan bermakna mereka telah masuk Islam. Inilah masalahnya apabila ada pihak mengambil kesempatan akibat daripada kejahilan orang awam bahawa pergi ke Mahkamah Syariah bermakna seseorang itu masuk Islam. Kedua, walaupun seseorang bukan Islam tidak boleh menjadi pihak dalam Mahkamah Syariah (bukan kerana undang-undang Islam tetapi kerana Perlembagaan Persekutuan yang menyekatnya), beliau masih boleh melibatkan diri dalam prosiding di Mahkamah Syariah sebagai saksi. Bermakna sekiranya si bapa yang telah menukar agama memohon hak jagaan anak-anak dibawah umur baligh, maka si ibu (yang bukan Islam) boleh memohon memberi keterangan dan mengemukakan bukti bahawa si bapa tidak layak mendapat hak jagaan. Dan yakinlah bahawa Mahkamah Syariah akan menimbang semua keterangan dan bukti menurut undang-undang sedia ada dengan meletakkan prinsip kebajikan kanak-kanak itu sebagai keutamaan. Dan insyallah jika terbukti si bapa tidak layak, Mahkamah Syariah tidak akan memberikan hak jagaan itu kepada si bapa walaupun dia Muslim. Malahan Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa memberikan hak jagaan itu kepada si ibu, walaupun dia bukan Islam.. Dan inilah yang telah dibuktikan dalam kes Nyonya Tahir. Berdasarkan saranan diatas, saya sangat tidak bersetuju dengan keputusan kabinet nsaperti yang disiarkan melalui kenyataan Menteri di JPM tersebut yang mengesyorkan supaya digubal undang-undang untuk menafikan penukaran agama bagi kanak-kanak dibawah 18 tahun. Jawatankuasa itu juga mengesyorkan supaya isu berkaitan ini diberi bidangkuasa kepada Mahkamah Sivil dan bukan Mahkamah Syariah. Saya tidak pasti samada kabinet telah benar-benar diberi penerangan tentang kedudukan Perlembagaan dan keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes berkaitan. Kerana adalah jelas keputusan kabinet tersebut jelas bercanggah dengan Perlembagaan dan bertentangan dengan keputusan-keputusan Mahkamah Persekutuan sendiri. Saya berharap sebelum kabinet mengambil tindakan selanjutnya, hendaklah semua pihak yang berkepentingan diberi ruang untuk mengemukakan pendapat. Dan nasihat saya kepada kabinet, hormatilah keluhuhuran Perlembagaan dan hormatilah keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes yang telah pun diputuskan. Malahan saya difahamkan sudah ujud satu jawatankuasa di peringkat Jabatan Peguam Negara yang sedang dan masih membincangkan isu-isu ini dan isu-isu lain yang berkaitan. Saya percaya jawatankuasa yang dianggotai oleh bukan sahaja mereka dari bidang guaman, tetapi mufti, ulama', agamawan termasuk wakil Majlis Peguam dan wakil agama-agama lain saperti Majlis Perunding Agama Hindu, Kristian, Buddha & Sikh akan cuba mencapai suatu jalan penyelasaian yang boleh diterimapakai oleh kesemua pihak.
dari Zulkifli Bin Noordin Ahli Parlimen Kulim Bandar


dalam kita menjalankan amanah yang di berikan.kita harus tidak melanggar undang2 dan keluhuran perlembangan.adakah semata-mata demi kemenangan pilihan raya yang akan datang dan demi menarik kembali agama serta bangsa lain dalam menyokong kerajaan.kita mengadaikan agama yang menjadi tiang dan tunjang kepada bangsa melayu.kita xperlu takut dengan agama lain kerana agama islam tidak menindas,menyakiti,membunuh agama lain tetapi menghormati agama serta bangsa lain.dalam isu ini semua mesti meletakkan kepentingan agama melebihi kepentingan parti.adakah agama lain sanggup mengorbankan agama serta bangsa mereka tetapi dalam ingin melakukan tranformasi mereka yang terdiri dari bangsa serta agama islam serta kepimpinan negara sanggup mengahncurkannya semata-mata menarik kembali dalam menokong kerajaan.dalam isu ini saya rasa berdosa jika menyembunyi perasaan saya demi menjaga kepentingan mereka.saya tidak mahu bersubahat dalam merahsiakan perkara ini.tegurlah jika merasakan mereka melakukan kesilapan.dalam isu ini saya menegur atau menunjukkan perasaan saya melalui penulisan kerana itu yang saya mampu lakukan.saya tidak mahu mengadaikan apa yang terletak di dalam perlembangan kerana islam adalah sesuatu yang mengatasi segala-galanya.tidak sanggup mendengar seperti apa yang berlaku di negara lain di mana perkongsian keluarga dan agama di mana ibu bapa berlainan agama boleh tinggal dalam satu rumah dan anak mereka boleh memilih agama yang mereka mahukan.jika perkara itu terjadi apakah yang berlaku pada mereka yang beragama islam di dalam rumah tersebut.perkara tersebut akan di amalkan kerana sekiranya salah seorang dari mereka memeluk islam tetapi tidak mampu menarik anak2 mereka memeluk islam kerana anak2 mereka belum berumur 18tahun.kedua-dua ibu bapalah yang menentu kepada anak mereka.sudah tentu hanya seorang dari keluarga mereka yang memeluk agama islam.kerana yang lain anak mereka belum berusia 18tahun dan banyak kesan berlaku dari keputusan kabinet semasa kepimpinan yang terbaru.


Pandangan Dr Mohd Asri Mengenai Isu Agama Anak
Disiarkan pada Apr 29, 2009 dalam kategori Kenyataan & Penjelasan |
PANDANGAN DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN MENGENAI KEPUTUSAN KABINET YANG MENETAP AGAMA ANAK BERDASARKAN AGAMA ASAL KETIKA PERKAHWINAN

Berbagai pihak meminta saya menyatakan pendirian dalam isu agama anak yang ditetapkan oleh Kabinet Malaysia yang baru. Di sini saya sebut, ada beberapa masalah dalam isu ini yang mesti difahami dan dinilai, juga pendapat saya dalam hal ini;


Islam menganggap setiap anak lahir dalam keadaan fitrah iaitu dalam keadaan yang bersih dari pencemaran pemikiran dan akidah. Tiada nilaian dosa atau pahala buat mereka. Jika mereka mati sebelum mencapai umur mukallaf, mereka mati dalam keadaan bersih sekalipun ibubapa mereka tidak menganut agama Islam.
Ibubapa merupakan faktor utama dalam mempengaruhi fitrah anak yang bersih tersebut. Anak kecil biasanya akan terikut dengan agama ibubapanya. Justeru itu Nabi s.a.w bersabda: “Setiap anak dilahirkan atas ‘fitrah’, maka kedua ibubapanya yang menyebabkan ia menjadi yahudi, atau nasrani atau majusi (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Para sarjana fekah ramai yang berpendapat bahkan ada yang mendakwa telah ijmak (sepakat), bahawa pengislaman bapa membawa kepada pengislaman anak yang masih kecil. Namun mereka berbeza pendapat tentang pengislaman ibu; apakah diikuti dengan pengislaman anak atau tidak. Di kalangan sarjana fekah ada yang berpendapat agama anak berdasarkan agama yang paling mulia dan sudah pasti mereka akan memutuskan jika bertembung antara Islam dan selainnya; maka agamanya dianggap sebagai Islam. Apa yang penting tiada nas Islam yang jelas dalam memutuskan hal ini. Ia lebih merujuk kepada soal ijtihad. Namun asas yang penting yang mesti ditegakkan adalah keadilan, di samping memelihara kemuliaan Islam itu sendiri.
Kepentingan membincangkan tentang status agama anak ini adalah untuk pengurusan jenazah, harta pusaka dan beberapa perkara yang lain. Bukan untuk menentu kedudukannya di syurga atau neraka seperti yang difahami oleh sesetengah pihak. Ini disebabkan anak kecil bebas dari nilaian dosa dan pahala sehingga dia menjadi mukallaf.
Saya berpendapat; tiada kemunasabahan yang cukup untuk Pihak Kabinet menentukan agama anak secara keputusan yang sedemikian. Lebih baik urusan ini diserahkan kepada mahkamah –sekalipun mahkamah sivil- untuk memutuskannya. Mahkamah mesti menentukan hak jagaan kepada pihak yang paling baik untuk kemaslahatan anak. Di sini datangnya peranan badan-badan Islam atau pihak pengurusan zakat umat Islam untuk memastikan kekuatan kewangan dan sebagainya dalam membantu ‘saudara baru’ melayakkan mereka mendapat hak jagaan. Jika badan-badan ini masih tidur atau sekadar sibuk dengan lawatan dan mensyuarat di hotel-hotel sahaja, jadilah apa yang terjadi sekarang.
Keputusan kabinet tersebut boleh merampas hak salah seorang ibubapa yang menukar agamanya dan bersifat tidak adil. Jika sudut kebendaan itu yang dinilai, kelayakan menjaga seseorang anak itu berbeza antara pasangan. Tidak mungkin dibuat keputusan yang tetap kerana setiap pasangan mempunyai keadaan yang berbeza. Biar mahkamah menentukannya secara adil. Sesiapa yang berhak menjaga anak, maka tidak menjadi masalah jika berlaku perselisahan agama anak berdasarkan pihak yang menjaganya atau jika anak itu sudah pandai menilai, dia mungkin boleh membuat pengakuan agama pilihannya.
Sepatutnya, isu agama anak tidak ditimbulkan melainkan ketika perselisihan antara pasangan sahaja. Anak sepatutnya diberi peluang untuk mengenai Islam setelah ibu atau bapa menganut Islam. Peruntukan zakat muallaf secara besar perlu diberikan untuk ini. Zakat bukan lawatan hujung tahun dan penukaran kereta baru para pegawai. Malanglah keputusan kabinet ini boleh menghalang dakwah seorang bapa atau ibu kepada anak berkenaan.
Ini kerana, anak itu bersih fitrahnya. Ibubapa mempunyai peranan mempengaruhinya. Itu adalah hak mereka untuk mempengaruhi anak mereka. Jika salah seorang ibubapanya menganut Islam sementara seorang lagi tidak, anak berkenaan mungkin akan dipengaruhi oleh salah seorang daripada mereka. Sekalipun jika mereka berpisah, peluang yang adil untuk anak bertemu dengan bapa atau ibunya hendaklah diberikan. Selepas itu terpulang kepada anak berkenaan dalam menentukan agamanya.
Saya berpendapat; keputusan kabinet lebih dipengaruhi oleh perkembangan politik kepartian dan undi tanpa melihat kepada sudut keadilan untuk semua. Ia adalah penindasan terhadap saudara baru dan boleh menakutkan mereka yang ingin menganut Islam. Dalam kegilaan mendapatkan undi, jangan digadai masa depan umat Islam dan keharmonian agama dalam negara.
Sekali lagi saya tegaskan, golongan ‘saudara baru’ dalam negara ini tidak mendapat layanan yang sepatutnya dan pihak yang bertanggungjawab terutama yang menguruskan zakat dan badan-badan agama kerajaan pusat dan negeri tidak menyibukkan diri dalam menjaga kebajikan mereka dan usaha dakwah dalam memahamkan rakyat Malaysia tentang Islam yang sebenar. Zakat tidak diuruskan dengan sepatutnya dan dana-dana untuk kemajuan Islam tidak dialirkan dengan cara yang wajar dalam menjaga kepentingan dakwah Islamiyyah.
Saya dengan ini meminta pihak Kabinet menilai balik keputusan tersebut dan juga pihak-pihak agama dalam negara kita memainkan peranan yang sepatutnya dalam memberikan keadilan kepada ‘saudara baru’.
Jika Fatwa Kebangsaan JAKIM boleh membuat sidang fatwa segera tentang ‘dakwat pilihanraya’ mengapa tidak Pengerusi Fatwa Kebangsaan tidak memberikan pandangan para mufti dengan segera dan jelas dalam hal ini. Malanglah jika isu penkid dan yoga digembar-gembur, tetapi isu keadilan hak saudara baru dilewat-lewatkan.
Saya ingin berpesan kepada diri sendiri, juga mengambil kesempatan berpesan kepada mereka yang berjawatan berkaitan agama agar jangan memikirkan tentang gaji, sambungan kontrak, gelaran menjelang harijadi sultan, elaun, rombongan dan urusan dunia yang lain melebihi kepentingan dan masa depan umat.
Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin,
29.4.09
Lampeter, UK.

Minda Pengarang: Tangguh pindaan akta tukar agama tindakan tepat


ISU mengenai penukaran agama mula menarik perhatian di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini apabila seorang wanita Melayu bernama Azalina Jailani mengaku murtad sejak 1998 dan memfailkan permohonan di mahkamah untuk mendapatkan perintah supaya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggugurkan perkataan Islam daripada kad pengenalannya, selepas jabatan itu menolak permintaannya pada 1999. Kes Azalina atau lebih dikenali sebagai Lina Joy selama sembilan tahun akhirnya selesai apabila Mahkamah Persekutuan pada 30 Mei 2007, menolak rayuannya untuk menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya, sekali gus mengakhiri isu pertindihan bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah dalam hal berkaitan Islam. Kemudian beberapa kes sama menyusul, kebanyakannya menjurus kepada isu penukaran agama, termasuk perbalahan mengenai status agama seseorang selepas meninggal dunia hingga berlaku perebutan mayat di hospital, selain mengenai kedudukan agama anak kepada isteri atau suami yang memeluk Islam serta siapa yang berhak menentukannya. Susulan beberapa kes seumpama itu, pada 22 April lalu Kabinet memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin, walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama dengan alasan sebagai langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak apabila ibu atau bapa mereka menukar agama. Beberapa tokoh agama bagaimanapun, menganggap keputusan itu bercanggah dengan hukum syarak dan meminta kerajaan menariknya balik.

Kelmarin, Majlis Raja-Raja menangguhkan cadangan pindaan undang-undang berkaitan penukaran agama dan undang-undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) yang mencetuskan kontroversi kerana dikatakan bercanggah dengan hukum syarak. Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara itu memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam Negeri diperoleh terlebih dulu berhubung cadangan berkenaan. Keputusan Majlis Raja-Raja itu tepat dan wajar serta kena pada masanya supaya input yang diterima daripada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri boleh diteliti bagi memantapkan pindaan berkenaan. Kita tidak mahu perkara itu menjadi pertikaian pihak tertentu pada masa akan datang. Lagi pun, sebarang keputusan yang bakal dibuat itu nanti pasti membabitkan banyak aspek iaitu sensitiviti agama, kaum, termasuk institusi kekeluargaan seperti pembubaran perkahwinan, agama anak, hak penjagaan dan nafkah anak serta nafkah isteri. Memandangkan isu berkaitan agama adalah isu sensitif, adalah wajar ia diperkemaskan sebelum dilaksanakan. Dengan itu sebarang pindaan perlu diperhalusi agar tidak timbul masalah suatu hari nanti. Oleh itu, tiada perkara lebih tinggi daripada agama Islam itu sendiri dan tanggungjawab itu juga untuk menyelamatkan akidah anak-anak. Malah, Majlis Raja-Raja berhak membuat sebarang keputusan memandangkan hal-ehwal agama Islam terletak di bawah bidang kuasa Raja-Raja Melayu. Hakikatnya, Majlis Agama Islam Negeri yang ditubuhkan mengikut peruntukan Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri berfungsi dan bertanggungjawab menolong serta menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagai Ketua Agama Islam Negeri dalam perkara berkaitan agama Islam.


Keputusan Majlis Raja-Raja dihormati

Oleh LIAU PEI WEN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 30 Jun - Keputusan Majlis Raja-Raja menangguhkan cadangan pindaan terhadap undang-undang berkaitan penukaran agama dan undang- undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) yang sepatutnya dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat kali ini wajar dihormati.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pindaan undang-undang syariah harus mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Walaupun agak kecewa dengan penangguhan itu terutama selepas beberapa tahun ia dikaji, beliau tetap menghormati keputusan tersebut.

"Saya berasa kecewa. Kabinet telah memutuskan pada April lalu dan saya ingatkan tidak ada masalah untuk pindaan undang-undang tersebut kerana ia selaras dengan konsep 1Malaysia," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, Majlis Raja-Raja memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam Negeri diperoleh terlebih dahulu berhubung cadangan pindaan undang-undang yang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada undang-undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan).

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Majlis Raja-Raja pada satu mesyuarat khas membuat keputusan untuk menangguhkan cadangan pindaan itu.

Pindaan undang-undang yang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada undang-undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) membabitkan Akta Perkahwinan dan Perceraian 1976, Akta Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan Akta Pentadbiran Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Pindaan yang dicadangkan itu juga akan menyentuh mengenai pembubaran perkahwinan, hak penjagaan anak, nafkah anak dan isteri serta pembahagian aset perkahwinan.

Mohamed Nazri berkata, Jabatan Peguam Negara telah membuat kajian mengenai cadangan pindaan undang-undang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada undang-undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) itu sejak tahun 2006 lagi.

"Ia juga melibatkan perbincangan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mufti-mufti dan semua persatuan keagamaan dalam negara termasuk melantik bekas Ketua Hakim Mahkamah Syarie, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman sebagai penasihat mereka," katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah melakukan kajian yang secukupnya dan berpendapat kerajaan telah bersedia untuk meminda undang-undang berkenaan.

"Bagaimanapun saya menghormati keputusan Majlis Raja-Raja semalam dan kerana ia melibatkan undang-undang Syariah yang harus diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

"Saya juga tidak pasti bilakah undang-undang ini akan dipinda kerana saya tidak mempunyai kuasa untuk memuktamadkan perkara ini," katanya.

sumber utusan malaysia

Sokong Majlis Raja-Raja
PULAU PINANG 30 Jun – Majlis Agama Islam negeri-negeri hari ini menyokong keputusan Majlis Raja-Raja menangguhkan cadangan pindaan undang-undang berkaitan penukaran agama.

Menurut Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Shabudin Yahaya, keputusan majlis berkenaan merupakan suatu langkah yang baik, sekali gus memberi peluang dan ruang untuk memperkasakan cadangan tersebut.

“Pihak kami bersetuju dengan keputusan itu malah kami percaya ia diambil bagi memastikan keputusan berhubung pindaan undang-undang berkenaan kelak adalah yang terbaik.

“Peluang ini akan digunakan bagi memberi ruang yang lebih bagi semua pihak yang terlibat meneliti dan memperhalusi isu berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Majlis Raja-Raja memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam Negeri diperoleh terlebih dahulu berhubung cadangan pindaan undang-undang yang berkaitan penukaran agama dan pindaan kepada undang-undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan).

Keputusan tersebut dibuat pada satu mesyuarat khas yang diadakan selama dua setengah jam di Istana Negara yang dipengerusikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin turut berangkat ke mesyuarat itu.

Pada 22 April lalu, Kabinet membuat keputusan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain.

Kabinet berpendapat penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anak.

Ditanya adakah MAIPP bersetuju keputusan Kabinet sebelum ini berhubung perkara tersebut, Shabudin menjawab:

“Saya tidak boleh membincangkan perkara itu.

“MAIPP kini sedang menyiapkan laporan dan pandangan kami mengenai isu ini sebelum diserahkan kepada urus setia terlibat dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.”

Sementara itu di KANGAR, Mufti negeri, Dr. Juanda Jaya menyifatkan langkah Majlis Raja-Raja mahu memperoleh pandangan Majlis Agama Islam Negeri berhubung cadangan pindaan undang-undang berkaitan penukaran agama sebagai tindakan paling bijak.

Katanya, langkah sedemikian mustahak bagi membolehkan perbincangan yang melibatkan golongan ulama setiap negeri dilakukan terlebih dahulu.

“Pandangan alim ulama setiap negeri mesti diambil kira di peringkat awal. Ini kerana apa yang mahu dilaksanakan itu cukup sensitif terhadap Islam dan agama lain.

“Jika pelaksanaan perkara itu tidak diperhalusi terlebih dahulu, dibimbangi ia akan mendatangkan akibat buruk kepada agama Islam itu sendiri,” katanya.

Mufti Perlis berkata, apabila semua Majlis Agama Islam negeri telah mengemukakan pandangan masing- masing berasaskan fakta dan hukum, ia memudahkan keputusan mengenainya diambil di peringkat nasional.

Sementara itu di KUANTAN, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) akan membincangkan cadangan pindaan undang-undang berkaitan penukaran agama dalam Jawatankuasa Fatwa negeri sebelum dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja.

Timbalan Pengerusi MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, mesyuarat itu membolehkan majlis mendapat pandangan semua ahli jawatankuasa yang turut dianggotai mufti dan ahli akademik.

“Kita akan bermesyuarat bagi meneliti cadangan pindaan undang-undang itu sebelum membuat sebarang saranan,” katanya.

Wan Abdul Wahid bagaimanapun tidak menyatakan bila mesyuarat tersebut akan diadakan kerana pihaknya belum menerima maklumat rasmi berhubung keputusan Majlis Raja-Raja itu.

“Saya hanya dapat tahu melalui melalui akhbar. Berilah masa untuk mesyuarat itu diadakan bagi membolehkan perbincangan diadakan dengan mendalam sebelum sebarang saranan dibuat,” katanya.

Wan Abdul Wahid berkata, beliau tidak dapat memberi sebarang kenyataan sehingga perkara itu dibincangkan oleh jawatankuasa berkenaan kerana ia turut melibatkan hukum.

“Jawatankuasa akan bincang dari segi hukum dan pelaksanaan dengan teliti perkara tersebut,” katanya.

utusan malaysia

No comments:

Post a Comment