Sunday 28 June 2009

Bajet Mara, TEKUN ditambah

KUALA LUMPUR 25 Jun - Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) menerima peruntukan tambahan masing-masing sebanyak RM550 juta dan RM100 juta bagi membantu pelajar dan usahawan bumiputera.


Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, peruntukan tambahan itu dibuat berikutan banyak aduan yang diterima berkaitan ketidakmampuan kedua-dua agensi itu mengeluarkan pinjaman kerana kehabisan peruntukan.


''Kita ambil peruntukan ini daripada dana sedia ada yang tidak habis dibelanjakan oleh pihak-pihak lain. Oleh itu, kita tidak perlu membuat pembentangan baru untuk diluluskan di Dewan Rakyat.


''Kita akan salurkan peruntukan ini dengan segera walaupun dalam situasi kelembapan ekonomi dunia yang memaksa kerajaan berjimat-cermat kerana mengutamakan usaha membantu kaum bumiputera," katanya.


Beliau menggulung perbahasan usul Kementerian Kewangan mengenai peruntukan pengurusan beberapa kementerian ekoran penyusunan semula Kabinet pada sidang Dewan Rakyat hari ini.


Semalam ketika sesi perbahasan usul itu, Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) meminta peruntukan Mara ditambah setelah beliau menerima banyak aduan daripada pelajar bumiputera cemerlang bahawa mereka tidak mendapat pembiayaan walaupun setelah diterima masuk ke universiti terkemuka luar negara.


Pada 13 Jun lalu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga melahirkan rasa kesal kerana peminjam TEKUN yang diluluskan permohonan mereka gagal menerima wang yang dipohon.


Menurut Khairy, beliau juga amat dukacita kerana terdapat peminjam TEKUN yang diberikan cek tetapi tidak dapat menunaikannya dan situasi itu jika berterusan akan merencatkan usaha untuk menjana ekonomi usahawan kecil dan sederhana.


Dalam pada itu, Awang Adek berkata, kerajaan yakin Mara dan TEKUN akan terus dapat berfungsi dengan berkesan berikutan wujud keserasian dengan kementerian baru.


Setelah pembubaran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), kedua-dua agensi itu masing-masing dipindahkan ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.


''Pembubaran ini dilakukan bukan kerana MECD tidak berkesan sebaliknya disebabkan berlaku pertindihan fungsinya dengan beberapa kementerian lain.


''Sebab lain ialah wujud salah tanggapan bahawa hanya MECD yang membantu bumiputera, jadi dengan pembubarannya kita berharap semua kementerian akan sama-sama membantu selaras dengan dasar mewujudkan keseimbangan antara kaum dalam bidang ekonomi dan pendidikan," katanya.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kerajaan Pusat tidak membayar royalti minyak kepada Kelantan berikutan cari gali petroleum yang dijalankan berhampiran pantai negeri itu terletak di kawasan pertindihan sempadan.


Menurut beliau, cari gali itu membabitkan dua telaga minyak dengan projek pertama membabitkan usaha sama antara Malaysia dengan Thailand di kawasan 150 kilometer (km) dari pantai Kelantan.


Beliau berkata, telaga kedua melibatkan usaha sama Malaysia dengan Vietnam membabitkan kawasan tuntutan bertindih yang terletak 200 kilometer dari pantai negeri itu.


''Mengikut kebiasaan apabila cari gali ini melibatkan kawasan yang wujud tuntutan bertindih, maka ia dianggap perkongsian antara dua negara dan bukannya hak milik negeri.


''Ini berbeza dengan Terengganu yang dibayar royalti kerana cari gali minyak dilakukan di kawasan yang tidak berlaku tuntutan bertindih yang terletak 80 kilometer dari pantai negeri berkenaan," jelasnya.

sumber pro khairy

No comments:

Post a Comment