Sunday 28 June 2009

Bahasa Inggeris: Wajib Lulus

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dalam mesyuarat jawatankuasa kerja (Exco) semalam telah buat ketetapan untuk meyokong cadangan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, agar calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diwajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris. Pemuda UMNO merasakan bahawa dengan meletakkan wajib lulus sebagai objektif, ia bakal meransang dan memotivasikan para pelajar, ibu bapa, pendidik dan juga kerajaan untuk meningkatkan tahap pengajaran Bahasa Inggeris. Jika tiadanya syarat tersebut - tidak akan ada faktor mendesak atau keperluan untuk menyegerakan segala usaha bagi menambaikkan lagi tahap pengajaran subjek tersebut.

Namun, memandangkaan pada masa sekarang terdapat lebih kurang 30 peratus pelajar SPM yang gagal lulus matapelajaran Bahasa Inggeris, sokongan Pemuda adalah bersyarat kepada beberapa langkah penting yang perlu dibuat bagi meningkatkan penguasaan pelajar terhadap bahasa tersebut sebelum cadangan wajib lulus dilaksanakan. Pemuda tidak mahu sebarang idea yang bagus gagal hanya kerana masalah perlaksanaan.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO mengesyorkan agar perlaksanaan dasar tersebut tidak di buat secara terburu-buru sepertimana dasar Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeri (PPSMI), yang mencetus pelbagai polemik dan pertikaian, disamping mendesak kerajaan agar memastikan bahawa guru-guru terlatih yang mampu meningkatkan mutu pengajaran matapelajaran Bahasa Inggeris adalah cukup, terutama bagi kawasan-kawasan pendalaman dan luar bandar.

Berdasarkan maklum balas yang telah Pemuda UMNO terima, rata-rata berpendapat bahawa kita tidak mempunyai bilangan guru-guru Bahasa Inggeris berkualiti yang cukup. Oleh itu, jika cadangan wajib lulus digunapakai sekarang, defisit penawaran pendidik yang terlatih ini bakal mengakibatkan 30 peratus daripada calon-calon SPM terus gagal subjek Bahasa Inggeris. Jika kerajaan dapat mengambil khidmat guru-guru Bahasa Inggeris berpengalaman yang telah bersara mahupun guna tenaga guru asing sementara menampung ketidakcukupan guru-guru terlatih sekarang, pastinya cadangan tersebut tidak akan membebani para pelajar yang mungkin kurang persiapannya untuk lulus subjek Bahasa Inggeris dalam SPM.

Pada masa yang sama, pihak kementerian harus menambah peruntukan dana untuk melatih lebih ramai guru-guru baru mengajar Bahasa Inggeris. Mereka ini bakal mengambil alih perkhidmatan guru-guru bersara dan juga guru-guru asing dan semestinya memastikan piawai dan kualiti pengajaran yang sekurang-kurangnya sama, jika tidak lebih baik, kepada para pelajar.

Pemuda UMNO juga mencadangkan agar masa pembelajaran subjek berkenaan ditambah. Ia bakal meningkatkan penguasaan bahasa dan persediaan pelajar menghadapi peperiksaan kerana mereka akan didedahkan kepada kesusasteraan, komunikasi lisan dan juga tatabahasa - yang bakal menjadikan proses dan pengalaman pembelajaran bahasa yang lebih menyeronokkan dan efektif daripada mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Pada masa sekarang, para pelajar cuma perlu menduduki Malaysian University English Test (MUET) untuk mendapat tempat ke institusi pengajian tinggi tempatan. Pemuda UMNO berpendapat kerajaan patut menetapkan tahap pencapaian minimum dalam ujian MUET bagi kelayakan masuk ke universiti tempatan. Ini bakal menjadi insentif kepada pelajar untuk meningkatkan lagi tahap penguasaan Bahasa Inggeris mereka. Tanpa adanya syarat seperti ini - tidak akan wujud sebab yang kuat dan serius untuk para pelajar bekerja keras untuk menguasai Bahasa Inggeris dan sesetengah daripada mereka mungkin berpendapat bahawa ianya tidak penting.

Pemuda UMNO juga ingin menegaskan bahawa isu ini adalah isu spesifik dan tidak sama sekali berkait dengan kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Akhir kata, saya ingin menyatakan bahawa Pemuda UMNO menyambut baik dan menyokong cadangan wajib lulus Bahasa Inggeris di dalam SPM. Namun sokongan ini adalah bersyarat kerana terdapat beberapa beberapa aspek yang perlu ditangani terlebih dahulu seperti keperluan adanya guru-guru terlatih yang mencukupi. Pemuda UMNO menyeru pihak Kementerian Pelajaran untuk melaksanakan langkah-langkah di atas dengan segera bagi merealisasikan cadangan wajib lulus Bahasa Inggeris secepat mungkin. Keputusan ini bakal menjadi mercu tanda kesungguhan kerajaan untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam Bahasa Inggeris dan mencetus komitmen dari semua pihak yang terbabit untuk bekerja keras bagi meningkatkan piawai dan kualiti pengajaran bahasa tersebut.


sumber khairy jamaludin

No comments:

Post a Comment