Wednesday 2 September 2009

Sultan arah Khalid selesai isu kuil

Peserta demonstrasi kepala lembu didakwa


SHAH ALAM: Enam lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana dituduh melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan membawa dan memijak kepala lembu di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada 28 Ogos lalu.

Ahmad Mahayuddin Abdul Manaf, 36; Ibrahim Sabri, 43; Eyzva Ezhar Ramly, 31; Mohd Azmir Mohd Zain, 35: Ahmad Suhairy Zakaria, 30; dan Mohd Hilmi Ni, 40; mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hasbi Hasan.

Mengikut kertas pertuduhan, Ibrahim dan Ahmad Mahayuddin didakwa bersama-sama telah memijak kepala lembu, Eyzva Ezhar didakwa membawa kepala lembu manakala Mohd Azmir, Ahmad Suhairy serta Mohd Hilmi didakwa bersama-sama membawa dan memijak kepala lembu dalam satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang.



Semua perbuatan itu didakwa mempunyai kecenderungan menghasut, yang mana perbuatan itu boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati dan permusuhan terhadap rakyat beragama Hindu.

Mereka didakwa didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pilihan iaitu dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan penganut beragama Hindu dengan melakukan kesalahan terbabit pada masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ahmad Mahayuddin dan Ibrahim adalah pengerusi dan timbalan pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Penduduk Seksyen 23 di sini, yang mengetuai bantahan terhadap cadangan kerajaan Selangor memindahkan sebuah kuil Hindu di Seksyen 19 di sini ke kawasan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, mencadangkan semua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mengetuai pihak pembelaan, membantah jumlah jaminan yang dicadangkan kerana menganggap ianya amat tinggi dan satu bebanan kepada semua tertuduh.

Beliau berkata, semua anak guamnya telah dimaklumkan semalam bahawa mereka akan dituduh hari ini dan mereka telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.

"Pertuduhan terhadap semua tertuduh juga menunjukkan seolah-olah ia satu kesalahan menghina agama lain sedangkan mereka tidak berniat untuk berbuat demikian. Bagi orang Melayu lembu melambangkan kebodohan dan bukan membawa penghinaan kepada agama lain," katanya sambil memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin berjumlah RM500 setiap seorang.

Mohd Dusuki pula berkata, jumlah jaminan RM500 yang dimohon oleh pihak pembelaan tidak wajar dan tidak sesuai dengan pertuduhan kerana kes itu mendapat liputan meluas media elektronik dan cetak serta banyak laporan polis dibuat berhubung insiden itu.

"Justeru mohon RM15,000 dikekalkan kerana jumlah itu wajar berdasarkan kepada latar belakang kes yang mendapat liputan meluas media dan melibatkan kepentingan awam," katanya.

Mendengar hujahan pihak pendakwaan, Salehuddin bangun dan berkata liputan meluas media terhadap kes itu tidak seharusnya dijadikan faktor oleh mahkamah dalam menentukan jumlah jaminan.

"Takkan kita nak hukum tertuduh berdasarkan liputan meluas itu," katanya.

Hasbi kemudian mengenakan ikat jamin RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret di sini pula, Ahmad Mahayuddin, Ibrahim, Eyzva Ezhar, Mohd Azmir, Ahmad Suhairy dan Mohd Hilmi turut menghadapi satu lagi pertuduhan bersama enam yang lain iaitu telah mengambil bahagian dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Turut didakwa ialah Jainudin @ Zainudin Md Yusuff, 67; Mohd Jurit Ramli, 39; Mohammad Nordin Zakaria, 63; Jamil Mohamad Isa, 40; Rahimuddin Md Harun, 39; dan Azhari Shaari, 39.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 27 (5)(a) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 27 (8) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM2,000 dan maksimum RM10,000 dan penjara sehingga setahun, jika sabit kesalahan.

Majistret Norkamilah Aziz membenarkan enam yang turut dituduh di Mahkamah Sesyen di sini sebelum ini dibebaskan dengan jaminan RM300 setiap seorang serta seorang penjamin manakala enam lagi dibebaskan dengan RM500 setiap seorang serta seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 21 Oktober ini untuk sebutan semula kes. Semua tertuduh membayar wang jaminan.

Kedua-dua mahkamah sesak dengan anggota keluarga tertuduh dan penduduk Seksyen 23. - Bernama

sumber berita harian



Peserta demo kepala lembu didakwa
Sep 7, 09 6:27pm

Mereka yang terlibat mengarakkan kepala lembu dan membuat ucapan dalam demonstrasi membantah pembinaan kuil di Seksyen 23 Shah Alam akan didakwa menghasut, kata peguam negara hari ini.

Tan Sri Abdul Gani Patail berkata mereka akan didakwa menurut Seksyen 4 Akta Hasutan atau Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Pemimpin-pemimpin yang menyampaikan ucapan bersama kumpulan kira-kira 50 penunjuk perasaan di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor di Shah Alam akan didakwa bawah Seksyen 27(5) Akta Polis atau berhimpun secara haram.

Dalam satu kenyataan lewat petang ini, Abdul Gani berkata beliau berpuas hati dengan siasatan polis berhubung insiden tersebut setelah meneliti kertas siasatan yang diterimanya tengah hari tadi.


Pada 28 Ogos lalu, sekumpulan penduduk seksyen tersebut dengan beberapa NGO Melayu mengarakkan kepala lembu ke bangunan tersebut sebagai membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke kawasan mereka dari Seksyen 19 Shah Alam.

Mereka yang membentuk jawatankuasa bertindak penduduk seksyen itu berarak dari masjid negeri, beberapa ratus meter dari bangunan tersebut, selepas solat Jumaat.

Mereka menyatakan bantahan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kebajikan negeri Rodziah Ismail dan exco kesihatan Dr A Xavier Jayakumar.


Mereka juga mensasarkan kemarahan mereka kepada ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.



Didahului dengan pembawa kepala lembu, yang masih belum kering darahnya, penunjuk perasaan berjalan sambil bertakbir dan melaungkan "kami bantah" menggunakan alat pembesar suara.

Mereka membawa sepanduk, antaranya bertulis "Take beer", "Islam untuk semua, kuil untuk Khalid dan Rodziah", "Kuil haram sekangkang kera, bila pindah sebesar Putrajaya" dan "Pindahkan kuil ke Seksyen 22".

Kira-kira 10 anggota polis hanya memerhati dan mengawal keadaan sekitar kawasan tersebut.

Selepas kepala haiwan itu diletakkan di depan pintu, timbalan pengerusi jawatankuasa bertindak membantah pembinaan kuil itu, Ibrahim Sabri tampil berucap ringkas, tetapi berapi-api.

"Ini amaran. Pindahkan kuil dari Sekysen 23, buatlah di Seksyen 22. Lembu ini kami hadiahkan kepada kerajaan negeri, kepada Khalid Ibrahim, Khalid Samad dan Rodziah. Ini hadiah kami."



Dalam sidang media selepas itu, pengerusi jawatankuasa itu, Mahyuddin Manaf berkata, mereka membantah tindakan kerajaan itu kerana 80 peratus penduduk kawasan itu beragama Islam.

"Mungkin ada yang salah tafsir bahawa kami biadab (berdemonstrasi), tetapi pemimpin yang mengajar supaya biadab kerana mereka membiarkan (tidak peduli) penduduk di Seksyen 23."

sumber malaysiakini







BANTAHAN DARI PENDUDUK SEKSYEN 23 TERHADAP KUIL YANG AKAN DIBANGUNKAN DI SEKSYEN 23 SHAH ALAM





Sultan arah Khalid selesai isu kuil
Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail
nazuri@bharian.com.my
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengarahkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencari jalan terbaik menyelesaikan isu pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke kawasan majoriti Islam di Seksyen 23 di sini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata arahan itu dikeluarkan kepada Abdul Khalid menerusi surat bertarikh 24 Ogos lalu.

Katanya, Sultan Sharafuddin turut menitahkan perkara itu kepada Abdul Khalid pada sesi menghadap sebelum mesyuarat Exco pada Rabu lalu.



“Baginda mahu isu pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 yang mendapat bantahan penduduk Islam diselesaikan bagi mengelak perselisihan kaum di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri akan mengadakan dialog bersama penduduk Seksyen 23 bagi menerangkan bagaimana pemilihan tapak dibuat di Dewan Bankuet Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 5 September ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan, kuil tetap dipindahkan di Seksyen 23 kecuali jika ada pihak lain termasuk menteri atau penduduk kawasan itu mampu menawarkan tapak lain yang lebih sesuai.

“Kalau boleh tunjuk keputusan yang lebih baik (tapak lain), sila tunjuk termasuklah kepada menteri yang bercakap mengenai pemindahan kuil ini. Sebagai pengurus negeri, kita bersikap profesional,” katanya selepas mesyuarat Exco semalam.

Abdul Khalid berkata, isu pemindahan kuil membabitkan pemilihan banyak lokasi lain tetapi Seksyen 23 dipilih selepas mengambil kira kesesuaian dan persekitaran di samping kajian terperinci.

Katanya, isu itu boleh diselesaikan jika penduduk memahami kedudukan sebenar kecuali jika ada pihak tertentu yang sengaja tidak mahu isu kuil itu selesai.

Ditanya mengapa dialog dengan penduduk hanya diadakan selepas timbul kontroversi, Abdul Khalid berkata, isu pemindahan kuil bukan baru sebaliknya berlanjutan sejak 26 tahun lalu.



“Kuil ini perlu dipindahkan kerana pelbagai masalah di Seksyen 19 dan menjadi tanggung jawab kerajaan negeri mencari tapak sesuai, bukan kita yang bina kuil,” katanya.

Beliau berkata, dialog terbuka mengenai isu kuil juga akan diadakan bersama ketua masyarakat, ahli majlis dan media serta badan bukan kerajaan (NGO) secara berperingkat jika ada permintaan.

Mengulas tindakan penduduk mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Abdul Khalid berkata, penduduk bebas mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak supaya keputusan terbaik dicapai.

Abdul Khalid berkata, risalah dan surat penjelasan mengenai isu itu akan diedarkan kepada Hishammuddin, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Noh Omar dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.

sumber berita harian

Penganjur: Kehadiran kepala lembu satu misteri
Ogos 29, 09 2:49pm

Pengerusi jawatankuasa bertindak penduduk Seksyen 23 Shah Alam, Mahyuddin Manaf berkata kehadiran kepala lembu sewaktu protes membantah pembinaan kuil di kawasan tersebut semalam, masih merupakan satu misteri.

"Kami melakukan bedahsiasat (terhadap protes tersebut) tetapi kami tidak dapat mengesan orang yang membawanya,” katanya kepada Malaysiakini.

Mahyuddin juga tidak pasti sama ada sesetengah daripada mereka yang menyertai protes itu adalah penduduk sebenar Seksyen 23.

Katanya, terdapat beberapa pemimpin NGO yang turut hadir semalam, tetapi beliau tidak mengenali mereka secara peribadi.

Beliau juga menegaskan bahawa protes tersebut tidak berniat untuk mencetuskan ketegangan kaum tetapi sebaliknya untuk menyelesaikan apa jua masalah yang berkaitan dengannya.

Beliau yang mengaku seorang ahli PAS, bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berkata beliau tidak mahu isu tersebut diperbesar-besarkan.

Menurutnya, apa yang dihasratkan ialah untuk mengadakan satu protes secara aman.

Pada mulanya, jelas Mahyuddin, ahli jawatankuasa berkenaan merancang untuk mengadakan demonstrasi yang disertai kira-kira 3,000 orang tetapi beliau membantah idea itu kerana mahu protes itu diadakan secara aman.

Mahyuddin juga menegaskan bahawa beliau bukan seorang yang rasis.

Dari awal lagi, tegasnya, beliau mementingkan sensitiviti agama dan mahukan perpaduan.

Katanya, mereka bukan menolak kuil, tetapi tidak mahu ia dibina di kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

sumber malaysiakini

Khir: Janji p'raya Pakatan punca masalah kuil

Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendakwa, masalah kuil di Seksyen 19 Shah Alam berpunca daripada janji Pakatan Rakyat untuk memindahkannya ke Seksyen 23 bagi memenuhi janji pilihanrayanya.

Sedangkan, dakwanya, Katanya kerajaan BN sebelum ini telahpun menyelesaikan masalah tersebut dengan menawarkan dua tapak cadangan - iaitu di Seksyen 18 dan 22 - yang menurutnya merupakan tapak terbaik di Shah Alam.

"Masalahya sekarang, Pakatan Rakyat berjanji kepada rakyat, apabila mereka berjaya memerintah Selangor, mereka akan membina kuil di Seksyen 23. Ini sama juga dengan kes Kampung Buah Pala.

"Jadi, (ini semua) untuk menuntut janji yang telah mereka katakan, bukan kerana kesalahan kerajaan BN. Kita telah siapkan (tapak cadangan). Kalau tengok, tapaknya cukup strategik dan paling sesuai," katanya.


Bekas menteri besar Selangor berkata, kedua-dua tapak cadangan tersebut masing-masing berkeluasan 70,000 kaki persegi dan tapak di Seksyen 18 telah mempunyai infrstrukturnya termasuk jalan, lampu jalan dan bekalan elektrik".

Malah, katanya, kemudahan infrastruktur di Seksyen 18 itu sudah siap disediakan sejak tahun 2007 lagi.

Katanya, ini menunjukkan bahawa kerajaan BN dahulu begitu prihatin dengan keperluan penduduk yang beragama Hindu di situ.

Tinjauan Malaysiakini mendapati tapak cadangan di Seksyen 18 - kira-kira 3 kilometer daripada Seksyen 22 - itu agak jauh dari kawasan penduduk dan berdekatan kawasan kilang.

Terbiar kosong

Tempat tersebut yang terletak bersebelahan dengan sebatang sungai, kini kekal kosong tanpa sebarang binaan dan ditumbuhi rumput sahaja.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di tapak di Seksyen 18 itu, Dr Mohd Khir meminta kerajaan negeri supaya berhenti menyalahkan kerajaan dahulu dalam isu pembinaan kuil tersebut.

Beliau juga menyifatkan bantahan penduduk Seksyen 23 - tempat kuil itu mahu dipindahkan - sebagai isu lama.

Menurutnya, ini kerana penduduk di situ memang sudah lama membantah kuil tersebut dipindahkan ke kawasan mereka.

Ekoran itu, katanya, kerajaan BN dulu menawarkan tapak baru untuk kuil tersebut di Seksyen 18 dan 22.

Dr Mohd Khir juga membela tindakan sekumpulan yang membantah pemindahan kuil itu ke Seksyen 23, dengan mengadakan perarakan kepala lembu ke pejabat sekretariat kerajaan negeri, Jumaat lalu.

Beliau menyifatkan perkara itu, bukan isu agama, tetapi kelapa lembu itu, menurutnya bermaksud "kerajaan telah membuat satu keputusan bodoh seperti lembu dalam menangani kontroversi tersebut".

"Mungkin ada kesilapan, tetapi tujuan mereka bawa kepala lembu bukan untuk menghina orang India. Tujuannya hendak menggambarkan kerajaan hari ini bertindak tidak mengikuti fikiran.

"Tapak telah disiapkan, kenapa tidak berfikir? Jadi hendak tunjukkan kerajaan hari ini buat keputusan yang bodoh. Itu sahaja, bukan ada isu agama," katanya.

Ditanya sama ada terdapat penglibatan Umno dalam perarakan kontroversi itu, Dr Mohd Khir berkata beliau tidak tahu dan menyerahkan perkara itu kepada polis untuk menyiasatnya.

"Saya tidak kenal pasti. Bagi tahu dia, polis siasat. Mereka yang terlibat, itu tindakan polis," katanya.

sumber malaysiakini

Majlis dialog isu kuil di Shah Alam kecoh

Majlis dialog antara kerajaan negeri dan penduduk Seksyen kecoh pagi ini - bermula dengan perang mulut antara lima penduduk yang melepaskan kemarahan mereka kepada anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).


Mereka bertindak demikian apabila anggota penguatkuasa berkenaan tidak membenarkan dua warga emas dari kawasan berkenaan masuk ke dalam dewan bankuet, MBSA, tempat majlis dialog itu diadakan.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.30 pagi. Difahamkan sebuah rumah hanya dibenarkan menghantar seorang wakil sahaja, tetapi warga emas itu dipercayai mengikuti anaknya ke situ.

Bagaimanapun, selepas lima minit berlaku pertengkaran tersebut, dua warga emas itu dibenarkan masuk.

Sejurus kemudian, berlaku kekecohan kedua apabila beberapa penduduk bertindak menghalu keluar empat anggota unit amal PAS yang berada di dalam dewan tersebut kerana mereka bukan penduduk Seksyen 23.


Kira-kira 250 penduduk dari Seksyen 23 menghadiri majlis dialog berhubung isu bantahan penduduk terhadap keputusan untuk memindahkan sebuah kuil dari Seksyen 19 ke tempat mereka.

Ketika itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail sedang masuk ke dewan.

Sejurus selepas itu, beberapa penduduk bertindak menghalau keluar seorang wanita yang membawa kamera dan mengambil gambar mereka yang hadir di dalam dewan tersebut.

Selepas itu, apabila pengerusi majlis menyebut nama menteri besar dan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad disebut, ada penduduk yang mengeboo mereka.


Majlis bermula dengan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mazlan Md Noor memberi taklimat mengenai kuil di Shah Alam dan rancangan awal mengenai pemindahan kuil dari Seksyen 19 itu.

Bagaimanapun, taklimat sering diganggu oleh penduduk yang tidak puas hati dengan isu tersebut.

Perbincangan hampir dua jam itu tidak berjalan lancar apabila penduduk sering menyampuk dan mempertikaikan penjelasan yang diberikan. Hanya kedengaran bunyi bising dan ungkapan tidak puas hati seperti "tipu", "kamu mahu keputusan" dan "ya atau tidak?".

Ia bermula apabila penduduk enggan membenarkan Khalid Samad berucap kerana didakwa tidak mempunyai kuasa membuat apa-apa.


Mereka juga enggan mendengar penjelasan lain dan menuntut Khalid Ibrahim membuat
keputusan segera sama ada untuk mengekalkan cadangan itu atau memindahkannya ke tempat lain.

Apabila majlis dibuka kepada soalan, kelihatan rata-rata penduduk Melayu mendominasi sesi itu bagi melepaskan geram kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang didakwanya sebelum ini lambat memberikan respons untuk berbincang.

Ketegangan itu dilihat sampai ke kemuncaknya apabila seorang penduduk setempat beragama Hindu yang tampil memberikan cadangannya, hampir dibaling dengan kerusi.

Bercakap soal toleransi kaum, R Gunaretinam menimbulkan kemarahan penduduk Melayu kerana berkata, setiap rumah kawasan mempunyai surau dan masjid bagi kegunaan masyarakat Islam.


"Kita boleh terima azam lima kali sehari," katanya, disambut bantahan besar hadirin dalam majlis itu yang bangun dan menjerit beliau berhenti berucap.

Terdapat beberapa orang penduduk menghampiri beliau dengan keadaan marah, tetapi kira-kira 30 penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam berjaya mengawal keadaan.

Ucapan akhir Khalid Ibrahim bagaimanapun sedikit sebanyak menenteramkan keadaan, walaupun masih ada yang tidak berpuas hati.

"Minta semua bertenang. Selepas ini tidak ada perbincangan lagi. Tidak ada lagi soal berbangkit pasal Seksyen 23 lagi," katanya sambil mendakwa faham perasaan penduduk, walaupun disuarakan dengan cara yang "tidak tertib sangat".

sumber malaysiakini

2 comments:

  1. kasihanlah dengan bangsa melayu serta islam sendiri.lihatlah berapa ramai mereka yang memprotes perlaksanakan penempatan kuil tersebut.kita telah lihat apa yang telah berlaku di selatan thai.di israel dan di cina serta di serata dunia bagaimana islam itu di diskriminasi.adakah perkara itu akan berlaku di malaysia yang lebih mengerikan dia diarahkan oleh orang islam sendiri.api telah di nyalakan dan bila2 masa api itu akan merebak dan menular dan di bimbangi memberi kesan yang buruk pada rakyat yang berbilang kaum.

    ReplyDelete
  2. bahaya perkara ini jika di ambil remeh.

    ReplyDelete