Friday 11 September 2009

Bukti Keprihatinan KM Terhadap Pelabur, Pekerja Industri

BATU BERENDAM, 11 Sept- Meskipun sibuk dengan pelbagai program rasmi yang agak padat, namun Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam masih sempat meluangkan masa menyertai program bersahur bersama lebih 400 pekerja industri di kilang Infenion Technologies (M) Sdn Bhd (Infineon) sekitar jam 4 pagi tadi.

Kehadiran beliau ternyata membuka sejarah di mana buat julung kalinya seorang pembesar negeri sanggup turun padang duduk bersahur bersama pekerja-pekerja syarikat berkenaan.

Kunjungannya juga jelas membuktikan sikap mesra pelabur yang menjadi sebahagian dari pendekatan Ketua Menteri yang sentiasa mengambil berat tentang operasi syarikat-syrikat multinasional di negeri ini serta kebajikan para pekerjanya.

Mohd Ali yang diiringi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Ismail Othman; Pengarah MIDA Melaka, Ruzlisham Md Diah; Pengurus Invest Melaka, Anuar Musa; Pengurus Bahagian Pekerja dan Pelajar Antarabangsa, Shahdan Othman serta Pegawai Seranta Industri PKNM, Faridah Nordin sempat bertanya khabar dan beramah mesra dengan pekerja-pekerja di syarikat berkenaan.

Turut hadir Naib Presiden/Pengarah Urusan Infineon, Peter Bailey; Ketua Pegawai Kewangan, Reisinger Markus; Pengarah Sumber Manusia, Ong Beng Tiam; Pengurus Kanan, Perhubungan Pekerja, Haron Nurul Fadzli dan Pengurus Kanan, Tan See Tai.

sumber melaka hari ini


Bersahur Bersama Pekerja Industri
Pekerja Infineon Kagumi Kepimpinan, Sikap Mohd Ali

BATU BERENDAM, 11 Sept - Seawal jam 3.30 pagi lagi, dewan makan pekerja di kilang Infineon Technologies (M) Sdn Bhd mulai sibuk. Pekerja-pekerja mulai memenuhi tempat duduk yang disediakan.

Lebih 400 pekerja yang mewakili pelbagai unit di kilang yang memiliki lebih 5,600 pekerja itu begitu ceria bagaikan ada sesuatu kejutan besar sedang menanti mereka.

Berita tentang kesudian Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, datang dan bersahur bersama mereka dianggap cukup istimewa sekali dan masing-masing diberi pelepasan untuk keluar awal bagi meraikan pemimpin yang cukup dikagumi itu.

"Saya bagaikan tidak percaya Ketua Menteri sanggup datang bersahur bersama pekerja-pekerja di sini," ujar Norimah Othman, 33 dari Taman Seri Duyong.

Beliau yang sudah bekerja hampir 15 tahun menyifatkan Mohd Ali sebagai pemimpin yang amat prihatin terhadap kebajikan pekerja-pekerja industri.

"Kami amat kagum dengan sikap beliau yang sanggup datang dan bertanyakan khabar tentang pekerja-pekerja di sini," ujarnya.

Nor Azizah Abdul Wahab, 29 dari Kuala Terengganu begitu teruja apabila Ketua Menteri datang menyapa dan bertanyakan khabar.

"Beliau agak terkejut bila mendapat tahu saya berasal dari Kuala Terengganu," ujarnya yang sudah 8 tahun bekerja.

Nor Azizah berkata, walaupun terpaksa merantau, namun beliau tertarik dengan pelbagai peluang yang ditawarkan di syarikat berkenaan dan berbangga kerana menjadi sebahagian dari keluarga besar Infineon.

Zulkifli Idris, 40 yang sudah berkhidmat selama 21 tahun berkata, Mohd Ali mempunyai karisma tersendiri yang menyebabkan semua rakyat kagum dengan kepimpiannya.

"Beliau kerap datang ke Infineon, lebih-lebih lagi jika ada sebarang masalah yang membabitkan pekerja. Namun kehadirannya pagi ini cukup istimewa kerana beliau sanggup bersahur bersama kami," ujarnya yang berasal dari Umbai.

Manakala Ramlan Khamis, 41 berbangga dengan sifat semulajadi Ketua Menteri yang memberi layanan sama rata kepada semua orang termasuk pekerja-pekerja industri.

"Beliau bukan sahaja mesra pelabur malah amat dekat di hati pekerja seperti kami. Sebab itu beliau sanggup datang walaupun sibuk dengan tugas-tugas rasmi sebagai pemimpin negeri," ujarnya.

"Saya tergamam bila Ketua Menteri menghampiri kami dan bertanya berapa lama sudah bekerja di sini," ujar Rohani Abu, 36 yang sudah berkhidmat selama 18 tahun.

Katanya, semua pekerja yang menyertai program bersahur kagum dengan keikhlasan Ketua Menteri sanggup menemui semua pekerja dan berbual mesra.

Ramlah Talib, 52 menyifatkan hari ini cukup istimewa kerana dapat berbual-bual dengan Ketua Menteri.

"Saya sudah bekerja selama 36 tahun, inilah pertama kali seorang Ketua Menteri datang berbual-bual malah sanggup mencedukkan lauk ke pinggan kami. Secara ikhlas, saya mendoakan moga beliau diberi kekuatan untuk terus menjadi pemimpin disegani dan dikagumi oleh semua," ujar beliau.


sumber melaka hari ini

No comments:

Post a Comment