Saturday 5 September 2009

Pemuda Umno Cadang Perintah Penahanan Isa Dikaji Oleh Mahkamah

MELAKA, 4 Sept - Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mencadangkan agar perintah penahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikaji oleh mahkamah atau satu badan berkecuali dan bukan oleh Menteri Dalam Negeri seperti sekarang.


Beliau berpendapat sesiapa yang ditahan mengikut ISA boleh mendapat keadilan melalu satu mekanisme kehakiman yang dicadangkan itu.


"Ini juga supaya Menteri Dalam Negeri dilihat tidak membuat satu keputusan penahanan di bawah ISA berdasarkan kepentingan politik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran pergerakan itu di Sekolah Anak Yatim Sultan Salahuddin di Pantai Kundur di sini malam Khamis.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa pembentangan pindaan ISA dijadual dilakukan semasa sesi Dewan Rakyat Oktober ini tertakluk kepada input yang diterima.


Hishammuddin dilaporkan berkata kerajaan masih menerima cadangan daripada pelbagai pihak dan sedia memberi pertimbangan dari sudut kepentingan rakyat dan keselamatan negara dan hal sivil individu.


Khairy berkata Pemuda Umno akan menyerahkan satu memorandum kepada Hishammuddin minggu hadapan yang akan mengusulkan beberapa perkara yang perlu dipinda.


"Kita juga akan mencadangkan supaya tempoh tahanan oleh polis selama 60 hari dipendekkan," katanya.

sumber prokhairy

2 comments:

  1. di antara yang menjadi kelemahan dalam ISA adalah penangkapan yang di buat melalui arahan menteri dalam negeri.dengan meletakkan satu badan bebas untuk meluluskan penangkapan sesorang bagi hukuman ISA tanpa memberi kuasa kepada menteri dalam negeri adalah baik bagi mengelakkan undang2 di salah gunakan.dengan ada pembaikkan dalam ISA persepsi bagi ISA dapat di kurangkan.

    ReplyDelete
  2. pemimpin seperti ini yang di cari.tahu rakyat tidak mudah lagi di perbodohkan.

    ReplyDelete