Monday 4 January 2010

Kontroversi kalimah Allah: Khalid lwn Zulkifli

Dua ahli parlimen Pakatan Rakyat - Khalid Samad dari PAS dan Zulkifli Noordin dari PKR - bertelagah berhubung keputusan mahkamah mengenai penggunaan kalimah 'Allah'.


Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Samad yang merupakan ahli parlimen Shah Alam menuduh Zulkifli - ahli parlimen Kulim Bandar Baru, mempunyai 'mentaliti seperti Umno'.

Katanya, Zulkifli - seorang peguam Syarie - seharusnya menyelaraskan pandangannya mengikut pendirian partinya, yang mengalu-alukan keputusan mahkamah itu.

Khalid berkata, Zulkifli perlu membuat keputusan dia hendak bersama parti mana.

"Jika dia seorang pemimpin Umno, dia harus mengikut pendirian Umno seperti yang diperjelaskan oleh (Presidennya) Datuk Seri Najib Tun Razak. Jika dia dalam PKR, maka dia harus mengikut pendirian parti itu," tambahnya.


Zulkifli tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komennya.

Khalid mengulas tulisan dalam blog Zulkifli semalam yang menggesa Khalid keluar dari PAS dan menyertai DAP kerana menyokong keputusan mahkamah tersebut.

Dalam mempertahankan pendiriannya itu, ahli parlimen Shah Alam itu berkata kalimah "Allah" telah digunakan secara meluas oleh bukan Islam sewaktu era Nabi Muhammad SAW dan oleh itu, ia tidak seharusnya menjadi isu sekarang.

Katanya, apa yang membezakan istilah tersebut ialah konsep triniti (dalam Kristian) dan dalam Islam, Allah itu esa.

sumber malaysiakini

Penentang tidak konsisten, kata Mujahid

Ahli jawatankuasa PAS pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa mendakwa golongan yang membantah keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan Herald Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya, tidak konsisten dengan pendirian mereka berkaitan isu melibatkan agama Islam.

Beliau yang juga pengerusi lajnah perpaduan nasional PAS pusat, mengaitkan perkara itu dengan satu cadangan sebelum ini untuk menghalang mana-mana pertubuhan "menggunakan Islam" dalam nama pergerakan mereka.

Mujahid dipercayai merujuk kepada kempen Umno sekitar tahun 2000 supaya PAS tidak dibenarkan menggunakan perkataan 'Islam' dalam nama parti itu.

"Golongan inilah yang yang satu ketika dahulu pernah mencadangkan supaya nama Islam dibuang dari dikaitkan kepada mana-mana pertubuhan kerana "menggunakan Islam" untuk kepentingan," tulis Mujahid dalam kolumnya di sebuah portal berita.


"Alhamdulillah, Raja-Raja Melayu menolak cadangan ini bahkan menggalakkan supaya nama Islam dalam pertubuhan digunakan," tambahnya.

Menurut keputusan Majlis Raja-raja pada 22 Mac 2001 itu, "tiada pihak berhak menentukan keIslaman seseorang itu dengan mengenakan syarat-syarat tambahan setelah orang itu menepati rukun Iman dan rukun Islam."

Keputusan yang dibuat berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan itu juga memutuskan supaya "ketentuan ke syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah."

"Asal cadangan ini kerana mereka mahu mengharamkan PAS dari menggunakan nama yang begitu sinonim dengan rakyat Malaysia iaitu Parti Islam Se Malaysia, mungkin mereka cemburu kerana Umno tidak ada sinonim itu," tulis Mujahid lagi.

"Soalnya lagi, sekiranya Umno sanggup menghalang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, mengapa golongan itu juga mahu melarang orang Islam sendiri menggunakan nama Islam untuk pertubuhan mereka sendiri?

"Kalau mereka mendakwa (penggunaan) nama Allah (oleh Herald Catholic Weekly) akan menghina umat Islam, apakah yang lebih hina kalau peruntukan syariat yang dah sedia ada pun mereka tak dapat laksanakan?" tambahnya.

Beliau mendakwa, dalam kes tersebut Umno dilihat menggunakan hujah yang sama seperti yang disuarakan terhadap penggunaan kalimah Allah tetapi dengan matlamat berbeza.

Tambahnya, interpretasi kepada Perkara 3, 11 (4), 12 (2), 130 dan 121 (1A) dalam perlembagaan itu merupakan asas yang kukuh kepada Hakim Lau Bee Lan untuk menyampaikan keputusan tersebut.

Mujahid turut menjelaskan bahawa dalil yang menunjukkan keharusan untuk orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah juga dilihat lebih kukuh berbanding dalil untuk mengharamkannya.

"Ini adalah kerana untuk mengharamkan sesuatu ia perlu kepada ketegasan tanpa ta'wilan, manakala yang mengharuskannya, tidak pula ada ta'wilan kepadanya seperti dalam surah Az Zukhruf ayat 87-89.

"Oleh itu tanpa niat dan alasan menghina kalimat Allah hukum menurut Islam tiada halangan," katanya yang tidak ada masalah dengan penggunaan kalimah itu oleh bukan Islam, namun turut menghormati hak mana-mana pihak untuk mempertahankan pandangan mereka secara perundangan.

Bagaimanapun, katanya, beliau membenci golongan yang berhujah 'atas kebenaran' untuk matlamat kebatilan, iaitu mencapai maksud politik sempit, opportunis dan musang berbulu ayam.

sumber malaysiakini

Isu Kalimah 'Allah': Kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius perdebatan kalimah Allah yang menjurus dari keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan majalah The Herald menggunakan 'Allah' sebagai rujukan kepada Tuhan sembahan mereka. Kalimah 'Allah' sepertimana yang difahami oleh orang Islam adalah satu kalimah suci yang membawa erti Tuhan yang Maha Esa.

Pemuda UMNO juga mengambil maklum sentimen di kalangan akar umbi Melayu dan Islam yang begitu risau dengan perkembangan ini, disamping tidak menolak sensitiviti penganut agama Katolik.

Oleh itu, Pemuda UMNO menyarankan agar satu pertemuan diadakan antara wakil Majlis Fatwa Kebangsaan dan pihak Gereja Katolik yang menerbitkan majalah The Herald. Dialog hasil perjumpaan ini bakal menjadi titik pertemuan bagi kedua-dua pihak disamping menjadi medium menyampaikan kekhuatiran umat Islam di Malaysia kepada pihak penerbit, lantas mencari jalan penyelesaian kepada kemelut ini.

Disamping Pemuda UMNO menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan, Pemuda UMNO juga percaya bahawa isu sensitif ini perlu kepada satu penyelesaian yang lebih menyeluruh supaya prinsip saling menghormati dapat dipelihara berdasarkan dialog antara pihak yang terlibat. Pemuda UMNO percaya ini adalah sejajar dengan gagasan 1Malaysia yang memerlukan pemahaman merentas batasan kaum dan agama.

sumber khairy jamaludin
Harapan Pemuda UMNO adalah dialog yang dicadangkan ini akan dapat memastikan pandangan kedua-dua belah pihak dapat disampaikan tanpa perlu memanjangkan perdebatan isu ini di dalam akhbar, sekaligus mengurangkan ketegangan hubungan antara kaum dan agama. Keharmonian di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia kekal sebagai satu perkara yang teramat penting untuk kehidupan seluruh rakyat di negara ini

No comments:

Post a Comment