Friday 2 October 2009

Undi pos turut beri kelebihan kepada pembangkang

Undi pos turut beri kelebihan kepada pembangkang


SEREMBAN: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata undi pos yang dicanang pembangkang kononnya menjadi senjata utama kepada Barisan Nasional (BN) sebenarnya memberikan kelebihan kepada pembangkang pada pilihan raya umum ke-12 lalu di Bagan Pinang.

Katanya pada pilihan raya umum 2008, majoriti BN di Bagan Pinang merosot kerana undi pos berpihak kepada pembangkang.

"Pembangkang tidak boleh kata undi pos itu advantage (memberi kelebihan) kepada BN kerana pada 2008 disebabkan mereka dapat banyak undi pos pada ketika itu iaitu 1,800 undi kalau nak bandingkan dengan 2004," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Bulan Pertabalan Sempena Istiadat Pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di sini, hari ini.



Mohamad bagaimanapun yakin BN akan dapat mengukuhkan kedudukan kerana pada 2008, pengundi yang memilih BN bertambah kepada 6,430 berbanding hanya 5,000 lebih pada 2004.

"Jadi jangan kita tuduh dan tohmah yang macam-macam pasal undi pos ini. Pasal itu saya katakan kita perlu kerja kuat dan kita perlu menyakinkan semua orang untuk pastikan kemenangan kita tapi saya rasa yakin dan percaya BN akan dapat pertahankan kerusi kita di sana," katanya.

Mohamad yakin calon BN, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad akan berjaya menawan hati rakyat Bagan Pinang kerana popularitinya di kalangan mereka yang tinggal di Telok Kemang, Bagan Pinang serta Port Dickson.

"Senang kerja kita dalam BN, tak payah nak tarik ke hulu ke hilir hendak memperkenalkan calon, siapa tidak kenal Tan Sri Isa kan? Jadi sebahagian daripada kita punya kerja sudah selesai," katanya. Bernama

sumber berita harian

Pemuda Akan Jelajah Kawasan Termasuk Estet Di Bagan Pinang – Khairy

Putrajaya -- Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata pihaknya akan bergerak ke segenap pelusuk sehingga kawasan estet yang bermajoriti kaum India dalam usaha mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Menurut beliau gerakan tersebut yang dilaksanakan atas platform Pemuda BN itu diharap mampu menterjemahkan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada BN pada hari pengundian nanti.

“Kita berharap semua pemimpin BN juga mengambil tindakan sama kerana terdapat empat peti undi daripada lapan yang majoritinya kaum India, jadi kita perlu sokongan daripada parti yang mempunyai pemimpin daripada kaum itu.

"Saya sudah bermesyuarat dengan Pemuda MIC sebelum Aidilfitri lalu dan mereka bersetuju bekerjasama sebagai satu pasukan.
Beliau berkata demikian pada sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, di sini, Sabtu.

Bagan Pinang terletak dalam Parlimen Telok Kemang yang mempunyai lima kerusi DUN dengan tiga milik pembangkang, iaitu Chuah dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lukut (DAP) dan Port Dickson (PKR), manakala satu lagi kerusi, DUN Linggi dimenangi BN.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO seterusnya berkata pilihan raya kecil kali ini sangat penting selepas kekalahan BN di beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

“Kerusi itu kerusi BN, terletak dalam negeri yang boleh dikategorikan sebagai negeri selamat berbanding Kelantan dan Permatang Pauh. Saya yakin kita mampu mempertahankan kerusi itu berdasarkan sokongan dan bantuan yang akan diberikan kepada BN," katanya.

Pada masa yang sama beliau turut memberitahu, Pemuda BN tidak mempunyai masalah untuk berdepan dengan pilihan raya kecil berkenaan.

“Jentera kita di Teluk Kemang adalah kuat dan bersatu untuk memastikan kemenangan BN kelak”, katanya.

Oleh S.A Najmuddin