Sunday, 5 July 2009

Isu Karpal Singh



Sepertimana yang saya katakan di dalam Dewan mulia, pada dasarnya Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menerima keputusan mendenda Ketua-ketua Pemuda UMNO Bahagian – Latt Sharizan Abdullah (Petaling Jaya Utara), Megat Zulkarnain Dato' Omar Din (Gombak), Azahari Dato' Shaari (Shah Alam) and Ungku Md Salleh Ungku Abd Jamal (Serdang) – RM1000 setiap seorang. Individu-individu ini sudah pun memohon maaf kepada institusi Parlimen dan Yang DiPertua Dewan atas insiden tersebut. Meskipun begitu, kejadian itu perlu dikaji melalui kanta yang objektif dan mengambilkira konteks sebenar.

Pertama sekali, laporan Jawatankuasa telah menunjukkan bahawa tiada sebarang kekerasan fizikal yang dilakukan oleh empat orang pemimpin Pemuda Umno tersebut terhadap YB Karpal – malah tiada rekod sebarang sentuhan ke atas tubuh badan YB Karpal pun. Usaha pihak pembangkang menggembar-gemburkan insiden itu seolah-olah Pemuda UMNO berniat menyerang seorang Ahli Parlimen secara fizikal tidak tepat sama sekali.

Dan yang lebih penting lagi, umum juga perlu memahami bahawa perkara itu tidak terjadi dengan sendirinya tanpa sebab musabab atau punca sebenar. Sejarah wajar menilai dengan menyeluruh bahawa apa yang berlaku pada 26 Februari itu tidak boleh sama sekali dipisahkan dari ucapan YB Karpal sendiri dalam Dewan pada hari sebelumnya. Pada persidangan 25 Februari, YB Karpal dengan penuh celupar menuduh Pemuda UMNO mengirim dua butir peluru kepadanya walaupun sampai hari ini tiada sebarang bukti untuk menyokong kenyataan beliau. Tidak cukup dengan fitnah tidak berasas itu, YB

Karpal dalam ucapan sama telah memanggil Pemuda UMNO “celaka” lebih daripada sekali. Bukan niat saya untuk memberi alasan kepada tindakan empat pemimpin Pemuda UMNO tersebut, tetapi apabila sebuah institusi yang kaya dengan sejarah dan pengorbanan demi perjuangan agama, bangsa dan negara dikeji sebegitu rupa dan dituduh melakukan jenayah berat tanpa bukti, sudah pasti ia akan menimbulkan perasaan marah di kalangan ahli dan pemimpinnya.

Apa yang paling menarik adalah keengganan YB Karpal mengulangi tuduhan beliau di dalam mahupun luar Dewan di mana beliau dilindungi dengan kekebalan atau imuniti sebagai Ahli Parlimen, sungguhpun sekali lagi dicabar oleh saya semalam. Saya telah cabar YB Karpal dengan matlamat untuk mencari kebenaran dalam hal ini - sama ada dia boleh memberi bukti untuk memperkukuhkan tuduhannya terhadap Pemuda UMNO. Kegagalan YB Karpal untuk menyahut cabaran saya membuktikan bahawa beliau merupakan seorang yang penakut kerana tahu jika pembohongannya diulangi, khusunya di luar dewan, besar kemungkinan beliau akan menghadapi tindakan mahkamah.

Malang sekali, tatkala Pemuda UMNO dengan cukup berhemah dan secara terhormat walaupun perasaan marah masih membuak-buak telah pun memohon maaf kepada institusi Parlimen, YB Karpal pula masih angkuh dan tidak rela mengaku silap seperti seorang ‘gentleman’, malah tergamak untuk meminta Pemuda UMNO memohon maaf kepada dirinya secara peribadi. Sebagaimana yang saya bahaskan di dalam Dewan, sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saya tidak akan sekali-kali membenarkan ahli Pemuda terbabit untuk berbuat demikian kerana kesalahan mereka adalah kepada institusi Parlimen dan bukan kepada seorang manusia pembohong seperti YB Karpal Singh yang merupakan punca sebenar kepada isu tersebut dengan keceluparan mulutnya.

Dengan sikap Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang masih membela YB Karpal, nyata sekali bahawa pihak pakatan pembangkang masih kekal mengambil sikap meraih simpati dengan memperbesarkan isu kesalahan orang lain, tetapi tidak mahu bertanggungjawab atas kelakuan melampau sendiri, seakan-akan baling batu sembunyi tangan. Saya yakin rakyat akan menilai sendiri hipokrasi ini sebagai petanda suatu Pakatan yang tidak matang dan lebih selesa menimbulkan kekecohan untuk menarik perhatian kerana ketandusan isu konkrit membela rakyat.

sumber khairy jamaludin

Thursday, 2 July 2009

Jangan ugut kerajaan Kedah

Saya ingin menegur tindakan DAP Negeri Kedah yang mengugut keluar daripada Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah semalam. Dalam kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi DAP Negeri Thomas Su menyatakan semalam bahawa DAP Negeri mengisytiharkan keluar daripada Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah. Kenyataan beliau disahkan oleh pimpinan pusat DAP iaitu Ahli Parlimen Seputeh merangkap Exco Kanan Kerajaan Selangor YB Teresa Kok.



Ini bermakna wakil tunggal DAP dalam DUN Kedah YB Lee Guan Aik (Kota Darul Aman) tidak akan menyokong Kerajaan Negeri Kedah dalam DUN. Ini juga bermakna semua Ahli Majlis yang diduduki oleh wakil DAP di semua Majlis Perbandaran perlu meletakkan jawatan. Ini juga membawa kesan semua ahli Majlis Ketua kampung (MKK) daripada DAP perlu mengosongklan jawatan.



Isu yang berbangkit adalah masalah pusat penyembelihan babi di tempat awam di Kg. Berjaya yang telah beroperasi secara haram selama lebih 30 tahun. Pihak Kerajaan Negeri telah mengeluarkan notis pemindahan dan perobohan namun tiada tindak balas. Sebaliknya dilapurkan bahawa mereka memohon masa untuk berpindah. Namun apabila tiba masanya mereka gagal berpindah. Jadi saya berpendapat tindakan pihak Majlis adalah wajar dan berpatutan.



Namun tindakbalas DAP Negeri mengugut keluar Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah adalah satu tindakan yang tidak wajar samasekali. Saya khuatir tindakan ini akan menyebabkan persepsi rakyat kepada Pakatan Rakyat akan terjejas.



Saya melihat akhir-akhir ini tindak-tanduk DAP memberi gambaran seolah-olah mereka cuba menguasai arah tuju Pakatan Rakyat. Tindak-tanduk DAP membuat keputusan dan mengambil tindakan unilateral dalam beberapa isu akhir-akhir ini mengundang polemik yang sangat merbahaya.



Tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang memecat Saudara Johari Kassim sebagai Ketua Whip dan Ahli Majlis jelas suatu tindakan yang tidak wajar. Adalah jelas Saudara Johari Kassim bertindak mewakili ketetapan yang telah diputuskan oleh PKR. Ketua Perhubungan PKR Negeri Pulau Pinang YB Dato Zahrain telah juga memaklumkan perkara yang sama kepada Ketua Menteri YAB Lim Guan Eng. Ibu pejabat PKR Pusat juga telah mengesahkan perkara tersebut.



Namun Kerajaan DAP Pulau Pinang tetap telah memecat Saudara Johari secara unilateral. Rayuan pimpinan PKR supaya Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang menimbang semula keputusan tersebut disambut dengan kenyataan-kenyataan angkuh oleh lain-lain pimpinan negeri DAP.



Tindakan Pengerusi DAP YB Karpal Singh mencabar YB Tuan Guru Haji Hadi dan YB Ustadz Nasharuddin Mat Isa (Presiden & Timbalan Presiden PAS) supaya keluar daripada PAS dan menyertai UMNO adalah suatu tindakan dan kenyataan yang tidak sepatutnya datang daripada seorang pemimpin yang menganggotai Pakatan Rakyat.
Saya khuatir tindak-tanduk ini akan memecah-belahkan Pakatan Rakyat. Saya khuatir rakyat yang selama ini menyokong Pakatan Rakyat akan menjadi jemu dan letih dengan karenah politiking saperti ini.



DAP perlu sedar bahawa sokongan yang mereka terima hari ini sehingga membolehkan mereka menubuhkan Kerajaan di Pulau Pinang dan menganggotai Exco Kerajaan Selangor (dan Perak dahulu) adalah kerana sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat. Mereka perlu ingat kerana keyakinan dan sokongan rakyat kepada kepimpinan YB Dato Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR.



DAP perlu sedar untuk terus berada didalam Pakatan Rakyat perlu ada kompromi dan tolak ansur. PAS telah banyak bertolak ansur, begitu juga PKR. DAP perlu juga perlu belajar bertolak ansur dan berkompromi. Sekiranya tidak, tidak ada maknanya DAP terus kekal dalam Pakatan Rakyat. Mungkin DAP perlu menimbang untuk bergerak bersendirian dan membuktikan bahawa mereka mendapat sokongan rakyat atas kapasiti mereka sendiri. Dan saya yakin keputusannya jelas.



Oleh itu saya berharap dan menasihatkan DAP serta mereka yang gemar mengambil pendekatan ugut-mengugut ini supaya menghentikan segera sikap tersebut. Saya memperingatkan DAP Negeri Kedah supaya jangan cuba mengugut Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah. Saya percaya semua permasalahan dalaman Pakatan Rakyat boleh diselesaikan secara rundingan tanpa perlu ugut-mengugut sesama sendiri.



Sekiranya budaya saperti ini diteruskan, saya khuatir ianya sekadar menggali kubur sendiri. Kita perlu sedar rakyat meletakkan harapan yang tinggi kepada Pakatan Rakyat, dan rakyat sedang memerhati dan meninjau samada kita di Pakatan Rakyat boleh memenuhi aspirasi dan cita-cita rakyat. Kembalilah kita kepada asal perjuangan Pakatan Rakyat untuk memartabat dan mendaulatkan rakyat.



Sekian terima kasih.


Zulkifli Bin Noordin
Khamis
09 Rejab 1430
02 Julai 2009


Saya merujuk kenyataan YB Lim Guan Aik, ADUN (DAP) Kota Darul Aman yang mengisytiharkan keluar daripada Pakatan Rakyat dan menjadi ADUN Bebas.

Ternyata beliau dan pimpinan DAP mempamerkan sikap chauvinistik dan keangkuhan yang melampau, sikap yang menyebabkan BN ditolak oleh rakyat.

Saya hairan mengapa YB Lim Guan Aik & Sdr Thomas Su (selaku Pengerusi DAP Negari kedah) tidak boleh mempamerkan sikap tolak ansur dan kompromi yang sihat saperti YB Dato Ngeh Kah Him (Pengerusi DAP Perak/YB Bruas) atau YB Ngar Kor Ming (YB Taiping).

Saya mengingatkan YB Lim Guan Aik bahawa beliau dipilih oleh rakyat atas dasar Pakatan Rakyat dan bukan atas kapasiti sebagai wakil DAP.

Oleh itu beliau sepatutnya mengambil jalan yang terhormat dengan mengosongkan kerusi DUN Kota Darul Aman supaya boleh diadakan satu pilihanraya kecil.

Saya mencabar YB Lim Guan Aik dan pimpinan DAP supaya bersikap secara bermaruah dan membenarkan rakyat menentukan samada mereka mahukan DAP ataupun Pakatan Rakyat.

Kotakan kata-kata anda. Bubarkan DUN Kota Darul Aman segera!

Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
10 Rejab 1430/ 04 Jun 2009