Wednesday 4 November 2009

Di Persimpangan Jalan Perjuangan

simpangan Jalan Perjuangan

UCAPAN DASAR
KHAIRY JAMALUDDIN ABU BAKAR
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG
PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA 2009
14 OKTOBER, 2009
PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA



“DI PERSIMPANGAN JALAN PERJUANGAN”


Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap,
Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap,
Wakil-wakil Majlis Tertinggi

- Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir
- Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob
- Yang Berbahagia Dato’ Abdul Azeez Abdul Rahim

Yang Berhormat Dato’ Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri
Para Perwakilan dan Pemerhati

1. Alhamdulillah, segala puji bagi Tuhan Penguasa Semesta Alam, kerana dengan rahmat dan izin-Nya, Pergerakan Pemuda sekali lagi dapat berkumpul di pagi yang penuh keberkatan ini bagi menunaikan kewajipan kita sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Parti.

2. Bertepatan dengan suasana Syawal, saya dan seluruh kepimpinan Pemuda peringkat nasional dan negeri mengucapkan selamat menyambut Hari Raya dan memohon maaf zahir dan batin kepada semua pihak, sekiranya ada tersilap kata atau terlanjur laku. Atas itu, saya secara peribadinya, sekali lagi menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas segala salah dan silap selama ini. Sesungguhnya, inilah peluang dan ketika yang terbaik, untuk kita merapatkan saf, membuang yang keruh dan mengambil yang jernih, serta saling maaf-memaafi bagi kita semua bergerak ke hadapan untuk berbakti pada nusa dan bangsa.
Banyak masa antara masa
Tiada tandingan saatnya ini
Jari disusun maaf dipinta
Teguh ikatan seikhlas hati


3. Pada majlis yang penuh mulia ini juga, izinkan saya mewakili seluruh ahli Pergerakan Pemuda, secara rasminya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada mantan Presiden, YABhg Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi serta bekas Ketua kita, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, atas jasa dan sumbangan mereka - bukan sahaja sebagai pemimpin dan payung bagi kita, namun juga selaku insan berjiwa besar yang telah menyerahkan tampuk kedudukan kepada generasi baru.

Kalau ada si bunga rampai
Kirimkan saya buat penyeri
Jasa tuan tidak ternilai
Seluruh alam menjadi saksi

Saudara Perwakilan Sekelian,
4. Kehadiran saudara pada hari ini pastinya dengan semangat dan komitmen yang jitu kepada perjuangan parti. Sewajarnya, kita menginsafi bahawa kita, insan yang serba kerdil ini telah diberikan amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin dan juga wakil di dewan yang mulia ini. Hadirnya jasad dan roh kita bukan atas nama individu dengan kepentingan diri sendiri. Hadirnya kita di sini adalah bernawaitukan kepada Allah SWT, bagi mendukung dan memperkasakan institusi UMNO serta Pemuda UMNO yang telah menjadi wadah pembangunan bangsa dan negara - yang berjaya merentasi pelbagai ombak dan badai rintangan dalam mengharungi zaman dan sejarah.

5. Komitmen dan istiqamah terhadap perjuangan ini sememangnya terpahat kukuh atas landasan dan asas agama. Kita diingatkan oleh Allah SWT tentang istiqamah dan pentingnya kita berpegang kepada tali agama dan perpaduan.

Allah SWT juga berfirman dalam Surah Al Maidah, ayat 2:

“…dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pencerobohan dan bertaqwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya.”

6. Sepanjang enam puluh tahun, Pergerakan Pemuda dihimpunkan dalam satu jemaah atas kesedaran ini. Allah SWT tidak menyatukan kita untuk melakukan perkara yang mungkar, membawa kerosakan dan kepincangan kepada bumi dan bangsa. Kita disatu dan disepakatkan melalui proses politik untuk berbakti dan mencurah amal kebajikan kepada umat dan watan kita, menyempurnakan satu ibadah sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Az Zariyat, ayat 56:

“Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku”

7. Tujuan kita berpolitik mestilah berpaksi kepada kesedaran murni ini. Inilah medan dan ladang bagi kita menyemai amal dengan perjuangan duniawi melalui dimensi dan proses politik. Inilah jua makna dan sumber kemuliaan perjuangan kita dalam membela, mempertahan dan memajukan agama, bangsa dan tanahair.




Sidang perwakilan yang saya hormati sekalian,
8. Kita sebenarnya berada di persimpangan jalan yang cukup penting dalam perjuangan Pemuda UMNO. Pilihan yang kita ambil akan menentukan jatuh bangun parti menjelang cabaran paling besar dalam sejarah kita. Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) adalah pertarungan survival bagi UMNO dan Barisan Nasional. Pakatan Pembangkang akan cuba memberi pukulan maut kepada kita setelah berjaya menafikan majoriti dua pertiga di Parlimen dan menang di lima negeri pada pilihanraya yang lepas. UMNO dan BN hanya ada tiga tahun untuk membuktikan kepada rakyat bahawa kita masih merupakan pemimpin dan pentadbir yang terbaik untuk negara – yang mampu memenuhi aspirasi rakyat.

9. Cabaran sekarang memerlukan kebijaksanaan untuk kita mengurus persekitaran politik yang jauh berbeza daripada kebiasaan sebelum ini. Kita berhadapan dengan pengundi yang lebih berpendidikan dan terdedah kepada dunia. Mereka lebih mudah membuat perbandingan akan tahap pencapaian dan amalan politik di Malaysia dengan negara-negara lain. Ramai daripada kumpulan ini merupakan generasi muda – hampir tujuh juta dari pengundi pada PRU-13 nanti terdiri daripada pengundi muda. Generasi ini tidak boleh dipaksa untuk menyokong kita dengan hujah bahawa mereka patut berterima kasih dan bersyukur kepada UMNO dan BN. Pendekatan tersebut mungkin boleh digunapakai dahulu tetapi bagi generasi muda sekarang mereka mahu tahu apa yang boleh UMNO dan BN laksanakan dan bukan apa yang telah serta pernah dilaksanakan.


10. Yang pasti, lanskap politik tanahair amat berlainan dengan aliran maklumat yang bebas samada melalui media masa atau media baru. Pemodenan negara dengan infrastruktur canggih seperti jalur lebar dan telekomunikasi mudah alih bukan hanya meningkatkan produktiviti ekonomi negara tetapi juga memberi kesan kepada kesedaran dan kematangan politik rakyat.

11. Inilah persekitaran terkini – lebih bebas, terbuka, muda, terdidik dan kosmopolitan. Kaedah berpolitik di abad ke 21 ini menuntut kepada perubahan sepertimana perubahan zaman yang telah berlaku. Persekitaran yang mencabar ini dan masa yang teramat suntuk menuntut kita untuk bergerak sepanjang waktu, tanpa noktah, tanpa rehat kerana survival kita bergantung kepada keputusan PRU-13 nanti.


12. Atas kesedaran tersebut, walaupun baru enam bulan berlalu sejak pemilihan pimpinan Pemuda dilangsungkan, Pergerakan Pemuda telah memulakan gerak kerja ke arah peremajaan dan pemulihan parti. Barisan Exco dan kepimpinan negeri telah bermukim di Khemah Kerja Perdana di Janda Baik pada bulan April yang lalu, lantas kita muncul seia sekata dengan satu hati dan satu misi.

13. Selari dengan cabaran politik kini, Pemuda telah mengambil pendekatan yang menyeluruh dengan menyusun barisan Exco dan Sekretariatnya agar menjadi lebih responsif dan menjangkau kesemua segmen sasaran generasi muda. Ini meliputi rentasan geografi serta lapisan masyarakat seperti pekerja muda dan profesional muda di bandar dan di luar bandar, di bangku sekolah hingga ke universiti dan kolej.


14. Semua ini merupakan contoh bagaimana Pemuda akan bergerak bagi memenangi hati orang muda. Kita tidak boleh bergantung kepada retorik kosong politik. Jangan kita menjadi singa sarkas, yang mengaum tanpa sebab. Retorik mungkin mampu menarik liputan media buat seketika, tetapi untuk kita menarik sokongan rakyat biarlah kita tertumpu kepada usaha yang betul-betul menyentuh nasib rakyat dan isu-isu kebajikan mereka seperti malapetaka, musibah, kemiskinan, keselamatan, kesihatan, pendidikan dan perumahan.

15. Generasi muda juga mengharapkan kepimpinan fikiran atau thought leadership dari Pemuda UMNO – dan saya cukup bangga sebab dalam beberapa ruang debat, pentas ceramah dan forum TV serta medan-medan lain, Pemuda berada di barisan hadapan mewakili UMNO dan BN.


16. Ada tanda-tanda awal menunjukkan keberkesanan pendekatan ini, dengan penerimaan orang muda terhadap UMNO dan BN kembali meningkat. Daripada data keputusan pilihanraya kecil setakat ini, berkat usaha gigih saudara-saudara sekalian, di Manek Urai, sokongan orang muda telah meningkat di semua saluran manakala di Bagan Pinang minggu lepas, ia semakin jelas dengan bukan sahaja peningkatan malahan kemenangan BN. Siapa kata orang muda makin menjauhkan diri daripada perjuangan kita? Kemenangan kita baru-baru ini memberi semangat bahawa UMNO masih relevan dan mampu terus menjadi wadah perjuangan umat Melayu, terutamanya generasi muda.

17. Namun begitu, kita tidak boleh leka dan lalai. Anggaplah pencapaian permulaan ini sebagai satu rangsangan. Bahawa dengan strategi yang tepat dan gerakan yang menepati citarasa golongan belia, pengundi muda yang dikatakan begitu sukar untuk ditawan, sebenarnya boleh dimenangi. Pemuda UMNO dipertanggungjawabkan terhadap segmen ini, menarik sokongan mereka kepada BN, kerana kitalah yang merupakan titik sentuhan utama mereka dengan parti.


18. Justeru, Pemuda perlu melakukan transformasi generasi dalam pendekatan kita. Menyedari keperluan ini, saya telah memperkenalkan Rukun Pemuda sebagai asas kepada transformasi kita. Lima rukun ini, iaitu bersatu, berprinsip, inklusif, relevan dan proaktif, menggariskan satu falsafah kerja yang baru serta meletakkan garis panduan kepada pergerakan kita untuk mencapai matlamat kemenangan sokongan generasi muda.

19. Bersatu bermaksud bahawa asas kekuatan kita adalah perpaduan dan gerak kerja berpasukan, membariskan semua ahli Pemuda dalam saf perjuangan yang kukuh. Berprinsip pula bermakna bahawa Pemuda tetap berpegang teguh kepada perjuangan asas UMNO bagi menegak, mempertahan dan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air. Inklusif pula bermakna aktiviti dan program kita menjangkau parti dan merentasi perbezaan agama dan bangsa. Relevan membawa maksud bahawa segala program, medium penyampaian, gaya bahasa dan saluran maklumat hendaklah menepati citarasa golongan yang disasarkan. Akhir sekali, Proaktif merupakan piawaian budaya kerja di mana segala perancangan dan tindakan hendaklah dibuat tanpa menunggu arahan terutama dalam hal ehwal kebajikan rakyat sebelum ia menjadi kronik hingga dieksploitasi oleh pembangkang.


Saudara Perwakilan Sekalian,
20. Berlandaskan Rukun Pemuda inilah, kita akan menyahut semangat 1Malaysia yang mementingkan prestasi demi rakyat. Justeru, saya mencadangkan agar satu set penanda aras dibentuk untuk menjadi garis panduan gerak kerja Pemuda. Bukan sekadar itu, set penanda aras ini akan membantu kita melihat dan menilai rekod pencapaian pemimpin dan ahli Pemuda.

21. Penanda aras yang perlu kita terapkan adalah seperti berikut:
[i] Meningkatkan keahlian UMNO, khasnya keahlian baru golongan muda yang menyertai parti;
[ii] Mendaftarkan ahli-ahli UMNO sebagai pengundi di kawasan masing-masing;
[iii] Menjalin hubungan antara Pemuda UMNO bersama golongan-golongan yang berpengaruh dalam menjana perspektif generasi muda, atau opinion-shapers, seperti kumpulan cendekiawan, profesional muda, penulis-penulis muda, tokoh-tokoh agama dan golongan pendidik;
[iv] Memenangi perang mesej atau perang saraf, terutamanya di alam siber yang menjadi platform komunikasi politik masa kini;
[v] Dan penanda aras yang terakhir, yang paling penting untuk menilai prestasi Pemuda UMNO, adalah menambahkan undi golongan muda kepada BN, sekaligus memenangi undi saluran-saluran muda dalam pilihanraya.

22. Set penanda aras ini selari dengan transformasi UMNO untuk menyegar dan meremajakan lagi parti.

Saudara Perwakilan Sekalian,
23. Antara usaha penting yang juga dilakukan adalah pindaan Perlembagaan parti, supaya lebih sesuai dengan kehendak ahli UMNO, sepertimana yang telah disebut oleh YAB Presiden semasa Perhimpunan Agung yang lalu.

24. Pemuda menyambut baik usaha yang telah dirintis oleh YB Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan, yang telah mencadangkan beberapa perubahan berdasarkan kepada premis untuk menghak-upayakan lebih ramai lagi ahli UMNO menentukan barisan kepimpinan tertinggi parti. Ia juga memudahkan ahli bertanding tanpa sekatan, menjadikan UMNO lebih inklusif dan memudahkan proses menjadi ahli.


25. Secara keseluruhannya, Pemuda menyokong penuh cadangan pindaan Perlembagaan parti yang akan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Khas, esok. Pemuda juga meletakkan harapan supaya segala pindaan tersebut akan diterima kerana ia secara langsung memberi pengiktirafan khusus kepada orang muda. Saya tidak sekali-kali lupa bahawa di cawangan-cawangan serata negara-lah, jiwa perjuangan UMNO mula disemai di kalangan anak muda. Atas kesedaran itulah, sukacita saya melaporkan kepada saudara-saudara sekalian, satu usul penting yang akan dibentangkan esok – yang perlu disokong oleh kita semua; iaitu usul bagi mengiktiraf Ketua Pemuda Cawangan sebagai perwakilan automatik ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian. Bila Pemuda akar umbi bersuara, Pemuda negara diperkasa.

26. Pindaan perlembagaan juga membawa perubahan besar kepada parti di mana proses pemilihan jawatan tertinggi akan dibuat di peringkat bahagian dan tidak lagi terbatas kepada perwakilan di peringkat perhimpunan agung. Ini bermakna dari hanya 2,600 perwakilan yang menentukan kepimpinan parti selama ini, lebih dari 140,000 ahli akan diberi hak sedemikian.


27. Pemuda menganggap pindaan ini tepat pada waktunya dan berharap ia merupakan satu langkah permulaan bagi lebih mencerminkan profil UMNO sebagai parti akar umbi yang terbuka dan demokratik. Oleh itu, adalah menjadi harapan Pemuda, sekiranya sistem baru ini berjalan dengan lancar agar akhirnya satu hari nanti kuasa pemilihan ini diberi kepada kesemua tiga juta ahli UMNO. Satu Ahli, Satu Undi. Inilah nilai keahlian yang sebenar dengan memberikan hak dan kuasa kepada setiap ahli untuk menentukan kepimpinan parti – satu hak yang penting dan paling asas dalam politik.

28. Satu lagi perkara penting yang memberi kesan besar kepada Pemuda dan proses peremajaan parti adalah dalam perkara keahlian. Sebelum ini kita dengar banyak rungutan tentang kesukaran untuk menjadi ahli UMNO, terutamanya bagi generasi muda yang ingin berjuang bersama Pemuda. Dengan lulusnya pindaan Perlembagaan pada hari esok, permohonan untuk mendaftar sebagai ahli boleh diterima dan ditandatangani bukan hanya oleh Ketua Cawangan tetapi juga oleh Ketua Pemuda Cawangan. Dari itu saudara-saudara, jangan kita sia-siakan kuasa yang telah diberikan ini. Marilah kita melipat gandakan usaha dan tekad dalam memenangi hati orang muda di luar sana untuk bersama kita. Maka, saya menyeru agar saudara-saudara semua memberikan sokongan padu kepada cadangan pindaan yang akan dibentangkan esok.


Saudara Perwakilan Sekalian,
29. Pindaan Perlembagaan parti yang akan dibentangkan nanti adalah berkait dengan generasi muda yang menjadi ahli UMNO. Oleh itu, sewajarnya kita sebagai sebuah parti yang bersifat inklusif kepada semua, mencari jalan memperjuangkan kepentingan semua golongan muda baik di dalam mahupun di luar parti. Inilah tafsiran mesra rakyat yang diperjuangkan oleh Pemuda UMNO.

30. Masalah orang muda hari ini terutamanya bagi yang berhijrah ke bandar adalah peluang pekerjaan yang tidak menentu, kemudahan perumahan yang tidak terancang dan kurang penglibatan sivik. Tidak dinafikan, ramai dikalangan mereka mendapat peluang pendidikan yang disediakan oleh Kerajaan sehingga memiliki ijazah, diploma atau sekurang-kurangnya sijil. Namun, apabila mereka gagal memperoleh peluang pekerjaan dan menganggur, sering kali kita mendengar dakwaan yang menyalahkan orang muda - tidak cukup bijak, tidak fasih berkomunikasi dan tidak berkeyakinan. Ini menuntut kita mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan mereka.


31. Oleh itu, Pemuda ingin memohon beberapa langkah mesra kepada golongan muda dipertimbangkan oleh Kerajaan menjelang pembentangan Bajet 2010. Kita berharap Kerajaan boleh mempertimbangkan beberapa inisiatif khas untuk generasi muda sebagai salah satu daripada teras utama dalam Bajet akan datang yang antara lainnya, meliputi:
[i] Peluang perkerjaan yang lebih luas serta berkualiti tinggi terutamanya di sektor-sektor strategik seperti perkhidmatan, teknologi maklumat dan bio-teknologi;

[ii] Peluang latihan sepanjang hayat untuk meningkatkan kemahiran seperti penguasaan bahasa-bahasa antarabangsa dan teknologi terkini;

[iii] Pinjaman khas untuk usahawan muda, terutamanya bagi mengatasi halangan modal perniagaan di peringkat start-up atau permulaan serta bagi menggalakkan penyertaan mereka di sektor-sektor baru yang berteknologi tinggi dan mempunyai nilai tambah kepada ekonomi; mungkin ada cadangan untuk ditubuhkan Bank Belia atau Bank Pemuda.

[iv] Sokongan bagi gerak kerja sukarelawan dan pembangunan kebajikan komuniti; serta

[v] Menambahkan lagi peluang pekerjaan untuk pelajar lepasan aliran teknikal dan vokasional.

32. Pada masa yang sama, Pemuda juga prihatin kepada nasib golongan muda yang baru sahaja memulakan hidup berkeluarga, yang baru sahaja bekerja dan mempunyai pelbagai tanggungan, termasuklah membantu ibubapa dan membayar pinjaman pendidikan. Oleh itu, Pemuda mencadangkan inisiatif ini diberi perhatian oleh Kerajaan:-
[i] Menubuhkan tabung untuk pinjaman perumahan dengan kadar faedah yang terendah untuk beberapa tahun pertama agar orang muda yang baru berkahwin mampu memiliki rumah;

[ii] Memberi diskaun istimewa untuk kereta nasional kepada mereka yang mempunyai anak pertama dan baru hendak memiliki kereta;

[iii] Memperuntukkan RM200 bagi anak pertama setiap keluarga sebagai simpanan permulaan Tabung Skim Simpanan Pendidikan Nasional; dan

[iv] Menawarkan baucer membeli barangan keperluan asas bayi seperti susu dan lampin.

33. Pemuda berharap Kerajaan dapat menimbang dan memberi perhatian kepada cadangan-cadangan ini. Pemuda percaya bahawa dengan gerak kerja dan khidmat yang berterusan, insya-Allah BN akan dapat memenangi hati dan sokongan generasi muda yang merupakan aset dan harapan negara kita.

Saudara Para Perwakilan Sekalian,
34. Rakyat kini dihidangkan dengan pilihan antara gagasan yang membangunkan negara sejak sekian lama, yakni Barisan Nasional, atau pakatan pembangkang yang terus menerus memecahbelahkan rakyat. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mendedahkan siapa sebenarnya pakatan pembangkang ini. Bahawa mereka bukannya sebuah parti politik yang tulen – bahawa perhubungan mereka bukannya berteraskan ikatan yang sah atas prinsip yang sama. Apa yang sebenarnya wujud hanyalah satu perhubungan rambang dan kasual, tanpa prinsip moral, tanpa cinta sejati, tanpa hormat-menghormati. Satu pakatan yang sanggup tidur sekatil demi mimpi untuk ke Putrajaya, satu pakatan yang bernafas atas nafsu untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional.

Anak Batak mudik bergalah
Digigit nyamuk habis lebam
Pakatan retak menanti belah
Remuk di dalam dipendam-pendam

Batang cempedak pohon pedada
Buah peria di dalam dulang
Pakatan pembangkang temberang belaka
Janji bak lidah tidak bertulang

Riuh-rendah di pintu muara
Lebai Kassim membuka silat
Pembangkang gian tamakkan kuasa
Batu api perpecahan rakyat


35. Insiden-insiden yang kita lihat semenjak PRU-12 telah membangkitkan sangkaan bahawa tiada setiakawan dan tiada keikhlasan dalam perjuangan pembangkang. Tidak keterlaluan, jika saya nyatakan bahawa di antara mereka, DAP yang paling berkuasa. PAS sudah lari dari asas perjuangan dan menggadaikan prinsip tulen parti tersebut apabila Negara Islam bukan lagi menjadi wawasan utama mereka.

36. PAS tidak lagi garang bersuara, berani mengajar, jauh sekali berani menegur PKR dan DAP tentang pelbagai perkara. PAS tidak lagi sensitif kepada perkara-perkara pokok seperti cadangan menggunakan dana zakat bagi pentadbiran negeri di Selangor. Ini menzahirkan bahawa PAS sanggup tawar menawar dengan DAP hatta menggadai jatidiri dan perjuangan asas mereka demi politik. Kalau begitulah keadaannya, tiada jaminan mereka tidak akan mempertaruh atau menjual negara, sekiranya berkuasa.


37. Kalau DAP yang paling berkuasa, maka kita berhak untuk bertanya: siapa sebenarnya DAP ini? Bertopengkan platform parti berbilang bangsa, tetapi hakikatnya mereka didominasi oleh satu kaum sahaja. Selepas 40 tahun Lim Kit Siang menjadi Ahli Parlimen, pembukaan satu cawangan Melayu DAP bulan lepas digembar-gemburkan seolah-olah satu pencapaian yang cukup hebat. DAP hanya parti berbilang kaum pada namanya sahaja, sedangkan perjuangan sebenar mereka berunsur perkauman yang menyala membara seperti api dalam sekam.

38. PKR pula parti yang tandus ideologi, sekadar berkisar pengagungan seorang individu bernama Anwar Ibrahim. Apa sebenarnya prinsip perjuangan PKR, atau adakah mereka sama seperti DAP yang dahagakan kuasa? Kalau kononnya berjuang atas tiket keadilan dan anti rasuah, lihat sendiri pemimpin kamu itu wahai PKR. Anwar Ibrahim melalaikan masyarakat Malaysia, memanipulasi dan mengulit jiwa mereka dengan kata-kata indah seakan-akan dia-lah pemimpin yang bersih, tulen, berintegriti, dan acap kali menuduh pemimpin UMNO sebagai rasuah, rakus dan rasis.


39. Tetapi Anwar Ibrahim jangan kamu lupa sejarah kamu, kerana kami tidak lupa perbuatan lampau kamu. Apakah semata-mata Anwar Ibrahim beralih menjadi pembangkang, sejarah silamnya, segala dosa lamanya akan lesap begitu saja? Sejarah akan sentiasa membayangi Anwar ke mana sahaja dia pergi dalam arena politik. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

40. Siapa sebenarnya Anwar Ibrahim? Pejuang rakyat marhaen? Pejuang agama Islam? Pejuang bangsa Melayu? Pejuang hak asasi manusia? Atau apakah Anwar Ibrahim berjuang semata-mata untuk kepentingan peribadi Anwar Ibrahim? Mungkin Anwar telah berjaya dengan helahnya terhadap sebahagian generasi muda yang tidak pernah kenal siapa Anwar yang sebenar – seorang chameleon politik sesumpah yang berubah warna mengikut musim dan ketika melompat dari pohon ke pohon; makhluk pelbagai alam. Tetapi UMNO dan Pemuda UMNO ingat sejarah sebenar Anwar, dan kami akan memastikan Penglipurlara Lidah Bercabang Dua ini tidak akan sekali-kali sampai ke Putrajaya.


Saudara Perwakilan Sekalian,
41. BN ditubuhkan atas dasar persaudaraan dan persefahaman untuk menegakkan Perlembagaan dan asas kewujudan negara. Inilah perkongsian platform yang wujud dalam BN. Tetapi pakatan pembangkang tidak mempunyai sebarang persefahaman bersama melainkan nafsu untuk merampas Kerajaan – itupun kita tidak tahu siapa akan menjadi Perdana Menteri kalau pakatan ini mengambil alih. Malah dalam memilih Kabinet Bayangan, mereka memilih jalan selamat untuk menamakan tiga ahli bagi setiap portfolio kabinet, kerana mereka sebenarnya langsung tidak ada persefahaman dalam perkongsian kuasa, tidak seperti BN yang telah teruji dan terbukti.

42. Pakatan pembangkang tidak berprinsip sepertimana BN, kerana mereka tidak pun berpegang kepada Perlembagaan. Jika tidak, mengapa DAP, misalnya, tidak habis-habis menyerang kedudukan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan Agama Islam dengan dibantu oleh PAS dan PKR yang langsung menolak ke tepi prinsip asas negara?


43. Kita perlu terus mendedahkan taktik kotor pembangkang ini. Kita tidak pernah barang sedetik gentar dengan mereka kerana mereka yang sebenarnya takut dengan kita. Mereka yang yang takut dengan kepimpinan YAB Dato’ Seri Najib. Mereka tiada idea baru. Dalam ketandusan tersebut mereka amat licik mencucuk rakyat, menyebar fitnah, menimbulkan huru hara, membuat rakyat akhirnya merana. Bak kata pepatah, kita membawa jarum, dia menyambut dengan gunting.

44. Pakatan pembangkang takut tindakan kejam mereka terhadap penduduk Kampung Buah Pala akan diingati rakyat. Mereka takut rakyat menuntut janji RM1,000 kepada setiap anak Selangor yang ditawarkan masuk ke universiti, yang masih tak tertunai. Apatah lagi janji menurunkan 20 peratus cukai pintu yang sampai hari ini belum dilaksanakan walaupun sudah hampir 20 bulan berkuasa. Pokoknya, mereka takut akan kesedaran rakyat yang telah terpedaya dengan segala janji manis, tipu muslihat dan dakyah mereka terburai begitu sahaja.


45. Oleh itu, saudara sekalian, marilah kita bersama-sama bersatu mendedahkan helah dan dakyah pembangkang ini. Mari kita tewaskan mereka dalam permainan politik berbahaya mereka ini, yang sanggup menggadaikan segalanya hanya untuk berkuasa. Jangan kita biarkan Kerajaan Barisan Nasional ditumbangkan oleh satu kumpulan yang sebenarnya saling tindas-menindas, yang sebenarnya tidak ikhlas dalam perjuangan mereka sehingga tidak teragak-agak untuk menghalalkan yang haram, mengiyakan yang palsu, melupakan yang jitu demi mengejar mimpi mereka yang tamakkan kuasa.

Daun mengkudu di atas dulang
Anak udang mati dituba
Negara berpecah pembangkang girang
Demi kuasa dan tamak haloba

Pergi berburu nun ke sempadan
Dapat kancil kongsi bersama
Selagi hayat dikandung badan
Pemuda kekal pertahankan negara


Saudara Perwakilan Sekalian,
46. Sudah terbukti, gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Presiden telah berjaya memikat hati golongan muda. 1Malaysia merupakan satu konsep yang cocok dan sesuai dengan tuntutan zaman yang dahagakan satu prinsip politik yang berasaskan agenda perpaduan serta pencapaian demi rakyat jelata. Berpandukan semangat 1Malaysia ini, Pemuda perlu berpegang kepada satu misi baru untuk menjadi batu asas kepada perjuangan kontemporari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Misi ini adalah untuk memenangi seluruh rakyat Malaysia dan bukan hanya orang Melayu sahaja. Dari segi percakapan kita, perjuangan kita dan strategi politik kita, Pemuda UMNO perlu menerajui misi baru ini supaya kita memberi harapan kepada semua rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama dan latar belakang.

47. UMNO sebagai tunjang BN mestilah menunjukkan visi perjuangan yang mengenengahkan mutu kepimpinan kita yang syumul, inklusif lagi nasional. Inilah jalan berani. Jalan berani kerana ia menuntut satu anjakan daripada politik zon selesa berdasarkan perspektif bangsa dan parti kepada satu kesedaran politik yang merangkumi semua.


48. Saya menyebut tentang keberanian juga, kerana kita kini berada di persimpangan jalan perjuangan, yakni satu persimpangan di mana kita boleh memilih untuk kekal dengan cara dan gaya lama. Kita boleh bertempik suara melaungkan semangat Melayu dan memberi amaran kepada kaum-kaum lain supaya jangan mencabar ini dan itu. Pilihan ini mudah dan menjanjikan populariti di dalam parti. Tetapi adakah ini sebenarnya mesej yang dihasratkan oleh rakyat Malaysia, malah orang Melayu sendiri - apatah lagi pada waktu Presiden parti sedang membawa mesej perpaduan dengan gagasan 1Malaysia? Bagi Pemuda UMNO alaf baru, inilah keberanian sebenar – bagi memilih jalan untuk Pemuda menjadi perintis ke arah perpaduan negara melalui semangat 1Malaysia.

49. Ada yang berpendapat biarlah Presiden sahaja yang membawa mesej kenegaraan, tetapi Pemuda UMNO hendaklah meneruskan agenda dan pendekatan lama. Jika kita memilih berbuat demikian, rakyat akan melihat UMNO sebagai parti yang kucar kacir, parti yang hipokrit, tanpa satu ideologi asas yang konsisten untuk rakyat dan pengundi. Kita akan diadili sebagai parti yang cakap tidak serupa bikin, apatah lagi dalam era teknologi yang berupaya mendedahkan sebarang hipokrasi lantas menuntut satu konsistensi mesej di segenap lapisan kepimpinan parti dan Kerajaan. Adakah dalam konteks baru ini kita mahu Presiden parti bercakap mengenai satu perubahan – satu anjakan memecahkan benteng pemisah antara kaum – manakala Pemuda UMNO pula enggan berubah, sebaliknya bertempik melaungkan perkara yang berlainan daripada apa yang diperkatakan oleh Presiden?


50. Pembaharuan ke arah landasan ini tidak bermaksud kita lupa kepada agenda Melayu. UMNO dan Pemuda UMNO tetap akan menjadi pejuang bangsa – mempertahankan agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu. Ini semua perkara asas perjuangan UMNO yang tidak akan sekali-kali luntur dari agenda kita. Namun kita perlu memperjuangkan semua ini berlandaskan dua prinsip, iaitu keadilan dan rahmah, terutamanya dalam hubungan dengan kaum-kaum lain. Kompas perjuangan ini akan menggariskan agenda nasionalis kita, yang bukan berteraskan konsep kekuasaan Melayu atau Malay dominance yang sempit, tetapi kepimpinan Melayu atau Malay leadership yang adil dan rahmah.

51. Sebenarnya, jika diimbas sejarah kepimpinan UMNO dan BN, ternyata sekali prinsip kepimpinan Melayu yang adil dan rahmah sudah pun terpahat dalam realiti politik tanah air. UMNO dan BN telah mempamerkan kemampuan menjaga kebajikan dan kepentingan seluruh warga Malaysia. Contohnya, lihat sahaja pada perjuangan membenteras kemiskinan – agenda ini tidak berlandaskan warna kulit semata-mata, tetapi sebaliknya, dipanjangkan kepada mana-mana golongan kurang bernasib baik. Maka, berbekalkan landasan politik yang dihormati semua, pembaharuan yang diperlukan dalam lanskap masa kini adalah untuk UMNO dan orang Melayu konsisten dalam memantapkan kepimpinan nasional kita untuk semua rakyat Malaysia.


52. Seruan agar segenap masyarakat wajar diberi pembelaan bukan sahaja sesuatu yang dianggap sebagai hak sejagat atau universal right tetapi sebenarnya datang dari agama suci kita sendiri. Kerajaan di bawah pimpinan UMNO sering mengambil inspirasi Islam sebagai landasan kepada dasar negara, seperti prinsip Islam Hadhari yang menjamin hak golongan minoriti dibela. Justeru, tidak salah sekiranya orang Melayu juga memperjuangkan kepentingan warga Malaysia secara keseluruhannya. Malah, apabila kita menghormati pegangan dan agama orang lain, mereka juga akan lebih menghormati kita. Allah SWT berfirman di dalam Surah Al An’am, ayat 108:

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan”

53. Barangkali ada yang mengungkit adakah kita patut mempertahankan bangsa lain sekiranya mereka mempersoalkan kedudukan kita? Di sinilah kepimpinan kita akan teruji. Sebagai bangsa yang diberi amanah dan penghormatan untuk memimpin, orang Melayu tidak boleh mengikut rentak biasa – sebaliknya kita mesti melaksanakan sesuatu yang mengatasi apa yang biasa. Barulah kita akan berupaya memimpin dan dilihat sebagai pemimpin yang mendapat pengiktirafan lebih menyeluruh. Inilah satu lagi contoh Kepimpinan Melayu yang saya maksudkan – kepimpinan yang adil dan rahmah yang diterima oleh semua.

Saudara Perwakilan sekalian,
54. Pembaharuan ke arah kepimpinan nasional Melayu yang lebih jitu akan boleh dilaksanakan sekiranya orang Melayu sendiri membuat anjakan kepada perjuangan yang berbekalkan keyakinan ketamadunan kita, atau civilisational confidence. Keyakinan ketamadunan ini bermakna kita yakin dengan keupayaan bangsa untuk melangkah ke hadapan, mengukir kejayaan tanpa perlu takut bayang-bayang sendiri. Inilah cabaran generasi kita.

55. Saya menyebut soal cabaran generasi, kerana untuk terlalu lama orang Melayu dan UMNO sendiri, berada dalam perspektif minda atau mindset yang negatif dan defensif. Kita merasakan diri kita seolah-olah diserang atau under siege, dan segala gerak kerja seakan-akan disalurkan ke arah mempertahankan keistimewaan Melayu yang kita anggap sentiasa dicabar. Saya menyeru orang Melayu bermula dengan Pemuda untuk keluar dari perspektif minda ini. Tidak dinafikan, bahawa Perkara 153 Perlembagaan, yang menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, adalah keramat buat kita. Namun, jika dikaji dengan teliti, Perkara 153 hampir mustahil untuk dilucutkan daripada Perlembagaan Persekutuan. Sebarang perubahan memerlukan bukan sahaja kelulusan 2/3 Parlimen, tetapi mesti juga mendapat perkenan dari Majlis Raja-Raja. Ini sudah cukup mengingatkan kita bahawa secara realistiknya, kedudukan istimewa kita tidak mungkin boleh diubah.


56. Tetapi percayalah, Perkara 153 dengan sendirinya tidak akan menjamin kesejahteraan dan kemajuan bangsa. Sedarlah, sedarlah kita semua, bukan peruntukan perlembagaan yang membawa keistimewaan sebenar, tetapi kebolehan dan pencapaian orang Melayu-lah yang akan menentukan sama ada kita menjadi bangsa istimewa, bangsa yang unggul, bangsa yang terbilang.

57. Hak dan keistimewaan Melayu itu penting. Namun yang lebih penting adalah bagaimana bangsa kita diperkasakan. Apa yang perlu kita wujudkan ialah satu dimensi baru dalam perjuangan Melayu supaya pegangan ekonomi dan status bangsa kita dapat dimajukan, sesuai dengan semangat pemerkasaan Melayu yang wajib dicapai bersama. UMNO dan bangsa Melayu secara keseluruhannya, perlu beralih daripada kaedah atau setting defensif yang selalu menganggap ada orang lain mahu merampas hak dan hartanya, kepada Melayu yang berbekalkan keyakinan ketamadunan bangsa, mengukir visi kemajuan untuk masa hadapan. Inilah dilema Melayu yang baru – persoalan generasi yang wajib dijawab. Adakah kita hanya mahu mempertahankan simbol demi simbol atau adakah kita berani menerima hakikat bahawa perlu ada perubahan mekanisme dan visi demi melihat bangsa Melayu itu terus melangkah maju? Bagi saya, pilihan kedua merupakan jawapannya.


58. Saya percaya inilah juga visi YAB Presiden, yang, contohnya, telah memansuhkan keperluan pegangan ekuiti 30 peratus Bumiputera dalam Tawaran Awam Permulaan (IPO) di Bursa Malaysia. Sudah pasti Presiden mengambil langkah sedemikian bukan sebab beliau tidak endah akan agenda Melayu, tetapi sebab ternyata mekanisme 30 peratus itu tidak dapat memenuhi matlamat asalnya.

59. Presiden sendiri telah mengatakan bahawa daripada RM54 bilion nilai pegangan saham yang diberikan kepada Bumiputera melalui mekanisme 30 peratus ini, hanya RM2 bilion sahaja yang tinggal dalam tangan – habis dijual untuk pulangan cepat, tanpa kelangsungan kemajuan yang kita inginkan. Jadi terbuktilah ada simbol, mekanisme dan tongkat yang kita pertahankan selama ini tidak mencapai objektif yang asal.


60. Malah, apabila Presiden memansuhkan kriteria pegangan saham Bumiputera itu, beliau juga telah memperkenalkan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) sebagai institusi pelaburan baru yang boleh menggalakkan pertumbuhan syarikat-syarikat Bumiputera yang berpotensi tinggi. Inilah anjakan yang dipelopori oleh Presiden – bantuan secukupnya disalurkan kepada Melayu yang layak dan berpotensi, dan bukan mekanisme-mekanisme simbolik yang hanya membantutkan daya saing Melayu dan memberikan kita satu perasaan keyakinan yang palsu tanpa memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan ekonomi Melayu yang sebenar.

61. Pengisian visi kemajuan bangsa kita memerlukan satu keyakinan untuk kita menerima persaingan berdasarkan kepada merit, kemampuan dan kebolehan kita sendiri. Usah kita bercakap tentang meritokrasi antara kaum, jika dalam kaum kita sendiri pun kita belum mempraktikkannya. Jangan kita sebagai generasi muda mengamalkan budaya mencantas bakat Melayu sebelum bakatnya dapat diasah. Amat merugikan kepada bangsa sekiranya akibat hasad dengki, kita sanggup berusaha menjatuhkan orang Melayu lain yang berpotensi semata-mata untuk memuaskan hati. Kita perlu mengikis sifat dengki sesama kita, sebaliknya membantu dan memberi dorongan sewajarnya kepada saudara-saudara sebangsa seagama untuk lebih berjaya. Inilah maksudnya “keyakinan ketamadunan”. Kita tidak takut pada bayang-bayang sendiri.


62. Impian saya adalah untuk melihat suatu hari nanti, institusi-institusi pengajian tinggi tempatan dipenuhi anak muda Melayu bukan kerana kuota, tetapi kerana kelayakan merit. Tatkala kita mempertahankan kuota sekarang ini, jangan kita lupa, kuota sepatutnya hanya satu langkah bantuan, dan bukannya talian hayat orang Melayu selama-lamanya. Visi Melayu bukan untuk mempertahankan kuota semata-mata, tetapi untuk merasa bangga melihat orang Melayu berjaya dengan kekuatan sendiri.

63. Usah kita pesimis dan perlekehkan potensi bangsa kita – keyakinan untuk menerima persaingan yang lebih terbuka sudah wujud dalam hakiki budaya kita sendiri. Apakah kita mahu berdiri di sini mengatakan sejarah tidak pernah mempamerkan bangsa Melayu bekerja keras meredah seribu satu badai untuk mencapai misi? Lihat saja-lah pada peribahasa Melayu yang menggalakkan ketekunan, kerajinan dan jimat-cermat dan responsif dengan cabaran dan suasana sekelilingnya seperti:

Kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya
Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat
Rajin bekerja mudah belanja
Cermat masa banyak, jimat masa sedikit
Cicir dipungut, hilang dicari
Dalam berselam, cetek bertimba

64. Visi ini, anjakan ini, turut menuntut keberanian kita sebagai orang Melayu untuk melihat ke hadapan, berbekalkan keyakinan dan kepercayaan diri untuk mencapai kemajuan bangsa. Sebagai Pemuda waktu ini, kitalah generasi yang boleh melakukan perubahan tersebut. Kitalah generasi yang boleh berkeras mengatakan cukup-lah! Cukup-lah kita menidakkan keupayaan bangsa kita. Cukup-lah kita dikongkong ilusi yang menyatakan Melayu lembab, Melayu malas, Melayu bodoh. Generasi kita perlu bangkit menyahut cabaran masa kini dengan mengatakan Melayu tidak lagi takut berhadapan dengan dunia luar kerana Melayu tidak lembab, Melayu tidak malas, Melayu tidak bodoh. Sebaliknya, bangsa Melayu adalah bangsa berdaulat; satu bangsa yang bijak dan serba boleh. Pemuda Melayu generasi ini perlu memimpin bangsa kita keluar dari batasan dan kepompong minda yang menghakis keyakinan diri, serta maju ke hadapan - inilah perjuangan kita.


Bangunlah Bangsaku

Apalah erti omongan jika lekang dengan tindakan;
Harapan berkecai bak debu berterbangan jika tidak diampuh peranan;
Puas sudah gurindam dilagu, merungkai mengupas belenggu bangsaku;
Laungan dan panji-panji menggegar jiwa,
jumud dan kaku, makin sayup merintih sayu;

Namun aku pasti;
Fajar kini menyingsing lagi;
Menyingkap tirai membawa harapan seribu erti;
Namun menjajikan kegelapan kepada yang dengkal
Alpa dan iri hati;
Justeru bangunlah bangsaku;
Penuh kesedaran dalam kematangan
Disuntik azam baru;
Gembelingkan tenaga, berpadu, kita teguh bersatu;
Perwajakan hati, perkasakan diri
Sedia kita tempuh segala seteru;
Kerana masa beredar dan bumi berputar
Memungkinkan perubahan yang tidak menentu.

Justeru bangunlah bangsaku yang mapan dan berdikari,
Dibawah laungan 1Malaysia
Agar kita duduk sama rendah, kita berdiri lebih tinggi,
Agar jiwa bangsaku yang bermaruah
Tidak ditindas, tidak dihina, tidak perlu merintih lagi;
Mengibar panji di puncak ekonomi
Bukan lagi suatu mimpi;

Bangunlah bangsaku
Jangan kita tersungkur lagi;
Sejarah hitam jangan kita ulangi
Cukuplah hanya sekali;

Bangunlah bangsaku;
Perjuangan ini kita isi, kita galas, kita tunjangi;
Biar anak-anak kita tidak malu untuk mengakui;
Bahawa hasil perjuangan ayahnya bangga dikecapi;
Maruah bangsanya megah diwarisi.

Bangunlah…..bangunlah bangsaku;
Bangunlah bersama negaraku.


Saudara Perwakilan Sekalian,
65. Marilah kita barisan Pemuda berdiri teguh di belakang Presiden dan Timbalan Presiden kita, marilah kita bersama-sama mempertahankan Kerajaan kita yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, yang telah mengharungi pelbagai badai gelora bersama namun tetap tidak berganjak dari prinsip asas perjuangan - yang kekal bersama-sama dalam keadaan susah dan senang, yang bekerja keras untuk membangunkan negara, tanpa perlu menabur janji-janji palsu semata-mata untuk menjadi Kerajaan di bumi yang tercinta ini.

66. Sedarlah, kita kini berada di persimpangan perjuangan. Inilah masa dan detiknya, kita - golongan muda bersatu menjadi nakhoda zaman, memacu perjuangan ke arah ketamadunan yang terbilang. Ayuh, bangkitlah, bangkitlah kita semua menyahut cabaran, menerajui harapan, menunaikan tuntutan demi kelangsungan agama, bangsa dan negara.

Hidup UMNO!
Hidup UMNO!
Hidup UMNO!


sumber kahiry jamaludin